Sabtu, 31 March 2018 | 7:36am
PENGAMBILAN ubat secara betul mampu memberi kesan terhadap penyakit dihidapi.
PENGAMBILAN ubat secara betul mampu memberi kesan terhadap penyakit dihidapi.

Patuh arahan ambil ubat jamin keberkesanan

KETIDAKPATUHAN dalam pengambilan ubat-ubatan bukan isu baharu, malah sejak berdekad lamanya, banyak kajian dibuat untuk menilai punca ketidakpatuhan itu.

Di Malaysia, kajian menggunakan perkakasan soal selidik mendapati ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan mencecah 60 peratus daripada mereka yang memerlukan rawatan ubat secara kronik.

Peratusan ini berbeza mengikut jenis penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan epilepsi, selain lokasi pesakit mendapatkan rawatan seperti klinik kesihatan dan hospital.

Ketidakpatuhan dalam aspek berkenaan menyebabkan risiko komplikasi penyakit menjadi tinggi.

Sebagai contoh, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal akan meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang, serangan jantung dan strok.

Selain itu, pembaziran ubat-ubatan yang diberi dan kos untuk merawat komplikasi penyakit yang teruk akan merugikan negara dalam menguruskan kesejahteraan masyarakat.

Secara global, kos bagi semua perkara itu mencecah AS$10 bilion setiap tahun.

Walaupun pelbagai pendekatan diperkenalkan dalam menangani masalah ketidakpatuhan ini, peratusannya masih signifikan.

Kajian juga menunjukkan bahawa isu ini sangat dipengaruhi pelbagai faktor semasa yang berubah mengikut kemajuan teknologi dan pola kehidupan.

Sebagai contoh, kajian penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati ketidakpatuhan yang sering dikaitkan dengan warga tua sudah mula berpindah kepada golongan lebih muda.

Dahulu, warga tua dikaitkan dengan kepatuhan rendah disebabkan isu kognitif seperti mudah lupa dan sukar memahami arahan pengambilan ubat yang kompleks.

Sekarang pula, pesakit muda lebih cenderung tidak patuh, antara alasannya ialah sibuk bekerja lalu terlupa untuk mengambil ubat atau malu untuk mengambil ubat di depan rakan.

Tak percaya terhadap ubat

Perkara lain yang menyebabkan isu ini ialah ketidakpercayaan pesakit terhadap ubat yang diberikan, percaya mereka tidak mempunyai penyakit kerana tidak mempunyai sebarang gejala penyakit.

Ada juga yang beranggapan bahawa ubat-ubatan tidak dapat membantu penyakit mereka dan pesakit akan cuba menghentikan pengambilan ubat sehingga susulan temu janji dengan doktor.

Ini menunjukkan masih ramai anggota masyarakat kurang jelas dengan penyakit tertentu yang memang tidak menunjukkan gejala serius pada awal penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Tanpa kawalan awal, komplikasi penyakit akan timbul dan pesakit akan memerlukan rawatan lebih kompleks.

Satu lagi cabaran yang dihadapi profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi ialah untuk meyakinkan pesakit mengenai keselamatan ubat-ubatan moden.

Ada juga pesakit yang didiagnos oleh doktor dan diberikan ubat, memilih rawatan alternatif dan meninggalkan terus ubat moden, ditambah pula dengan cerita bahawa ubat moden boleh menyebabkan banyak masalah lain, seperti kegagalan buah pinggang.

Semua ubat moden yang masuk ke pasaran Malaysia sudah diuji secara klinikal untuk keberkesanan dan keselamatan seperti jenis kesan sampingan atau mudarat dan jumlah pengguna yang mengalaminya.

Data kajian dinilai semula oleh pakar perubatan dan farmasi dalam negara dan pihak berkuasa kawalan dadah sebelum produk berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Pemantauan berterusan

Malah, ubat yang ada dalam pasaran dipantau penggunaan dan keselamatannya secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan, berbeza dengan rawatan alternatif yang selalunya menggunakan kaedah testimonial.

Kaedah itu lebih cenderung menunjukkan keberkesanan dari sudut pandangan pengguna tanpa maklumat keselamatan yang jelas. Lebih banyak maklumat keberkesanan dan keselamatan yang sahih diperlukan dalam menyokong penggunaan rawatan alternatif.

Pesakit juga harus maklum bahawa penggunaan produk yang tidak berdaftar boleh membahayakan nyawa kerana ada yang dicampur-palsu dengan bahan terlarang seperti steroid.

Jika bahan campur-palsu seperti steroid digunakan dalam tempoh masa panjang dan tidak dipantau dengan betul, penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi akan bertambah teruk, malah penyakit baharu juga akan timbul seperti ulser perut dan kerapuhan tulang.

Produk semula jadi seperti herba juga boleh memudaratkan jika tidak digunakan secara berhati-hati kerana herba juga kaya dengan pelbagai bahan kimia yang boleh bertindak balas dan berinteraksi.

Perkembangan media sosial dan internet turut meningkatkan pendedahan pengguna kepada iklan produk yang tidak berdaftar. Ini juga satu cabaran besar kepada penguat kuasa farmasi untuk memastikan keselamatan pengguna.

Untuk mengurangkan risiko pembelian produk palsu, pengguna seharusnya mendapatkan ubat-ubatan mereka daripada sumber yang boleh dipercayai seperti di farmasi, klinik dan hospital.

Kesedaran masyarakat dan pesakit terhadap pentingnya untuk patuh dalam pengambilan ubat-ubatan perlu dipertingkatkan.

Sebarang kekeliruan dalam pengambilan ubat-ubatan seharusnya dibincangkan dengan mereka yang pakar dan berdaftar untuk amalan profesional seperti doktor perubatan dan ahli farmasi.

Profesional kesihatan sedia untuk membantu pengguna dalam memastikan kesan rawatan ubat dapat dioptimumkan.

Pelbagai program diperkenalkan seperti Klinik Kepatuhan Terapi Ubat dan Pengurusan Ubat di Rumah untuk meningkatkan kepatuhan pesakit dalam pengambilan ubat-ubatan secara betul dan mengelakkan pembaziran.

Pesakit perlu bertanggungjawab dalam pengambilan ubat-ubatan dalam menjamin keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan ini.

Penulis ialah Prof Madya Farmasi Klinikal Fakulti Farmasi UKM

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X