Rabu, 17 Oktober 2018 | 10:59am

Beri ruang bahas sebelum hapus hukuman mati

PERKATAAN ‘jenayah’ biasanya digunakan untuk kesalahan yang dianggap berat seperti merompak, mencuri, merogol, membunuh dan sebagainya. Kesalahan berat ini biasanya dinyatakan dalam Kanun Keseksaan, iaitu undang-undang utama negara untuk membolehkan seseorang dihukum atas sabitan jenayah.

Dua ciri penting menentukan seseorang itu melakukan kesalahan atau jenayah ialah niat yang salah (mens rea) dan tindakan atau perbuatan yang salah (actus reus).

Seksyen 173 (m)(2) Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa apabila mahkamah mendapati bahawa ‘Orang Yang Dituduh’ bersalah atau pengakuan salah direkodkan dan diterima, maka mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang.

Abdul Aziz Hussein dalam bukunya Panduan Umum Undang-Undang Jenayah di Malaysia menjelaskan bahawa pengertian ‘mengikut undang-undang’ bukan saja mengikut kehendak seksyen orang itu didakwa tetapi juga dinilai dan dikenakan hukuman mengikut prinsip undang-undang sedia ada.

Jenis hukuman

Berdasarkan undang-undang yang ada di negara ini, terdapat beberapa jenis hukuman yang boleh dikenakan ke atas pesalah seperti diberi amaran lisan, denda, diikat jamin, diletakkan di bawah pengawasan polis, membayar pampasan am, sebatan dan dihukum mati.

Hukuman mati ialah paling berat yang dijatuhkan mahkamah ke atas penjenayah tertentu. Hukuman ini membawa maksud penjenayah dinafikan nyawa, iaitu nyawanya dikeluarkan dari jasad mengikut prosedur pelaksanaan hukuman yang ditetapkan undang-undang.

Di Malaysia, hukuman berkenaan dilaksanakan dengan cara digantung sampai mati. Ia tidak boleh dilaksanakan dengan cara seperti dikenakan kejutan elektrik, dipancung, disula atau ditanam hidup-hidup.

Seksyen 277 Kanun Acara Jenayah dengan jelas menetap hukuman itu dilaksanakan dengan digantung lehernya sehingga mati.

Baru-baru ini, tercetus perbahasan di media massa mengenai cadangan kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori dan memberi hak memutuskan hukuman terhadap pesalah kepada budi bicara hakim.

Bagi badan penggerak hak sivil dan kemanusiaan, langkah itu disambut baik dan pelaksanaannya perlu disegerakan sambil mengharapkan, ia bakal membuka jalan kepada penghapusan hukuman mati untuk semua jenayah.

Kebebasan untuk hakim

Menurut mereka, hakim perlu diberikan kebebasan untuk menentukan hukuman sewajarnya berdasarkan kepada fakta yang dibentangkan semasa perbicaraan di mahkamah.

Pada masa ini, hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati mandatori jika seseorang tertuduh didapati bersalah atas kesalahan tertentu.

Pihak lain pula berpendapat bahawa hak keluarga mangsa jenayah seperti dalam kes pembunuhan wajar mendapat balasan setimpal bagi kehilangan ahli keluarga dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas pembunuh.

Mereka berpendapat dalam perundangan Islam sendiri, terdapat hukuman mati ke atas pembunuh. Namun, sayugia diingatkan bahawa hukuman itu bukan hak mutlak hakim untuk memutuskannya kerana Islam masih memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk memberi pengampunan kepada penjenayah (hukuman qisas).

Jika dinilai, sesetengah kesalahan mungkin boleh dihapuskan hukuman mati seperti kesalahan mengedar dadah. Namun, ada kesalahan yang mungkin hukuman mati perlu dikekalkan seperti kesalahan membunuh dengan niat atau kesalahan memberontak terhadap negara.

Apa pun, pada hemat penulis, walaupun kerajaan menyasarkan untuk menghapuskan terus hukuman mati selari dengan konsensus antarabangsa yang menghapuskan hukuman berkenaan, namun langkah itu harus dikaji dengan teliti.

Ruang secukupnya perlu diberikan kepada semua pihak sama ada dalam sektor perundangan, badan bukan kerajaan, ahli akademik mahupun masyarakat menilai dan membahaskannya.

Di negara Barat seperti Belanda dan United Kingdom, penghapusan hukuman mati dilaksanakan selepas proses perdebatan mengenainya berlangsung dalam tempoh yang agak lama sebelum keputusan menghapuskannya dibuat oleh kerajaan berkenaan.

Penulis adalah Penganalisis sosiopolitik bebas

Berita Harian X