Ahad, 19 Ogos 2018 | 11:00am
KERAJAAN Pakatan Harapan kena berusaha keras bagi memenuhi senarai janji dalam manifestonya. - Foto NSTP
KERAJAAN Pakatan Harapan kena berusaha keras bagi memenuhi senarai janji dalam manifestonya. - Foto NSTP

Kerajaan perlu bekerja lebih keras tunai janji

KETIKA Pakatan Harapan diumum berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, ramai yang terkejut dan tidak menyangka bahawa pucuk pimpinan Malaysia bertukar tangan.

Melihat kepada jentera serta kelebihan dari sudut media, sokongan daripada rakyat khususnya di luar bandar, sumber kewangan yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seakan-akan ‘mustahil’ gabungan parti itu boleh ditewaskan.

Punca sebenar membawa kepada berakhirnya pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah 61 tahun masih diperdebatkan oleh pelbagai pihak.

Daripada cendekiawan, ahli politik, tokoh masyarakat sehinggalah pengkritik ‘tidak bertauliah’ dalam kalangan netizen, minat terhadap perubahan dalam pentadbiran negara masih terus diperkatakan.

Kejayaan Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya juga masih dibincangkan walaupun 100 hari sudah berlalu sejak pembentukan kerajaan baharu.

Faktor sumbang kejayaan

Antara faktor yang dikatakan banyak menyumbang kepada kejayaan berkenaan adalah senarai janji yang dimuatkan dalam manifesto PH bagi menghadapi PRU-14 lalu.

Jumaat lalu, genap tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan PH dan tumpuan rakyat beralih kepada senarai janji yang dikemukakan, apa yang sudah ditunaikan, apa yang ditangguh atau dimansuhkan.

Jika diteliti manifesto PH, ia antara lain menjanjikan penghapusan tol, cukai barang dan perkhidmatan (GST), memerangi rasuah serta memberi perhatian serius terhadap isu integriti dan penyelewengan.

Iltizam yang disenaraikan mencakupi tindakan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, manifesto juga menyenaraikan janji menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar, menyamaratakan dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

Janji lain ialah memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah serta menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan.

Memansuhkan senarai hitam ke atas peminjam PTPTN turut tersenarai dalam manifesto berkenaan bersama beberapa lagi janji lain.

Namun, setakat Jumaat lalu , hanya sebahagian kecil daripada janji yang dibuat PH sudah ditunaikan, meskipun tempoh 100 hari sudah berakhir. Justeru, tidak hairan semakin ramai membangkitkan isu ini, ramai juga yang mengkritik kerajaan.

Jangan pandang ringan

Pihak kerajaan tidak harus memandang ringan isu ini, sebaliknya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan semua janji disenaraikan dalam manifesto, walaupun ia mungkin mengambil masa.

Seterusnya, kerajaan harus membentangkan perancangan yang jelas agar rakyat dapat menilai sejauh mana ketelusan dan keseriusan pemerintah dalam menunaikan janji yang ditaburkan.

Pihak kerajaan juga harus berhenti berpolitik, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi negara yang membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Pemimpinnya pula harus sedar bahawa mereka dipilih oleh rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik. Jadilah pemimpin yang amanah dan berintegriti, bukan sahaja pandai bercakap tapi juga melaksanakannya.

Menteri yang baru dilantik harus pantas belajar, harus sedar bahawa kebanyakan mereka masih ‘hijau’ dalam mentadbir negara yang menjadi satu tugasan amat berat.

Usah mudah hanyut dengan kedudukan dan pangkat serta kemasyhuran yang diterima kerana di mana saja mereka pergi, mereka diperhati dan dinilai oleh rakyat.

Jika rakyat yang meletakkan pemimpin di ‘singgahsana’ berprestij ini, maka rakyat juga mampu menarik mereka ke bawah.

Masa untuk berbulan madu sudah berakhir, pemimpin perlu sedar bahawa mereka bukan lagi pembangkang, sebaliknya pelaksana dasar serta perancangan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X