Jumaat, 28 September 2018 | 11:01am
FOTO hiasan

'Rahmatan lil alamin' perlu ditafsir secara hikmah, cermat

MUTAKHIR ini konsep ‘rahmatan lil alamin’ menjadi satu isu yang agak popular. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof sering mempromosi gagasan ‘rahmatan lil alamin’ dalam ucapan beliau.

Konsep ‘rahmatan lil alamin’ telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui ayat 107, Surah al-Anbiya’ yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.

Ayat ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk membawa mesej rahmat meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya.

Rahmat seperti dibincangkan ulama, bermaksud kasih sayang. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.

Amalan sunah nabi dalam konteks meratakan konsep ‘rahmatan lil alamin’ ini dapat dilihat dalam beberapa konteks.

Pertama, rahmat kepada orang tua. Contoh kepada rahmat ini ialah pada satu ketika Nabi melihat seorang wanita tua sedang memikul kayu api di tengah cuaca panas.

Setelah keletihan wanita itu berhenti sebentar, Nabi lalu menghampirinya dan menawarkan bantuan memikul kayu api itu sehingga ke rumah wanita terbabit. Wanita berkenaan gembira dengan sifat rahmat Nabi.

Doa untuk musuh

Kedua, rahmat terhadap musuh. Contoh rahmat kepada musuh ialah satu ketika seorang sahabat mengesyorkan Nabi agar mendoakan kejahatan dan kemusnahan musyrikin yang banyak mengganggu dakwah Nabi.

Baginda memberi respons: “Sesungguhnya aku tidak diutuskan sebagai pembawa laknat (kepada orang lain) tetapi aku diutuskan sebagai pembawa rahmat”. (hadis sahih Muslim).

Ketiga, rahmat terhadap kanak-kanak. Contoh kepada rahmat ini ialah menjadi kelaziman Nabi mengusap dan mengucup dahi kanak-kanak yang ditemuinya.

Suatu ketika Baginda ditegur oleh seorang Arab Badawi mengenai perbuatan itu. Lalu Baginda bersabda: “Sesiapa yang tidak mengasihi, nescaya dia tidak akan dikasihi”.

Keempat, rahmat terhadap binatang. Rasulullah telah menyampaikan mesej yang begitu jelas seperti hadis riwayat al-Imam al- Hakim yang maksudnya: “Sesiapa yang dengan sewenang-wenang membunuh burung atau haiwan lain yang lebih kecil darinya, maka Allah akan meminta pertanggungjawaban kepadanya”.

Berbalik kepada gagasan idea yang cuba dipromosi Mujahid, ia perlu ditafsirkan secara hikmah dan cermat. Kita tidak boleh terlalu bersifat ‘apolegetik’ dalam menterjemahkan konsep ‘rahmatan lil alamin’ sehingga menggadaikan prinsip beragama.

Dalam meraikan orang bukan Islam, kita tidak boleh bertoleransi dalam hal yang bercanggah dengan perintah agama. Misalnya mengambil sikap berkompromi dalam soal judi dan arak kerana menjaga hati mereka.

Hal ini tidak dibolehkan kerana bercanggah dengan prinsip ajaran Islam yang mengharamkan judi dan arak atau membolehkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berkongsi tandas dengan orang kurang upaya (OKU) atau tandas khusus untuk mereka.

Jenayah syariah

Idea ini seolah-olah mempromosi LGBT dan dibimbangi membawa kesan yang lebih buruk terhadap masalah sosial dan moral masyarakat. Banyak kaedah dan cara lain yang boleh diambil dalam menangani dan menyantuni golongan LGBT ini.

Memang perlu mereka disantuni dan ditarbiah supaya pulang ke pangkal jalan, namun pada masa sama, kita jangan lupa golongan ini juga sebenarnya terjebak dalam kes yang boleh dikategorikan sebagai jenayah syariah.

Justeru, pendekatan undang-undang juga perlu dalam membendung dan menyekat gejala ini daripada terus menjadi virus kepada masyarakat.

Ini disebabkan kesejahteraan sesebuah masyarakat ditentukan oleh dua komponen penting, iaitu pendidikan dan undang-undang. Kedua-duanya perlu berjalan serentak.

Manusia perlu dididik, pada masa sama perlu dikawal oleh undang-undang. Tidak semua manusia boleh dibentuk melalui bimbingan dan pendidikan, ada juga kalangan mereka perlu dicegah dan dikawal dengan undang-undang supaya tidak menjadi ancaman kepada keselamatan orang lain.

Sebenarnya, kedua-dua komponen pendidikan dan undang-undang sangat berkait rapat dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’ dan perlu dalam konteks mensejahterakan kehidupan masyarakat.

Bukan konsep baharu

Konsep dan gagasan ‘rahmatan lil ‘alamin’ ini bukanlah sesuatu yang baharu. Mesej dakwah dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.

Sesuai dengan pengutusan Baginda sebagai rahmat kepada sekalian alam seperti tercatat dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107.

Ulama telah membincangkan secara jelas dan panjang lebar konsep ‘rahmatan lil alamin’ sebagaimana termaktub dalam ayat. Rumusan yang dapat diambil daripada perbincangan ulama mengenai ‘rahmatan lil ‘alamin’, merujuk kepada makna kasih sayang.

Justeru, Islam ialah agama yang mempromosi kasih sayang kepada semua makhluk Allah SWT dan menjadi tanggung jawab umat Islam sebagai umat terbaik menterjemahkan konsep ‘rahmatan lil alamin’ dalam kehidupan seharian supaya menjadi contoh kepada bukan Islam.

Malang apabila melihat kepada tutur kata dan perilaku sebahagian umat Islam kini yang menodai konsep ‘rahmatan lil ‘alamin’. Jika dilihat dalam media sosial seperti Facebook, begitu banyak perkataan keji yang dizahirkan oleh orang yang mengaku diri mereka Islam.

Apakah dengan menghamburkan kata-kata nista, umpat dan keji melayakkan kita memegang status ‘khayra ummah’?

Sewajarnya umat Islam perlu menjadi model dalam penghayatan ‘kasih sayang’ melalui konsep ‘rahmatan lil alamin’ agar menjadi dakwah bil hal (dakwah dengan contoh) kepada bangsa dan agama lain.

Masih belum terlambat bagi yang terlajak dalam perlakuan dan perkataan seperti yang telah dinyatakan. Kembalilah kepada asas agama supaya kita boleh menjadi umat contoh dengan menyebarkan konsep ‘rahmatan lil alamin’ dalam kehidupan seharian.

Pusat Kesejahteraan Insan & Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X