Khamis, 15 November 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan

Menarik pelajar cemerlang B40 ke SBP, MRSM

MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun memberi jaminan bahawa pihaknya akan memastikan lebih ramai pelajar dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah (B40) diberikan keutamaan untuk memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di bawah kelolaan kementerian itu.

Malah, menteri terbabit mendakwa MRSM yang fokus utamanya untuk membantu masyarakat luar bandar dan miskin semakin dimonopoli golongan elit hingga menyekat kemasukan pelajar berpendapatan rendah ke sekolah itu.

Seorang rakan penulis yang anaknya kini sedang belajar di MRSM tidak bersetuju dengan dakwaan Rina kerana berdasarkan pengalaman di sekolah anaknya itu, rata-rata yang memasuki sekolah terbabit golongan berpendapatan sederhana (M40).

Elit yang bagaimana dimaksudkan menteri itu tidak begitu jelas kerana menurut kefahaman penulis, elit bermaksud golongan berpengaruh dan intelek.

Tidak dinafikan memang ada anak orang kenamaan, menteri malah ahli perniagaan berpengaruh yang berjaya mendapat tempat di MRSM. Begitu juga dengan sekolah berasrama penuh (SBP) yang lain seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Tun Fatimah (STF) (sekadar menyebut beberapa nama) yang dikatakan semakin dikuasai golongan kaya dan berpengaruh ini.

Namun hakikatnya, bilangan mereka tidaklah ramai kerana golongan pertengahan dan pelajar luar bandar masih menguasai kebanyakan MRSM dan SBP di negara ini.

Mungkin disebabkan status dan pengaruh yang dimiliki ibu bapa segelintir pelajar terbabit menjadikan mereka lebih menonjol dan diberikan fokus utama, berbanding lebih ramai pelajar kumpulan B40 atau golongan pertengahan (M40).

Akses internet terhad

Menurut rakan penulis lagi, proses untuk memohon MRSM dan juga SBP sekarang dilakukan secara dalam talian dan selain berdasarkan keputusan cemerlang peperiksaan banyak juga soalan perlu dijawab calon yang menjurus ke arah kepemimpinan pelajar terbabit.

Dalam hal ini, ibu bapa juga memainkan peranan dalam memastikan anak mereka berjaya mendapat tempat di sekolah berprestij selepas mencatatkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Bagi pelajar di bandar yang rata-rata berpendidikan tinggi, itu semua bukan halangan kerana kadang kala ibu bapa sendiri yang lebih teruja dalam mendapatkan maklumat dan membuat permohonan kemasukan anak ke sekolah terbabit.

Berbeza dengan ibu bapa di luar bandar yang bukan sahaja kurang berpendidikan, malah akses mereka terhadap internet juga agak terhad memandangkan semua urusan permohonan kemasukan perlu dilakukan secara dalam talian.

Bukan tidak ada bantuan kepada golongan pelajar dari kumpulan B40 ini, malah sememangnya pihak MRSM sendiri turun padang dalam mengenal pasti pelajar berpotensi di luar bandar mendapat bantuan penuh pelajaran. Malah, penulis difahamkan kelonggaran juga diberikan untuk menarik minat mereka, termasuk anak Orang Asli belajar di MRSM biarpun keputusan peperiksaan mereka hanya memperoleh 1A.

Malangnya, ibu bapa dan pelajar terbabit sendiri yang menolak tawaran belajar berkenaan. Kita amat berharap supaya pihak kementerian prihatin dan dapat berbuat sesuatu untuk mencari punca sebenar golongan terbabit menolak peluang belajar berkenaan.

Paling penting, pujuk ibu bapa atau pelajar berkenaan supaya tidak membiarkan begitu sahaja peluang yang ada.

Kisah Ijat jadi viral

Senario yang berlaku mengingatkan penulis kepada kisah ‘Ijat’ yang viral di media sosial ketika ini. Pengalaman Ijat yang ditulis oleh ‘Kak Ngah’nya sendiri cukup meruntun jiwa hingga ramai netizen lelaki juga tidak segan silu mengakui menitiskan air mata membaca coretan itu.

Memiliki tujuh adik beradik dengan bapanya mencari rezeki sebagai pembuat batu nisan membuatkan kita faham kehidupan Ijat sekeluarga bukan cukup senang. Tetapi Ijat pelajar cemerlang di sekolahnya dan ditawarkan ke SBP selepas mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Melihatkan senarai yuran yang perlu dibayar membuatkan Ijat termenung dan hampir mahu melupakan hasratnya ke sekolah berkenaan. Ditambah pula dengan keadaan bapanya ketika itu mendapat serangan angin ahmar, sekali gus menjejaskan pendapatan keluarga.

Kira-kira dua minggu sebelum pendaftaran ke sekolah berasrama berkenaan, Ijat selalu ‘hilang’ dari rumah dan hanya akan pulang menjelang senja. Menangis si kakak apabila mengetahui bahawa Ijat mengumpul sendiri barangan untuk persediaan memasuki asrama dari tempat pembuangan sampah.

Lebih memilukan melihat barangan seperti baldi yang sudah retak tidak bertangkai, penyangkut baju berlainan warna dan saiz serta kasut sukan sudah ternganga tapaknya yang dikutip Ijat. Malah, Ijat turut mengajak Kak Ngah menemaninya untuk membawa balik beg troli yang ditemuinya di tempat sama.

Yuran pendaftaran

Tidak berakhir di situ, hasrat Ijat untuk meneruskan pembelajaran di sekolah berasrama hampir sahaja dilupakannya. Ketika orang lain dihantar ibu bapa masing-masing ketika hari pendaftaran, Ijat ditemani Kak Ngah yang hanya berusia 15 tahun.

Ayah mereka menyediakan wang secukupnya yang diperlukan untuk pendaftaran, malangnya mereka tidak dimaklumkan mengenai RM50 lagi yang perlu dibayar bagi yuran koperasi. Apa yang mampu dilakukan Ijat ketika itu adalah mengajak kakaknya pulang, manakala Kak Ngah pula hanya boleh menangis mengenangkan nasib si adik.

Namun, nasib menyebelahi Ijat apabila ada insan yang ringan mulut bertanya selepas melihat keadaan dua beradik itu yang tidak keruan. Lebih menggembirakan mereka apabila pengetua sekolah memaklumkan semua yuran Ijat akan ditanggung zakat sekolah dan memulangkan semula duit yuran yang dibayar terdahulu.

Kisah itu berlaku 12 tahun lalu dan Ijat kini berada dalam tahun akhir pengajian perubatan di Ireland. Kita mahu lebih ramai ‘Ijat’ diberi peluang mendapat pendidikan lebih baik yang bukan sahaja bakal mengubah kehidupan miskin mereka sekeluarga, tetapi kerana negara juga bakal memerlukan khidmat mereka.

Berita Harian X