Khamis, 19 Julai 2018 | 11:01am
PENCEMARAN udara. - Foto hiasan

Partikel pembunuh di udara

PENCEMARAN udara ialah pembunuh senyap. Untuk berdekad-dekad lamanya, kehadiran partikel halus di udara membawa kepada kewujudan penyakit baharu dan menjadikan penyakit yang sedia ada semakin teruk.

Justeru, usaha agresif untuk mengurangkan pelepasan partikel yang mencemarkan udara seperti menggunakan bahan api fosil yang lebih bersih akan sedikit sebanyak menyumbang ke arah mewujudkan kesihatan yang lebih baik.

Seperti yang diketahui ramai, kita memerlukan udara untuk terus hidup. Bagaimanapun, tidak ramai yang sedar bahawa menyedut udara yang tercemar boleh membawa padah sehingga menjadi punca kematian untuk lebih 6.5 juta insan pada 2012. Jumlah ini bersamaan 11.6 peratus daripada jumlah kematian di seluruh dunia pada tahun yang sama.

Walaupun angka kematian ini jauh melebihi angka kematian daripada peperangan di serata dunia, kita jarang memberi perhatian kepada pencemaran udara. Ini mungkin disebabkan kekurangan kesedaran tentang kesannya kepada kesihatan dan ekonomi kita. Jarang sekali kita memikirkan mengenai kepentingan udara bersih untuk paru-paru, sehinggalah sudah terlewat.

Secara takrifnya, pencemaran udara merujuk kepada kehadiran bendasing di udara pada kadar yang cukup tinggi sehingga ia membahayakan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Contoh bendasing ini termasuk gas ozon, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida. Bagaimanapun, yang paling membimbangkan ialah partikel halus (particulate matter) atau PM2.5, yang merujuk kepada partikel yang bersaiz 2.5 mikron dan ke bawah.

PM2.5 boleh terhasil secara semula jadi (seperti debu letusan gunung berapi) tetapi kebanyakannya dihasilkan oleh manusia. Antara puncanya termasuk asap kenderaan, penjanaan kuasa elektrik dan pembakaran untuk pertanian. Proses-proses inilah yang menghasilkan partikel PM2.5 yang mencemarkan udara.

PM2.5 biasanya berlegar lebih lama di udara berbanding partikel yang lebih berat, sekali gus meningkatkan risiko disedut masuk ke dalam paru-paru. Saiznya yang kecil membolehkan partikel halus ini mengelak sistem pertahanan dalam saluran pernafasan, dan menembus jauh ke dalam sehingga menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan di dalam paru-paru.

Penduduk terdedah pencemaran udara

Pesakit akan mula menunjukkan tanda-tanda seperti kesukaran bernafas, batuk dan/atau semput. Risikonya lebih tinggi bagi individu yang menghidap penyakit paru-paru seperti asma.

Malangnya, kesan PM2.5 tidak terhad pada paru-paru saja. Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association menunjukkan bahawa pendedahan jangka masa panjang kepada PM2.5 akan menyebabkan saluran darah membengkak dan mengeras. Kedua-dua keadaan ini ialah faktor yang boleh membawa kepada serangan jantung dan serangan angin ahmar.

Saintis menganggarkan bahawa setiap peningkatan PM2.5 sebanyak 10 g/m3 meningkatkan risiko maut sebanyak empat peratus, risiko sakit jantung dan paru-paru sebanyak enam peratus dan risiko kematian kanser paru-paru sebanyak lapan peratus.

Walaupun hampir semua orang terdedah kepada pencemaran udara, risiko terhadap kesihatan lebih tinggi bagi sesetengah individu. Misalnya, wanita hamil yang terdedah kepada PM2.5 mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk melahirkan anak yang mempunyai kecacatan fizikal.

Kanak-kanak juga menghadapi risiko yang lebih tinggi disebabkan frekuensi pernafasan yang lebih kerap. Mereka juga lebih mudah terkesan dengan pencemaran kerana paru-paru mereka masih dalam proses pembesaran. Pendedahan berlebihan akan mengehadkan tumbesaran dan fungsi paru-paru.

Selain orang muda, orang yang berumur juga menghadapi risiko yang lebih tinggi daripada pencemaran udara. Kajian yang merangkumi 60 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) berumur 65 tahun ke atas menunjukkan bahawa pendedahan berterusan kepada PM2.5 boleh meningkatkan risiko kematian.

Kumpulan penyelidik dari Universiti Harvard ini juga menunjukkan bahawa sekitar 12,000 nyawa boleh diselamatkan setiap tahun bagi setiap penurunan PM2.5 sebanyak 1ug/m3.

Perlu dasar sesuai

Di Malaysia purata tahunan PM2.5 ialah sekitar 15 μg/m3. Ini 50 peratus lebih tinggi daripada paras selamat yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bacaan lebih teruk boleh dilihat di bandar besar - misalnya bacaan udara PM2.5 tahunan bagi Petaling Jaya ialah 25 μg/m3.

Sebagai individu, kita perlu mengambil langkah untuk membantu mengurangkan pencemaran udara. Contohnya, kita boleh menggunakan kenderaan awam yang sekali gus akan dapat membantu melegakan kesan pencemaran, terutama ketika kesesakan lalu lintas.

Pilihan lain termasuk menggunakan kenderaan yang kurang membebaskan PM2.5 dan mengelakkan diri daripada terus terdedah secara langsung terhadap partikel ini, ketika kesesakan lalu lintas berada pada kadar maksimum. Tabiat seperti menutup tingkap kereta dan melaraskan aliran udara pendingin hawa juga sedikit sebanyak membantu pengurangan pendedahan.

Tindakan yang lebih berkesan boleh diambil dengan dasar yang sesuai seperti usaha menghentikan penggunaan arang batu.

Satu laporan pada 2010 dari AS menunjukkan bahawa pencemaran partikel daripada penjanaan kuasa daripada arang batu, meningkatkan lagi kes pesakit yang perlu masuk hospital dan menjadi punca serangan jantung untuk 20,000 individu. Menggantikan arang dengan bahan api fosil yang lebih bersih seperti gas atau dengan bahan api alternatif seperti tenaga solar akan memberi manfaat kepada kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Teroka tenaga alternatif

Laporan ini juga menyoroti kos tinggi penyakit yang disebabkan stesen penjana arang batu. Kos ini melebihi AS$100 bilion setahun dan membawa kesan yang lebih teruk kepada warga tua, kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik.

Satu lagi punca PM2.5 ialah kenderaan diesel, terutama kereta lama. Penggunaan kereta elektrik/hibrid atau mana-mana enjin yang menggunakan gas asli atau biogas, boleh mengurangkan kadar pembebasan partikel halus ke udara.

Dengan menggubal dasar seperti pelepasan cukai yang akan menyenangkan pemilikan kenderaan ini, kesan yang besar akan dicapai.

Meningkatkan penggunaan gas dalam sektor tenaga akan meningkatkan kebolehan kita mendapatkan tenaga daripada sumber bahan api yang lebih bersih. Sekali dengan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan partikel halus dan bahan lain seperti sulfur dioksida akan memberi kesan langsung yang baik serta manfaat jangka panjang kepada alam sekitar dan kesihatan.

Udara bersih membolehkan kita melakukan kegiatan luar tanpa memikirkan kesan pada kesihatan. Malangnya, kajian menunjukkan bahawa peningkatan PM2.5 ialah salah satu punca utama kemerosotan kesihatan. Pendedahan berterusan pada tahap yang terlalu tinggi akan menyebabkan kematian yang sepatutnya dielakkan dan kehidupan yang teruk.

Sudah terbukti bahawa usaha kecil untuk mengurangkan pembebasan partikel halus mampu memberikan kesan besar kepada kesihatan dan ekonomi. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha mengurangkan PM2.5 demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.

Penulis adalah Pakar Respiratori Twin Towers Medical Centre dan Pantai Hospital Kuala Lumpur/ Pengasas bersama Asthma Malaysia

Berita Harian X