Jumaat, 27 Julai 2018 | 11:00am
- Gambar hiasan

Polemik merentasi agama, bangsa

ISU perkahwinan bawah umur mencetuskan tanggapan negatif dari kaca mata masyarakat bukan Islam apabila ada yang menganggap mudahnya Islam melanggar hak kanak-kanak dan wanita apabila membenarkan perkahwinan bawah umur.

Poligami pun membabitkan masyarakat Islam dan berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur juga membabitkan orang Islam, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Tidak ramai tahu kebanyakan perkahwinan bawah umur sebenarnya turut membabitkan bukan Islam.

Statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan daripada 1,845 kanak-kanak bawah umur berkahwin pada 2017, 968 adalah bukan Islam, kebanyakannya berkahwin dengan pasangan dewasa dan mereka membabitkan Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli Semenanjung serta lain-lain etnik.

Pensyarah Kanan Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Al Adib Samuri berpendapat perkahwinan bawah umur perlu dilihat sebagai isu membabitkan kepentingan kanak-kanak.

Lebih banyak keburukan

Katanya, sudah terbukti dalam banyak kajian bahawa perkara ini mendatangkan lebih banyak keburukan kepada mangsa berbanding kebaikan, malah ia lebih kepada masalah sejagat kerana apa yang berlaku merentasi bangsa dan agama serta dilaporkan di kebanyakan negara.

"Berbeza dengan kanak-kanak Islam yang perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah untuk membolehkan mereka berkahwin, undang-undang adat membenarkan kanak-kanak bukan Islam bawah umur berkahwin tanpa perlu kebenaran mahkamah.

"Jadi tidak adil jika isu ini dimanipulasi, seolah-olah hanya membabitkan masalah khusus dalam kalangan umat Islam selain sering dikaitkan dengan imej poligami," katanya.

Prosedur kebenaran perkahwinan bawah umur juga bukan sahaja berbeza antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam, tetapi secara keseluruhan di negara ini tiada keseragaman dalam menentukan kelayakan berkahwin.

Permohonan bagi tujuan itu pada masa ini dijalankan mengikut peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang berbeza bagi setiap negeri.

Kajian mengenai Isu Perkahwinan Bawah Umur Menurut Perspektif Undang-Undang di Malaysia yang dijalankan untuk Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, menunjukkan lebih 2,000 permohonan perkahwinan bawah umur diterima sepanjang 2011 hingga 2016.

Lebih mengejutkan apabila kebanyakan alasan utama dalam permohonan berkenaan adalah kerana 'terlanjur' atau lebih tepat lagi mereka sebenarnya mangsa rogol statutory memandangkan kanak-kanak perempuan dalam kes itu masih di bawah umur.

Perkahwinan dilihat sebagai satu cara untuk menebus kesilapan bagi pelaku jenayah terbabit selain usaha ahli keluarga bagi mengelak dakwaan. Namun, rata-rata permohonan memberi alasan yang menutup perbuatan jenayah itu, sekali gus menghalang pelaku didakwa.

Perlu ada keseragaman

Selain itu, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa menerima perkahwinan itu secara rela atau ada unsur paksaan dari pihak lain. Dalam kes sebegini, perlu ada keseragaman dalam menentukan status kelayakan pernikahan dengan tidak hanya bergantung kepada budi bicara hakim syarie semata-mata.

Cadangan membabitkan pihak ketiga seperti pegawai perubatan seharusnya wajar untuk menentukan perlu ada satu prosedur standard operasi (SOP) yang jelas dalam menentukan status kelayakan pernikahan bawah umur.

Usia bawah 16 tahun bukan sahaja dilihat belum matang dalam membuat keputusan, namun lebih penting adalah hak kanak-kanak terbabit untuk mendapat perlindungan yang adil dan sewajarnya.

Berita Harian X