Jumaat, 20 Julai 2018 | 11:00am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba bagi sesi menjawab soalan lisan ketika Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Manfaat kebebasan sesi soal jawab sidang Parlimen

KETIKA Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminanakan memberikan kebebasan kepada setiap Ahli Parlimen untuk mengutarakan isu di Dewan Rakyat pada sesi soal jawab yang membuka tirai, kelmarin, ramai yang tidak percaya khususnya blok pembangkang dan menganggap ia mustahil.

Ini disebabkan sepanjang 60 tahun Barisan Nasional (BN), memerintah banyak sekatan terhadap soalan yang dikemukakan pembangkang seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah, tidak pernah wakil BN diarah keluar dewan, berbanding pemerintahan Pakatan Harapan (PH) apabila Ahli Parlimen pertama diarahkan keluar ialah wakil kerajaan, Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Ramkarpal keluar dewan, susulan keengganan menarik balik perkataan 'gangster'.

Semalam, Sidang Dewan Rakyat menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ngar Kor Ming mendapat pujian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana bersikap profesional ketika mengendalikan persidangan.

Walaupun baru hari pertama menduduki kerusi itu, Kor Ming bersikap adil terhadap Ahmad Zahid (BN-UMNO Bagan Datuk) apabila menegur RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) kerana tidak meminta izin terlebih dahulu untuk memohon penjelasan ketika perbahasan menjunjung kasih usul titah diraja.

Begitu juga apabila Rayer bangkit menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk meminta Ahmad Zahid menarik balik perkataan 'munafik', Kor Ming tetap memberi peluang kepada Presiden UMNO itu untuk memberi penjelasan penggunaan perkataan itu. "Ahli Yang Berhormat, beri ruang kepada Bagan Datuk membuat penjelasan," katanya walaupun menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kerajaan.

Selepas mendengar penjelasan Ahmad Zahid, Kor Ming memutuskan Ahmad Zahid tidak perlu menarik balik perkataan munafik kerana tidak merujuk kepada mana- mana Ahli Parlimen.

Gantung 10 hari Sebagai perbandingan pada April 2010 ketika pemerintahan BN, Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika itu, mendiang Karpal Singh dari DAP diarah keluar dan digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama 10 hari kerana ingkar dan mempersoalkan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pengerusi DAP itu diarah keluar Dewan kerana beliau berterusan melabel Pandikar Amin sebagai diktator berikutan keengganan Speaker itu mengkaji semula usul tergempar daripada Tian Chua (PKR-Batu) yang mendesak kerajaan membatalkan perjanjian dengan syarikat antarabangsa, Apco Worldwide Sdn Bhd. Selepas isu Karpal Singh selesai, persidangan Dewan Rakyat panas kembali apabila Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengemukakan usul untuk merujuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Menurut Kit Siang, Tajuddin dalam sesi penggulungan Rang Undang- Undang Perbekalan Tambahan (2009), dikatakan membuat tuduhan tidak berasas antara lain mengatakan ada antara pemimpin Pulau Pinang yang didakwa daripada DAP, kerap ke Singapura dan Hong Kong dan menjual rahsia negara kepada dua negara itu.

Sehubungan itu, Kit Siang meminta agar Tajuddin mengemukakan bukti mengenai tuduhan itu dan sekiranya gagal, beliau akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Berdasarkan hujah yang dikemukakan, Pandikar Amin memberi peluang kepada Tajuddin untuk membuat penjelasan berhubung kenyataannya, bagaimanapun beliau memilih untuk tidak menarik balik kenyataannya itu dan bertegas bersedia menerima sebarang tindakan. Sehubungan itu, barisan pembangkang menggesa supaya diadakan undi belah bahagian yang dipersetujui Speaker Dewan.

Bagaimanapun, berdasarkan undian, 56 bersetuju supaya Tajuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan manakala 82 lagi tidak bersetuju, sekali gus menyelamatkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu daripada dihadapkan ke jawatankuasa berkenaan.

Jelas, sebelum ini Ahli Parlimen kerajaan sentiasa kebal daripada tindakan dan tidak dikenakan tindakan berbanding sekarang.

Dari segi soal jawab pula, jika sebelum ini soalan daripada wakil pembangkang sering berada pada kedudukan awal namun, ia berbeza kali ini.

Bekas Ahli Parlimen Kepong selama 36 tahun dari DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, tiada guna memberikan kebebasan mengemukakan soalan sekiranya ia tidak memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Katanya, sebagai wakil rakyat mereka membawa suara dan kehendak rakyat kepada kerajaan, bukan mengemukakan apa sahaja soalan, termasuk menyerang individu, balas dendam, menggunakan kata kesat dan mengaibkan orang.

Berita Harian X