Khamis, 26 Julai 2018 | 11:00am
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Mohd Yusni Ariffin dan Aizuddin Saad

Pemilihan PKR: Karisma Anwar atau potensi Azmin

PROSES pemilihan kepemimpinan PKR yang akan bermula akhir bulan ini bukan sahaja dinanti-nantikan ahli parti itu, malah juga ditunggu-tunggu penuh minat oleh semua pihak.

Ia juga bakal mencipta sejarah tersendiri kerana kali pertama pengundian dibuat dalam talian menerusi sistem 'e-voting', setanding pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang menggunakan sistem sama dua tahun lalu.

Sesuatu yang menarik mengenai 'e-voting', proses pengiraan undi akan dilakukan secara automatik dalam sistem dan keputusan penuh akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan PKR selepas proses mengundi selesai.

Bagi pemilihan kali ini, walaupun mandat penyandang setiap jawatan dalam parti berkenaan sah sehingga 22 Februari tahun depan, proses mencari kepemimpinan baharu dilakukan lebih awal yang akan membabitkan lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara.

Pemilihan akan bermula dengan penamaan calon pada 27 hingga 29 Julai ini, sebelum pengundian selama sembilan minggu bermula 24 Ogos dan keputusan akan diumumkan ketika Kongres Nasional PKR pada November depan.

Pertandingan dua penjuru?

Paling menarik perhatian pada pemilihan kali ini adalah pengumuman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Wan Azizah yang dilihat cemerlang memimpin sehinggakan PKR berjaya memperoleh 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14, lebih awal menyatakan kesediaannya memberi laluan kepada Anwar untuk menerajui parti terbabit.

Malah, beliau dilaporkan berkata, tidak akan terkesan jika tidak mempertahankan jawatan presiden parti kerana masih memiliki jawatan dalam Pakatan Harapan (PH) selain kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Namun, ada pihak menjangkakan Anwar tidak akan 'dihadiahkan' jawatan tertinggi parti, sebaliknya berpotensi dicabar terutama oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, anak didiknya sendiri.

Walaupun belum membuat keputusan rasmi kerana sibuk dengan tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, pemerhati politik berpendapat ia sekadar alasan Azmin untuk mencuri masa bagi mencongak peluangnya dan menilai sama ada mempunyai sokongan akar umbi parti bagi mencabar Anwar.

Petunjuk yang menyokong desas desus Azmin akan bertanding jawatan presiden datang dari 'kem' bekas Menteri Besar berkenaan sendiri, paling ketara adalah kenyataan Ketua Wanita PKR merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida yang dilihat sebagai penyokong setia Azmin dilaporkan berkata, PKR perlu bersedia untuk tidak menghalang sesiapa pun bertanding sebarang jawatan termasuk presiden, seolah-olah gambaran mahu melihat Anwar dicabar.

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang pada masa sama sempat menyorot kejayaan kepemimpinan Azmin ketika menerajui Kerajaan Selangor sebelum ini.

Mereka yang menyokong Azmin pasti mahu melihat beliau mengambil alih kepemimpinan tertinggi parti yang akan membolehkan Ahli Parlimen Gombak itu melonjak lebih jauh dalam karier politiknya, disokong pula jawatan senior disandangnya dalam kerajaan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Dalam usia jauh lebih muda berbanding Anwar, Azmin pasti mahu mengukuhkan kedudukannya dalam persada politik negara selepas cukup setia dengan perjuangan PKR, melalui pelbagai ranjau dan duri sepanjang memperjuangkan reformasi dan menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri.

Persoalannya, sebagai 'anak didik' Anwar, adakah bekas Menteri Besar Selangor itu sanggup mencabar 'sifu' beliau dan adakah kenyataan Setiausaha Politik Azmin, Muhammad Hilman Idham bahawa bosnya tidak akan menentang Anwar akan menjadi kenyataan?

Penting bagi Anwar untuk menjadi presiden PKR kerana akan memudahkan laluan beliau menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamed berbanding kedudukannya ketika ini di luar Kabinet dan bukan sebagai Ahli Parlimen.

Oleh yang sedemikian, langkah pertama harus diambil beliau adalah memegang tampuk kepemimpinan PKR yang dilihat sebagai tulang belakang PH dan kemudian bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya kecil.

Naib Presiden PKR, Tian Chua jelas menyokong Anwar sebagai peneraju parti apabila berpendapat sudah tiba masanya bekas Timbalan Perdana Menteri itu diangkat menjadi presiden, sekali gus mengembalikan haknya yang dinafikan.

Sanjungan Tian Chua dilihat sebagai simbolik sokongan reformis dalam PKR terhadap karisma Anwar yang sekian lama menjadi ikon menyatukan ahli parti berkenaan, melakukan banyak pengorbanan dan melalui pelbagai penderitaan kerana berulang kali dipenjarakan.

Tunggu November

Jawatan tinggi lain yang diramal bakal menyaksikan persaingan sengit adalah Naib Presiden PKR walaupun setakat ini, hanya Penasihat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah merangkap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyatakan hasratnya merebut jawatan itu.

Johari yang sebelum ini menolak tawaran menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana ingin memberi perhatian kepada tugas selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, yakin dengan peluangnya memenangi jawatan ketiga tertinggi dalam hiraki parti berdasarkan sokongan yang diterima.

Tokoh lain dijangka menawarkan diri bertanding jawatan sama walaupun belum membuat pengumuman rasmi adalah Zuraida, selain penyandang jawatan naib presiden seperti Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Rafizi Ramli dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ada juga kemungkinan pemimpin kanan lain seperti Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Sekretariat PH merangkap Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar turut menawarkan diri merebut jawatan naib presiden.

Bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula, dijangka muka baharu seperti Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dan timbalannya, Dr Afif Bahardin akan mencuba nasib, selain muka lama mempertahankan jawatan seperti Ahli MPP, Latheefa Koya; Khalid Jaafar dan Elizabeth Wong.

Sama ada berlaku pertandingan bagi semua jawatan utama, jawapannya akan diketahui selepas 29 Julai ini apabila mereka yang berminat bertanding, mula mencalonkan diri.

Sama ada Anwar bakal dinobatkan selaku presiden parti yang diasaskannya 19 tahun lalu atau terpaksa bersaing dengan pemimpin lain, sama-sama kita tunggu jawapannya pada November nanti.

Penulis adalah Penganalisis politik

Berita Harian X