Ahad, 11 November 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Biar semua dapat sarapan

DALAM memperkenalkan sesuatu perubahan, biar kesan ‘benda baharu’ yang mahu diwujudkan itu dinikmati semua pihak, tidak perlu pun diadakan sekatan atau syarat baharu.

Jika ada syarat, ia bukan pembaharuan yang signifikan atau dengan kata lain, ia sekadar kelangsungan program terdahulu yang ditambah di sana-sini supaya kelihatan segar.

Kalau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu mewujudkan skim sarapan percuma berkhasiat di sekolah rendah, buat untuk semua kerana anak yang tiba di sekolah, sama ada yang menaiki Mercedes atau Audi, Honda atau Proton dan Perodua, waima motosikal Honda Cub atau Yamaha, tidak tahu pun apa itu B40.

Jika tidak, ia sekadar satu lagi penerusan Program Susu Sekolah (PSS) atau Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang tidak difahami oleh murid mengenai rasional atau fungsi di sebalik program berkenaan.

Dari sudut negatifnya, kita sudah membezakan status di antara murid sejak di sekolah rendah lagi, sedangkan ini masa terbaik untuk mereka berinteraksi ketika makan, belajar berkongsi makanan, selain anak yang kaya dapat merasai makanan pagi yang ‘tidak seberapa’ berbanding di rumah mereka.

Hakikatnya, anak orang kaya atau anak orang miskin ke sekolah hanya untuk belajar dan mencari ilmu dan mereka tidak memahami kesenangan atau kesusahan dihadapi ibu bapa mereka.

Kenapa pula kita perlu menukar pemikiran mereka sebaik menjejakkan kaki ke sekolah dengan memperkenalkan perbezaan darjat dalam menikmati makanan percuma di sekolah?

Sebagai ibu bapa, kita amat mengharapkan perkara ini diberikan perhatian serius Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mendapat ilham untuk memperkenalkan sarapan percuma di sekolah ketika mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan kerja tiga hari ke Jepun, baru-baru ini.

Ketika ini, ada hampir 2.8 juta murid sekolah rendah, termasuk anak golongan isi rumah berpendapatan rendah atau B40 di seluruh negara.

RMT diperkenal sejak 1979

Untuk rekod, ketika di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), pelaksanaan RMT yang diperkenalkan sejak 1979 menetapkan hanya keluarga di bawah Paras Garis Kemiskinan Nasional atau dikenali miskin tegar dengan pendapatan isi rumah RM580 sebulan layak menikmatinya.

Biarlah perubahan dalam land-skap politik negara benar-benar dinikmati rakyat tanpa mengira latar belakang, khususnya membabitkan kepentingan kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin akan datang.

Jadikan usaha melahirkan kanak-kanak sihat dan cergas satu keutamaan kerajaan, tiada sekatan atau mengehadkan keistimewaan yang mereka perlu nikmati ketika dalam proses tumbesaran.

Usah semai bibit politik ketika mereka masih ‘hijau’ dengan menafikan atau memberikan hak istimewa kepada kelompok tertentu ketika di sekolah rendah lagi, termasuk untuk makan kerana jika dibiarkan, pengajaran dilihat di sekolah akan dibawa sehingga mereka besar yang akhirnya merosakkan pemikiran mereka.

Hakikatnya, bukan semua murid ke sekolah bersarapan di rumah. Kajian di Malaysia juga mencatat dapatan mengejutkan, iaitu satu daripada tiga kanak-kanak ke sekolah dengan perut kosong.

Disebabkan kesuntukan masa ibu bapa pada sebelah pagi, anak menjadi mangsa kerana tidak sempat untuk bersarapan.

Jadi tidak hairan jika murid yang tidak bersarapan menjadi kurang aktif atau monyok (masam dan sedih) berbanding yang bersarapan. Tidak mustahil, ia juga akan menjejaskan pembelajaran dan tumpuan mereka di sekolah.

Semua kanak-kanak menghabiskan tempoh lama di sekolah, lazimnya satu pertiga daripada keperluan nutrien harian dimakan di sekolah. Ini bermakna pengambilan makanan di sekolah penting untuk semua, bukan kumpulan tertentu sahaja.

Sewajarnya skim sarapan percuma berkhasiat untuk semua murid dijadikan antara langkah awal kerajaan merealisasikan hasrat lebih besar, iaitu menyediakan pendidikan percuma di universiti awam.

Skim seumpama itu yang sudah berjaya di Amerika Syarikat atau Jepun harus menjadi rujukan kementerian, termasuk meluluskan akta mengenainya.

Seharusnya syarikat swasta digalak menyertainya sebagai penaja, bukan sebagai pembekal keperluan ke sekolah seperti dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Bagi kebanyakan rakyat, mereka mahu kerajaan membuat keputusan yang betul demi kepentingan semua pihak, bak kata pepatah, ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua’.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Gaya Hidup/Hal Ehwal Semasa BH

Berita Harian X