Ahad, 26 Ogos 2018 | 11:00am

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

SEMINGGU sahaja lagi atau lebih tepat pada Sabtu depan, bermulalah rejim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimomokkan sebagai membebankan pengguna, sehinggalah GST disifar-peratuskan selepas Pakatan Harapan (PH) yang menumbangkan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan.

Belum pun dilaksanakan tetapi gambaran awal yang diberikan pemimpin kerajaan, ketua jabatan kerajaan mahupun pembangkang ialah harga barang akan naik. Alasan diberikan ialah peniaga tamak ambil kesempatan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam sendiri sukar menjangkakan sama ada harga barang kekal atau naik sebaik SST dilaksana, selain Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen menjangkakan akan berlaku kenaikan sedikit harga barang tetapi tidak seteruk ketika GST dilaksanakan.

Mengikut kata Subromaniam, sebanyak 5,443 barang dikecualikan SST berbanding kira-kira 500 barang sahaja ketika era GST. Untuk itu, sepatutnya 50 peratus beban cukai kepada pengguna ‘hilang’ berikutan skop SST tidak selebar ketika era GST, sekali gus sepatutnya harga barang turun!

Dengan perkataan paling mudah, turun-naik barang di Malaysia bukan ditentukan kerajaan melalui pelaksanaan rejim cukainya, sebaliknya ada banyak faktor lain, terutama ‘permainan’ yang dikawal peniaga dengan mengambil peluang daripada kelemahan penguatkuasaan oleh agensi yang dipertanggungjawabkan, khususnya dari segi teknikal membabitkan barangan dikenakan cukai dan dikecualikan cukai.

Sekiranya sudah diketahui antara punca kenaikan ini, mengapa kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih belum mengambil langkah membetulkan kelemahan itu bagi memastikan pelaksanaan SST benar-benar membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Isu kekurangan penguat kuasa bukan perkara baharu, malah diwarisi sejak zaman pentadbiran BN lagi. Begitu juga kerakusan dari peringkat pengimport, pemborong, pengedar dan peniaga menaikkan harga sesuka hati atas alasan dikenakan pelbagai cukai bukan sehari dua ini diperkatakan rakyat. Ia isu yang diwarisi dan saban tahun diuar-uarkan untuk mendapat perhatian kerajaan dan pihak berkuasa.

Cukuplah dengan kenyataan retorik daripada pelbagai peringkat perkhidmatan kerajaan seperti soal kenaikan barang tidak seteruk mana, berbanding GST atau rakyat membayar cukai berjumlah RM44 bilion kepada kerajaan, berbanding anggaran RM20 bilion yang akan dikutip menerusi SST. Bagi rakyat, rejim cukai dikenakan biarlah memberi faedah dan manfaat besar kepada rakyat, khususnya harga barang turun, sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka.

Saban tahun kita disajikan dengan berita kekurangan penguat kuasa KPDNHEP setiap kali ada laporan mengenai kenaikan harga barang. Bayangkan senario nisbah seorang penguat kuasa terpaksa memantau 12,307 pengguna ketika ini, yang pastinya di luar kemampuan mereka. Secara lebih tepat, 2,373 penguat kuasa KPDNHEP terpaksa mengawasi 32 juta rakyat Malaysia.

Dengan jumlah kakitangan penguatkuasaan yang kecil, kita mengharapkan tindakan yang berkesan dalam mengawal kenaikan harga dan membendung tindakan peniaga yang mengambil kesempatan, khususnya mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan.

Perlu diingat, ada pihak sebelum pilihan raya umum lalu memperlekeh cadangan supaya polis dan tentera turut membantu dalam operasi penguatkuasaan KPDNHEP kerana langkah itu disifatkan akan mengganggu tugas sebenar pegawai polis dan tentera yang perlu menumpukan kepada usaha menjaga keselamatan negara.

Malah, pemimpin sama turut mendesak kerajaan menambah jumlah penguat kuasa KPDNHEP, selain menuduh agensi penguatkuasaan itu sengaja mencari alasan berikutan kegagalannya mengatasi masalah kepenggunaan kerana tidak membuat pemeriksaan berkala dan menunggu laporan baru mahu mengambil tindakan.

Apapun, rakyat mahu melihat tindakan berkesan diambil dalam menurunkan harga barang oleh kerajaan yang dipilih. Bak kata pepatah, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Gaya Hidup/Hal Ehwal Semasa BH

Berita Harian X