Isnin, 25 Jun 2018 | 7:48am
FOTO hiasan.

Perkasa karier cef restoran tarik graduan

SEHARI dua ini isu berkaitan tukang masak warga asing yang dikatakan akan dihantar pulang ke negara asal, menjadi antara topik paling hangat dibicarakan.

Ada yang mula bimbang kari di kedai mamak akan hilang 'kaw' sekiranya tukang masak dari India dihantar pulang. Tidak kurang juga risau menu kedai tomyam tidak akan 'kick' seperti biasa, jika bukan tukang masak Thailand digunakan.

Itu antara cakap-cakap antara pelanggan susulan isu larangan penggunaan tukang masak warga asing di restoran, gerai dan kedai makan.

Berita itu dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengenai larangan itu juga sekali gus mencetuskan kontroversi. Pada awalnya, Kulasegaran mengumumkan peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan di seluruh negara mulai 1 Januari 2019, namun selang sehari memperjelaskan ia sebenarnya hanya satu syor sahaja.

Kebimbangan disuarakan pengguna itu hanya sebahagian reaksi awam namun lebih kritikal lagi sebenarnya 'bebanan' yang bakal dihadapi pengusaha gerai, kedai makan atau restoran yang sekian lama menggunakan khidmat tukang masak warga asing.

Mana nak cari rakyat tempatan yang benar-benar mahir masak kari atau tomyam? Mahukah rakyat tempatan kerja di kedai mamak? Bolehkah bisnes bertahan kalau menu tak 'ori' (asli)?

Itu sebahagian persoalan yang timbul dan tidak hairanlah ketetapan terbaharu diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu memberi pelbagai persepsi berbeza.

Pecah monopoli penguasaan warga asing

Apa yang pasti tukang masak ibarat 'nadi' bagi bisnes kedai makan atau restoran. Sebarang keputusan membabitkan tukang masak, menjadi penentu kepada sektor berkenaan dengan sebarang kesilapan boleh menyebabkan risiko gulung tikar.

Dalam menilai ketetapan kerajaan itu, sudut positif dilihat memberi gambaran seolah-olah wujudnya peluang kepada warga tempatan untuk menembusi pasaran kerja yang selama ini dimonopoli warga asing.

Persoalannya sekarang, mahukah orang kita bekerja di kedai mamak atau kedai tomyam untuk menggantikan kekosongan ditinggalkan tukang masak warga asing. Jika ada, mampukah orang kita bertahan dengan beban kerja kedai makan yang dianggap tergolong dalam kategori 3D iaitu dirty (kotor), dangerous (bahaya) dan difficult (sukar).

Mungkin ada yang bertanya ke mana perginya ribuan graduan bidang kulinari dan kenapa tidak diambil mereka sebagai tukang masak di restoran atau kedai makan.

Ada juga betulnya kerana setiap tahun ribuan graduan dalam bidang itu sama ada peringkat sijil, diploma atau ijazah dihasilkan melalui kolej swasta atau institusi latihan.

Malah, Giat Mara sahaja melalui 34 pusat latihannya di seluruh negara melahirkan hampir 11,000 graduan dalam pelbagai bidang seperti masakan, pramu saji, kek dan pastri sejak diperkenalkan sekitar 2001.

Apa yang menjadi persoalan adakah mereka ini 'layak' untuk bekerja sebagai tukang masak di restoran, atau mungkinkah status tukang masak restoran itu sendiri terlalu 'rendah' untuk mereka yang bergelar graduan kulinari.

Apa jawapannya sekali pun, persoalannya tetap berbalik kepada soalan terdahulu iaitu mahukah orang kita bekerja seperti warga asing bekerja di kedai makan atau restoran?

Bukan mahu merendahkan tenaga kerja tempatan, namun kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (PRESMA), Ayub Khan, yang mendakwa tiada pekerja tempatan mahu bekerja di restoran walaupun gaji dibayar sehingga RM2,500, perlu diambil kira.

Itu hakikat yang perlu kita hadapi. Bayangkan kenapa graduan kulinari mahu bekerja di restoran atau kedai makan, sedangkan mereka memiliki peluang luas untuk bekerja di tempat lebih selesa seperti hotel atau syarikat berasaskan makanan.

Sediakan pelbagai kemudahan

Ia juga menjanjikan gaji lebih selesa, selain kemudahan serta peluang lanjutan kerjaya yang lebih luas.

Penulis tertarik dengan kenyataan Kulasegaran yang menyatakan larangan yang akan dikuatkuasakan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap kerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Ada benarnya kerana sebelum ini kedai makan khususnya yang menggunakan khidmat warga asing banyak berdepan kes berkaitan kebersihan, namun larangan penggunaan tukang masak warga asing bukanlah penyelesaian terbaik.

Peningkatan aspek penguatkuasaan dan kawalan kualiti di pihak berkuasa tempatan (PBT) atau penguat kuasa berkaitan dianggap lebih wajar untuk mengatasi isu kebersihan kedai makan. Ia juga untuk mengelak tafsiran 'marahkah nyamuk, kelambu dibakar'.

Bagi penulis tak salah jika ketetapan larangan penggunaan tukang masak warga asing itu dikuatkuasakan seperti diamalkan di Pulau Pinang. Namun penting sekali dipastikan terlebih dahulu pelan khusus termasuk dari segi penyediaan latihan bersesuaian kepada bakal tenaga kerja tempatan untuk diserap ke sektor itu diperincikan.

Taraf karier sebagai tukang masak restoran atau kedai makan itu sendiri perlu dinilai sama ada wajar dinaik taraf supaya tidak terus dipandang sepi graduan kulinari.

Pastinya isu bayaran bersesuaian perlu diambil kira, selain kemudahan dan kelebihan lain sebagai pekerja seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kemudahan perubatan dan insentif lain juga perlu disediakan.

Namun jika kos ditanggung pemilik kedai makan atau restoran untuk menggaji tukang masak tempatan meningkat, tidak mustahil kesan kenaikan itu akan disalurkan pula kepada pelanggan.

  Benar jumlah pekerja asing dalam negara semakin meningkat, namun kebergantungan sektor tertentu terhadap tenaga kerja dari luar khususnya dalam sektor dilabel 3D tidak dapat dinafikan.

Justeru isu berkaitan tenaga kerja asing ini perlu benar-benar diperhalusi, sekali gus mengelak sektor tertentu yang benar-benar bergantung kepada tenaga asing terjejas.

Berita Harian X