Ahad, 14 Oktober 2018 | 11:00am

Hukuman mati, qisas dan diyat

TINJAUAN pendapat dijalankan akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) (NSTP) Berhad secara dalam talian mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori, seharusnya diberikan perhatian oleh mana-mana gerakan atau kerajaan.

Dapatan daripada undian melalui laman Facebook dan Twitter oleh 22,000 pelayar laman sosial, mencatatkan 82 peratus tidak bersetuju ia dihapuskan, manakala 18 peratus mahu cadangan itu diteruskan.

Rentetan daripada pengumuman mengenainya dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bahawa semua pelaksanaan hukuman mati ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa, BH semalam menyiarkan kekesalan keluarga mangsa bunuh.

Mereka menyifatkan cadangan memansuhkan hukuman yang sudah sekian lama dilaksanakan di Malaysia sebagai tidak adil bagi keluarga mangsa pembunuhan.

Ketika ini, hukuman mati ke atas 1,278 banduan ditangguh serta-merta, alasan untuk pemansuhan ini adalah salah bagi manusia mengambil nyawa orang lain dan khuatir jika berlaku kesilapan dalam keputusan mahkamah.

Timbul pula pertanyaan, bagaimana pula kes lain yang bukan membabitkan pembunuhan jika berlaku kesilapan dalam keputusan oleh mahkamah, khususnya membabitkan hukuman penjara untuk tempoh panjang.

Dalam kes beberapa pembunuhan kejam dilaporkan yang mengejutkan negara dan pesalah bakal digantung, adakah waris mangsa bunuh akan berpuas hati jika penjenayah disabitkan secara sah di sisi undang-undang hanya dihukum penjara, selain jumlah hari menghuni dalam penjara boleh dipendekkan atas alasan berkelakuan baik atau mendapat pengampunan.

Daripada temu bual yang disiarkan BH, ramai keluarga, termasuk waris tiga beranak yang mati ditikam selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau di stor mereka di Wakaf Mek Zainab, Kelantan tahun lalu, tidak bersetuju cadangan itu.

Khai Eng Choon, abang mangsa, menegaskan keluarganya berpendapat ia tidak adil kepada mereka, malah berasakan perlu dikenakan hukuman lain lebih berat selain hukuman mati.

Ada yang melihat tempoh lama di penjara langsung tidak prihatin terhadap nasib, perasaan dan kehidupan keluarga mangsa.

Berdasarkan kenyataan menteri, semua kertas kerja mengenai pemansuhan hukuman mati kini pada peringkat akhir dan Peguam Negara memberi isyarat untuk dibentangkan di Parlimen bermula 15 Oktober ini.

Persoalannya, sudahkah peguam Islam, pertubuhan Islam, mahu pun mufti dan ulama dipelawa atau diminta untuk memberi pandangan dari perspektif hukum Islam, khususnya qisas.

Sewajarnya konsep qisas turut dimasukkan dalam pembaharuan hukuman bunuh yang dicadangkan itu. Bagi agama Islam, pembunuhan dikategorikan dalam kes qisas iaitu hukuman sama dan seimbang dengan kesalahan dilakukan.

Keistimewaan qisas pula, pihak yang kena tuduh boleh merayu kepada keluarga mangsa agar dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyat.

Jika kedua-dua pihak bersetuju, diyat boleh menggantikan hukuman qisas berkenaan. Ini bermakna keluarga mangsa boleh mendapat ganti rugi untuk meneruskan kehidupan.

Berbeza dengan hukuman undang-undang sivil yang mementingkan hukuman semata-mata dengan harapan ia dapat mengekang perlakuan jenayah, qisas memberi alternatif lebih baik dengan menjamin kehidupan keluarga mangsa yang ditinggalkan.

Adalah lebih wajar, sebelum pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan di Parlimen, kerajaan atau pejabat Peguam Negara mengadakan perbincangan dengan pakar perundangan Islam bagi mendapat input untuk penambahbaikan atau cadangan lain.

Perlu diingat, Islam adalah agama rasmi negara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, apatah lagi kalau usaha itu dilihat untuk membelakangkan hukum Islam.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Gaya Hidup/Hal Ehwal Semasa BH

Berita Harian X