Sabtu, 1 Disember 2018 | 11:00am
MEDIA sosial juga berperanan menjadikan masyarakat Malaysia lebih peka kepada keadaan sekeliling dan mengeratkan hubungan sesama individu. - Foto hiasan
MEDIA sosial juga berperanan menjadikan masyarakat Malaysia lebih peka kepada keadaan sekeliling dan mengeratkan hubungan sesama individu. - Foto hiasan

Berita palsu dan penyelesaian undang-undang

MEDIA berperanan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Kini melalui internet, peranan media semakin mudah, namun semakin mencabar. Kewujudan internet membantu mempercepatkan proses penyampaian berita dan segala maklumat lama serta baharu.

Media sosial juga berperanan menjadikan masyarakat Malaysia lebih peka kepada keadaan sekeliling dan mengeratkan hubungan sesama individu, namun masyarakat harus lebih berhati-hati kerana ada berita palsu direka semata-mata untuk menarik perhatian netizen dan menjadi isu hangat atau trending.

Situasi ini sangat membimbangkan kerana ada berita yang bertujuan mewujudkan kebencian dan provokasi dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa. Keadaan ini sangat berbahaya kerana Malaysia mungkin hancur dan tidak lagi dihormati di mata dunia dan akibatnya, rakyat akan menanggung rugi.

Elak sengketa kaum

Pada masa sama, pemimpin negara juga mengingatkan rakyat supaya mengelakkan persengketaan antara kaum dan hidup dalam keadaan aman dengan berbuat baik dan saling menghormati sesama masyarakat.

Apa yang direbutkan tidak akan ada pengakhiran kerana tiada perkara kekal.

Sebelum ini, tersebar video mengenai jasad dikatakan seorang imam yang mati ditembak dan selepas kuburnya digali, jasad itu dikatakan masih utuh dengan wajah seperti tersenyum. Mereka yang melihat jasad itu begitu takjub dan beristighfar serta memuji kebesaran Allah SWT.

Saya percaya mungkin ramai umat Islam yang terkesan selepas melihat video berkenaan walaupun kesahihannya dinafikan. Ia dianggap sebagai berita palsu, dibuktikan dengan video berikutnya yang menunjukkan gambar kubur imam terbabit masih utuh.

Selepas melihat berita berkenaan, mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang berbeza pendapat mengenai hal terbabit.

Oleh kerana kita tiada di tempat kejadian, mungkin ramai tertanya-tanya, adakah berita itu benar-benar sahih atau palsu, betulkah itu kubur imam berkenaan? Siapakah penyebar berita itu dan apakah motif pihak berkenaan?

Siapakah yang boleh mengesahkan kesahihan berita itu dan adakah pihak yang menyebarkannya patut dihukum? Persoalan demi persoalan akan muncul dalam minda netizen apabila mereka melihat sesuatu yang agak pelik.

Perspektif undang-undang

Menurut perspektif undang-undang, persoalan di atas tidak akan bernoktah selagi tiada pengesahan daripada pihak berwajib. Isu di atas boleh dibincangkan dalam dua perspektif berbeza.

Pertama, pada dasarnya, setiap orang Islam itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Maka, tidak mustahil jika jasad seseorang mukmin sejati itu kekal seperti sedia kala walaupun sudah bertahun dikuburkan.

Jika Allah SWT mengkehendakinya, maka perkara terbabit boleh berlaku. Insan itu mungkin insan terpilih dan istimewa di sisi Allah SWT.

Kedua, jika ia palsu, berita itu akan disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kaedah terperinci yang mungkin membabitkan kaedah komputer forensik dan lain-lain.

Selepas bukti dapat dikumpul, baru pihak pendakwa boleh membuat dakwaan terhadap suspek di mahkamah mengikut undang-undang berkaitan. Namun, cabaran yang dihadapi mereka ialah berita palsu yang diwujudkan melalui akaun media sosial palsu atau akaun tanpa nama.

Walaupun proses siasatan mengambil masa agak lama jika ini berlaku, pihak pendakwa mesti benar-benar yakin dan pasti bukti yang diperoleh adalah sahih. Tanpa bukti yang kukuh, kes memalsu dan menyebarkan berita palsu tidak dapat diputuskan oleh mahkamah.

Penyebaran berita palsu dikategorikan sebagai kes jenayah mengikut Akta Berita Palsu 2018, namun akta berkenaan sudah dimansuhkan kerana ia dianggap menghalang kebebasan media dan kebebasan bersuara yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Banyak pihak, termasuk Institut Akhbar Malaysia (MPI) tidak bersetuju dengan akta yang menyekat hak media berkongsi berita bersama masyarakat bagi menangani penyebaran berita palsu.

Hukuman setimpal

Maka, jika wujud lagi berita palsu, suspek boleh didakwa mengikut akta lain seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.

Walaupun Akta 1948 dikritik oleh pihak tertentu dan Pakatan Harapan (PH) berjanji memansuhkannya dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) lalu, setakat ini ia masih kekal sebagai akta yang sah dan relevan.

Kebiasaannya, jika berita palsu disebarkan melalui internet, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan jalur lebar atau internet untuk penyebaran berita tidak benar atau menyebarkan berita yang boleh membahayakan keselamatan negara.

Akta 1998 ini membenarkan kerajaan menyekat berita yang dianggap menimbulkan keraguan kepada masyarakat, tetapi pada 2016, badan peguam Malaysia menyatakan, ‘menimbulkan keraguan atau kekeliruan’ adalah tidak membahayakan dan suspek tidak boleh dituduh mengikut Seksyen 233 akta berkenaan.

Persoalannya, apakah cara untuk menguji tahap keraguan dan kekeliruan terbabit? Siapa yang akan mengesahkan bahawa ia tidak seperti yang disangka? Apakah berita berkenaan tidak akan memudaratkan? Setakat ini, akta terbabit masih relevan.

Secara umum, usaha Malaysia menyekat berita palsu sangat dialu-alukan, tetapi secara praktikal, agak sukar untuk mengawal media sosial yang menjadi medium penyebaran berita terpantas.

Tambahan pula, negara tiada undang-undang khusus menyaring atau menyekat penggunaan internet. Maka, kebebasan ini sebenarnya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mereka patut dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang sedia ada.

Pada pandangan saya, perlu ada akta yang boleh menyekat penyebaran berita palsu kerana sedikit sebanyak, ia boleh menggugat keharmonian negara yang patut disayangi semua rakyat, tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X