Ahad, 25 November 2018 | 11:06am
- Gambar hiasan/thestar

Pengalaman bentuk sahsiah diri anak

Orang tua selalu berpesan, untuk menjadi ‘orang’ apabila dewasa kelak, pengalaman pahit manis zaman kanak-kanak itu yang paling berguna. Maknanya, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Lantaran itu, penulis bernasib baik kerana kehidupan di kampung zaman awal 70-an cukup ‘istimewa’ kerana meskipun keadaan yang serba kekurangan, rata-rata masyarakat kampung kaya dengan pengalaman.

Mana tidaknya, sebut apa sahaja pekerjaan yang tidak dilakukan - daripada menoreh getah, mencangkul sawah, menanam keledek dan ubi kayu - sehingga menjual pisang goreng di tepi jalan dan mengambil upah menebas kebun getah.

Semua dilakukan bagi menambah kocek ayah yang sentiasa kempis untuk menyekolah dan menghantar anak sehingga ke menara gading.

Asam garam kehidupan ini juga tentu dilalui sebahagian mereka yang menjadi ‘orang’ dan berjaya hari ini. Ini tidak lagi mengutip pengalaman bahaya atau kurang ‘elok’ seperti mandi di empangan, curi-curi merokok, mengutip cendawan busut di dusun sebelah atau ‘mengintai’ rambutan masak dan petai di dusun orang.

Semua ini pengalaman yang tidak diajar di sekolah, tetapi dilakukan semata-mata atas niat untuk merasai, bukan mahu menjadikannya satu tabiat atau pekerjaan.

Berbeza zaman kanak-kanak hari ini yang hampir semuanya lengkap diatur atau ditentukan. Didikan di rumah tidak begitu banyak, namun tugas ibu bapa kini diambil alih oleh guru di sekolah.

Bayangkan sistem pendidikan rendah sahaja, anak mula meninggalkan rumah seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah, diikuti ke sekolah pengajian agama jam 3 hingga 6 petang, sebelum disambung lagi ke kelas tuisyen pada sebelah malam.

Kelas berenang

Di manakah masa atau ruang untuk mereka mengutip pengalaman menerusi kehidupan? Justeru, penulis tertarik untuk mengulas satu lagi syor yang mencetuskan ‘polemik’ oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, baru-baru ini. Kementerian Pendidikan katanya bercadang memperkenalkan kelas belajar berenang sebagai sebahagian korikulum bagi memperlengkapkan kemahiran kendiri pelajar menjelang 2020.

Dengan pantasnya lontaran pendapat Dr Maszlee seperti juga isu kasut hitam membuka arena perdebatan sivik. Ramai berasa aneh kerana sekiranya syor ini dipraktikkan di sekolah seluruh negara, mencukupikah kolam renang awam yang biasanya hanya terdapat di bandar besar sahaja.

Kalaupun ada kerjasama membabitkan hotel atau resort, berapa banyakkah yang bertaraf tiga bintang ke atas yang biasanya mempunyai kolam renang? Lokasinya pula biasanya di tempat peranginan tertentu dan di kota besar saja. Justeru, ke mana pula murid pekan kecil dan pedalaman hendak mengikuti kelas renang?

Ramai yang berpendapat banyak lagi perkara lebih penting bagi membentuk sahsiah, kendiri dan membina masa depan pelajar berbanding cadangan kelas renang. Ini tidak lagi menyentuh soal kos dan bebanan tambahan dipikul tenaga pengajar.

Amat menarik mengamati persoalan dikemukakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau di Shah Alam, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz: “Sepatutnya beliau
(Maszlee) fokus hala tuju sistem pendidikan negara yang akan dibawa, adakah ke arah teknologi terkini atau pun kita masih di takuk lama? Cadangan mengajar renang adalah bagus, tetapi kurang bijak.”

Selami juga kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering menekankan betapa perlunya rakyat Malaysia mempelajari bidang teknologi baharu, menerokai industri kemahiran buatan, menghasilkan dron, membangunkan perisian dan aplikasi teknologi maklumat.

Bagi menyimpulkannya, mengutip pengalaman lama dan baharu adalah penting untuk dijadikan paduan dan survival hidup. Ia sekali lagi mempunyai kaitan rapat dengan zaman kanak-kanak itu lagi, disulami dengan sistem pendidikan yang berkualiti pastinya membentuk kemajuan diri dan kesejahteraan keluarga.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Digital, Rencana dan Laporan Khas

Berita Harian X