Jumaat, 18 Mei 2018 | 7:06am

Mansuhkan Akta Anti-Berita Tidak Benar

TERMA fake news, berita palsu atau tidak benar mula mendapat perhatian dunia selepas dipopularkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Biarpun tindakan penyebaran maklumat palsu bukan fenomena baharu, masyarakat global dilihat terpanggil mengambil langkah tertentu untuk membendungnya.

Kita lihat beberapa negara menggubal undang-undang antiberita palsu. Di Malaysia, Akta Anti-Berita Tidak Benar (AATB) 2018 antara undang-undang terakhir yang digubal oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya berlangsung.

Namun, beberapa negara yang memiliki sistem keadilan jenayah berdasarkan kerangka Common Law dan berteraskan Kanun Keseksaan seperti negara kita kelihatan lebih berhati-hati dalam menggubal undang-undang sebegini. Tindakan sedemikian munasabah mengambil kira beberapa faktor dan bahaya dari undang-undang ini.

Berikut ialah empat sebab utama AATB 2018 perlu dimansuhkan oleh kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan.

Pertama, AATB 2018 ialah undang-undang reaktif (reactive legislation) yang dikhuatiri digubal bukan bersandarkan keperluan sebenar, tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik antarabangsa dan tempatan.

Sarjana undang-undang jenayah kerap mengingatkan mudarat undang-undang reaktif yang tidak reflektif kepada ancaman jenayah yang ingin dibanteras.

Secara amnya, undang-undang jenayah perlu senantiasa ditambah baik mengambil kira tuntutan semasa, tetapi, undang-undang reaktif lazimnya digubal dalam keadaan tergesa-gesa, tanpa kajian mendalam dan pembabitan pihak secara lebih terangkum.

Bataskan hak

Memandangkan undang-undang ini boleh membataskan hak madani rakyat, pandangan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan kumpulan masyarakat sivil perlu diambil kira. Menurut SUHAKAM, kerajaan terdahulu merujuk badan itu pada minit terakhir tanpa kemuka rang undang-undang itu kepada mereka.

Kedua, konsep fake news sendiri samar. AATB 2018 mendefinisikan 'berita tidak benar' dengan merangkumkan apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Skop definisi ini cukup besar dan samar. Prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) menuntut kepada peruntukan undang-undang yang jelas dan difahami oleh masyarakat. Bahkan, amat sulit untuk mahkamah merumuskan sama ada sesuatu maklumat atau kenyataan sebagai palsu secara muktamad.

Ada sebahagian perkara yang mustahil untuk dibuktikan benar atau palsu dalam bentuk keterangan yang boleh diterima pakai di mahkamah atau secara saintifik. Misalnya, kenyataan tentang doktrin agama atau teori baharu.

Terdapat juga hal tidak boleh ditentukan secara muktamad, dan terdedah kepada penafsiran yang pelbagai. Contohnya kenyataan berkaitan sejarah yang ada kalanya berbeza mengambil kira sumber dan elemen politik yang menyelubungi penceritaannya.

Begitu juga ada perkara bersifat relatif kepada maklumat sedia ada yang dianggap berwibawa ketika itu, dan akal waras membuat kesimpulan yang sama. Sukar diterima akal bahawa tindakan menyatakan penilaian semasa adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara.

Harus ditekankan bahawa AATB 2018 menetapkan sesuatu maklumat boleh dikelaskan sebagai 'berita tidak benar' biarpun hanya sebahagiannya didapati palsu. Situasi ini dikhuatiri menekan kebebasan bersuara rakyat, termasuk kumpulan media dan golongan akademik.

Ketiga, AATB 2018 tidak selari dengan prinsip dan norma undang-undang jenayah di negara kita. Bagi negara yang mengguna pakai Kanun Keseksaan, Lord Macaulay pada 1835 dan prinsip keadilan jenayah bersandarkan common law, konsep fake news adalah cukup asing.

India tidak meneruskan hasrat menggubal undang-undang ini. Secara umum, undang-undang jenayah hanya menjenayahkan perbuatan berkaitan kenyataan palsu bersandarkan tiga perkara.

l Pertama, seseorang hanya akan dihukum kerana mengeluarkan kenyataan palsu jika undang-undang mewajibkan dia berkata benar. Misalnya, seseorang melakukan jenayah jika dia berdusta di mahkamah atau ketika dalam proses siasatan.

l Kedua, tindakan mengeluarkan kenyataan palsu menjadi kesalahan jenayah jika tindakan mengakibatkan mudarat langsung kepada orang yang mendengar dan mempercayainya. Misalnya jenayah penipuan, kata-kata tidak benar diguna untuk memperdayakan dan mengakibatkan mangsa rugi. Dalam hal ini, pendakwaan perlu buktikan mangsa mempercayai tipu daya itu.

l Ketiga, kata-kata palsu yang disebar hanya menjadi jenayah sekiranya dibuat atas niat jahat (malicious intent) untuk menggugat ketenteraman awam. Elemen niat mens rea ini tiada dalam AATB 2018. Tindakan menyebarkan berita tidak benar semata-mata tanpa niat jahat sukar untuk dikelaskan sebagai kesalahan berliabiliti ketat mengambil kira kesan langsungnya.

Perihal ini ternyata berbeza dengan impak jenayah keganasan dan penyalahgunaan dadah. Selain itu, AATB 2018 ada bidang kuasa menjangkaui sempadan yang membolehkan seseorang sama ada warganegara atau tidak, didakwa di Malaysia biarpun kesalahan dilakukan di luar negara.

Pendekatan ini bercanggah dengan norma kelaziman dalam undang-undang jenayah. Peruntukan ini mungkin boleh diterima bagi kesalahan berkaitan keganasan dan jenayah transnasional.

Harus diingat, jenayah sedemikian diterima secara global sebagai fenomena yang wajib dibanteras setiap negara. Perkara ini dapat digarap melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan konvensyen antarabangsa lain.

l Keempat, undang-undang AATB 2018 ialah produk penjenayahan yang berlebihan atau lazim dirujuk sebagai over-criminalisation. Kesalahan yang diwujudkan dalam AATB 2018 bertindih dengan kesalahan jenayah dalam undang-undang yang sedia ada.

Sebagai contoh, beberapa per-untukan dalam Kanun Keseksaan seperti Seksyen 505 Kanun Keseksaan memadai mengekang penyebaran kenyataan berniat jahat yang mampu menggugat ketenteraman dan keteraturan awam.

Lebarkan kuasa

Pertindihan ini hanya melebarkan kuasa budi pihak berkuasa dan dikhuatiri boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa.

Berdasarkan empat faktor di atas, penulis mencadangkan kerajaan memansuhkan AATB 2018 ini, dan bukan dengan menyemak semula. Undang-undang jenayah lain sedia ada memadai untuk mengekang penyebaran maklumat yang bertujuan menimbulkan kekacauan.

Secara alternatifnya, pihak yang terjejas hak mereka disebabkan penyiaran berita tidak benar boleh mengambil tindakan sivil di mahkamah. Negara tidak perlu menampung kos untuk terbabit dalam pertikaian yang bersifat peribadi antara orang awam.

Pihak pendakwaan dan polis pula dapat menumpukan tugas mereka dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan ketenteraman masyarakat. AATB 2018 juga dikhuatiri membungkam hak dan kebebasan rakyat sebagaimana yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Pemansuhan AATB 2018 boleh menjadi langkah mula sebelum kerajaan memansuh undang-undang lain sebagaimana dijanjikan dalam manifesto pilihan raya, seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Penulis adalah Bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X