Rabu, 23 Januari 2019 | 11:01am
Lakaran prototaip model pertama kereta nasional ketiga berdasarkan maklumat sumber industri.

Kereta nasional ketiga di trek betul

PROJEK kereta nasional ketiga dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan idea kosong sekadar memenuhi kehendak dan impian seorang individu.

Sebaliknya lembaran sejarah memaksa kita menilai secara adil dan rasional semangat serta roh tersirat di sebalik cadangan ini.

Suka atau tidak, kebanggaan kita selama ini dalam mengeluarkan kereta sendiri semakin merudum apabila kedudukan PROTON Holdings Bhd (PROTON) sebagai syarikat milik negara, semakin tergugat apabila ekuitinya mula dijual.

Justeru, Dr Mahathir terpaksa mengambil risiko semula dengan mengumumkan cadangan yang jelas kurang popular seperti ini, tatkala keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan.

Harus diingat kereta nasional bukan sekadar untuk perniagaan, tetapi membabitkan identiti, maruah, imej dan jati diri setiap rak- yat negara ini yang patut berbangga dengan kemampuan mengeluarkan kereta.

Untuk rekod, cadangan mewujudkan jenama baharu kereta nasional ini untuk menggantikan PROTON yang sudah tidak dianggap jenama kereta nasional, selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely).

Dalam situasi seperti ini apa lagi yang kita ada untuk dibanggakan. Tidak hairan Dr Mahathir tampil dengan idea baharu ini. Projek kereta nasional pertama juga hasil cetusan dan tindakan berani serta tekad beliau pada 1980.

Sejarah membuktikan bermula dengan model sulung SAGA, pengeluaran pelbagai model PROTON selanjutnya tidak pernah mengecewakan. Rakyat cukup berbangga untuk memilikinya.

Jika diimbas sejarah PROTON, pada peringkat awal ramai tidak setuju, menentang dan memandang sinis cadangan membina kereta sendiri.

Namun, Dr Mahathir sentiasa berani mengambil risiko mencuba sesuatu yang baharu sehingga akhirnya membuatkan semua yang tidak bersetuju itu terpesona dan menggigit jari.

Tidak babitkan dana awam

Gelaran diperbuat daripada tin ‘Milo’ dan mempertikai kualiti pembuatannya sedikitpun tidak melemahkan semangat PROTON untuk terus tampil dengan lebih banyak model, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama tempatan iaitu PROTON Exora yang mendapat sambutan menggalakkan.

Kita akui keadaan ekonomi negara dan global tidak begitu baik, namun itu bukan alasan untuk kita berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa.

Kerajaan mengumumkan projek ini tidak akan membabitkan dana awam, sebaliknya akan dibiayai sepenuhnya pihak swasta. Dilaporkan juga lebih 10 pelabur swasta menunjukkan minat untuk membangunkan model sulung kereta hibrid ini.

Menurut pihak Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), tanpa menggunakan dana kerajaan, konsep pengeluaran dengan menggembleng tenaga dan kepakaran tempatan itu berupaya memberi ‘nafas’ baharu kepada rantaian syarikat vendor, yang sebelum ini menghasilkan pelbagai komponen kereta berteraskan konsep futuristik.

Menurut MIGHT lagi, pengeluaran model pertama ini tidak semestinya membabitkan pembinaan kilang baharu, sebaliknya bakal memaksimumkan kemudahan, kepakaran dan teknologi sedia ada menerusi pembabitan syarikat dipilih.

Projek ini diyakini mampu ‘hidup’ tanpa dana kerajaan kerana syarikat peneraju bakal mewujudkan konsortium dengan pelabur swasta lain, sekali gus mengurangkan risiko perniagaan.

Kita perlu jujur dan ikhlas menilai cadangan ini, jadi elok berpandangan terbuka dan positif menerima suatu idea dengan mengambil kira keperluan jangka masa panjang.

Pakar mengandaikan projek ini bakal menyediakan peluang bagi syarikat berpangkalan di Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam evolusi industri automotif.

Umum menyedari industri automotif berkembang pesat dengan adunan pelbagai teknologi hebat dan terkini. Negara seperti Jepun, Korea Selatan dan China antara pengeluar kereta yang wajar dijadikan rujukan dan contoh jika menilai kedudukan industri automotif negara kita.

Harus diingat perubahan berlaku di peringkat global sudah mengganggu rantaian nilai tradisional sektor automotif. Adakah kita mahu terus ketinggalan?

Kereta hibrid jadi pilihan

Merujuk perkembangan terkini, dilaporkan prototaip bagi model pertama itu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Kereta hibrid dikatakan menjadi pilihan kerana selari unjuran perkiraan kos penyelenggaraan dan bahan api menjelang 2025, yang bakal menyaksikan tiada perbezaan antara kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid.

Kereta hibrid adalah kenderaan yang menggunakan lebih daripada satu sumber tenaga, sama ada petrol atau diesel bersama-sama dengan sebuah motor elektrik yang dijana bateri.

Pemilihan konsep hibrid mampu menangani kegusaran pengguna terhadap ketidaktentuan bekalan minyak mentah dunia, yang mendorong peningkatan harga jualan petrol dan diesel, sekali gus menambah bebanan luar jangka kos sara hidup.

Secara keseluruhannya projek kereta nasional ketiga ini bakal menjadi pemangkin yang boleh menyemarakkan keupayaan teknologi, kejuruteraan dan perindustrian di Malaysia.

Idea ini bukan sekadar mengenai impian untuk mengeluarkan kereta semata-mata, sebaliknya membabitkan hasrat membangunkan keseluruhan ekosistem, sekali gus boleh memberi kesan positif dan signifikan terhadap limpahan ekonomi kepada sektor berkaitan.

Sudah tentu ia akan menjana lebih banyak peluang, terutama pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, sekali gus membolehkan kita melahirkan lebih ramai pakar dalam kalangan anak tempatan.

Dalam memahami hasrat tersirat, sekali pun tidak mahu menyokong janganlah mencetuskan pelbagai polemik, persepsi dan provokasi dalam kalangan anggota masyarakat.

Bagi ruang kepada kerajaan menaikkan semula identiti dan imej negara dalam sektor automotif antarabangsa. Sepatutnya kita bangga dengan kemampuan mengeluarkan kereta sendiri menggunakan kepakaran tempatan.

Penulis merupakan Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berita Harian X