Khamis, 24 Januari 2019 | 11:01am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) bertemakan '15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek' di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa lalu. - Foto BERNAMA

Suara Malaysia tolak rasuah lantang di Vienna

SUARA Malaysia bergema lagi di pentas antarabangsa apabila rasuah yang begitu membelenggu, diketengahkan dengan harapan dunia bersatu memeranginya. Ia selepas kurang tiga bulan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73, di New York Oktober tahun lalu, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyuarakan penentangannya terhadap gejala korupsi.

Kali ini Perdana Menteri memilih Vienna, Austria – satu daripada empat destinasi pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam nada hampir sama, pemimpin yang sentiasa konsisten menentang rasuah dan memperjuangkan integriti ini membentangkan pengalaman Malaysia melalui ‘tempoh gelap’ dipimpin Perdana Menteri yang dipalit rasuah, salah laku dan skandal kewangan.

Di depan delegasi 140 negara anggota Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Persatuan Pihak Berkuasa-Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA), penegasannya cukup jelas. Malaysia tidak mahu lagi dikenali negara korup. Memberi contoh yang mana sejumlah besar lebih RM42 bilion membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilesapkan ke Amerika Syarikat.

Disebabkan skandal itu, kerajaan baharu yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terpaksa membetulkan kerosakan dibuat kerajaan terdahulu. Rakyat Malaysia memutuskan menukar kerajaan selama 61 tahun kerana mengamalkan politik kebencian, ketaasuban perkauman dan agama, selain rasuah cukup berleluasa. Mereka mahu berpaut kepada kerajaan baharu yang mengamalkan dasar keadilan, tadbir urus baik, integriti dan menegakkan undang-undang.

Namun pahit yang terpaksa ditelan bukan kepalang. Rasuah bukan sahaja merosakkan pentadbiran sesebuah negara, malah membawa satu budaya buruk.

Mengapa Dr Mahathir memilih Vienna? Sebenarnya beliau tidak perlu menempuh perjalanan beribu kilometer dalam iklim dingin beku di Vienna ketika ini untuk bercakap mengenai rasuah.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamad, kehadiran Dr Mahathir cukup signifikan selepas kejayaan memimpin gerakan disokong rakyat menumbangkan parti pemerintah terdahulu yang terpalit pelbagai skandal penyelewengan dan isu moral kepemimpinan.

“Kehadiran Dr Mahathir cukup bererti dalam berkongsi pengalaman bagaimana rakyat dan pemimpin bergabung melahirkan Malaysia baharu dan bersih,” katanya.

Komited perangi gejala rasuah

Vienna adalah empat daripada pejabat PBB yang memperakukan Konvensyen Memerangi Rasuah dan Jenayah Ekonomi. Abu Kassim adalah Naib Presiden IAACA, pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Qatar dengan matlamat mengumpulkan usaha memerangi rasuah.

Menyedari peritnya memerangi rasuah sehingga pegawai penguat kuasa dibunuh, diancam nyawa dan diberhentikan kerja, IAACA tampil mengumpulkan dana bantuan.

Malaysia menyokong usaha awal ini dengan menyumbang RM500,000. Komitmen itu diiktiraf IAACA apabila menamakan dana perlindungan itu atas nama Dr Mahathir.

Adakah kita sekadar lantang melaungkan memerangi rasuah di luar negara sahaja? Bagaimana pula di dalam negara yang tentunya isu rasuah, integriti dan tadbir urus masih membelenggu pentadbiran kerajaan?

Menyedari kekhuatiran ini, kerajaan mengambil pendekatan drastik. Buat kali pertama kerajaan memperkenalkan dasar pengisytiharan harta membabitkan Perdana Menteri sehinggalah Jemaah Menteri. Dasar ini sudah ada tetapi sekadar pengisytiharan menteri kepada Perdana Menteri, namun kali ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). Dr Mahathir juga mengehadkan pentadbiran Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.

Apa yang dinanti-nantikan selepas ini pengumuman kerangka komprehensif memerangi rasuah atau dikenali Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dijadual dilancarkan 29 Januari ini.

Menerusi NACP usaha menutup ruang dan peluang rasuah dipertingkatkan. Kita menunggu kedudukan terbaharu Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 Malaysia yang akan dikeluarkan Transparency International Malaysia (TM-I) hari ini.

Jika CPI sebelum ini kedudukan negara jatuh tujuh tempat dari 55 kepada 62 daripada 180 negara, apakah kali ini lebih baik berikutan perubahan kerajaan? Pastinya kita tidak mahu lagi melihat Malaysia masih tidak mampu mencapai markah lulus seperti ditetapkan iaitu 50/100.

Berita Harian X