Ahad, 27 Januari 2019 | 12:31pm
KEDUDUKAN Melayu di Malaysia cukup unik dan istimewa, membuka ruang yang luas untuk bangsa itu memberi sumbangan besar dalam membina ketamadunan dunia moden akhir zaman yang penuh cabaran. - Foto Hiasan
KEDUDUKAN Melayu di Malaysia cukup unik dan istimewa, membuka ruang yang luas untuk bangsa itu memberi sumbangan besar dalam membina ketamadunan dunia moden akhir zaman yang penuh cabaran. - Foto Hiasan

Kemampuan Melayu melangkaui idea populis

KEDUDUKAN Melayu di Malaysia cukup unik dan istimewa, membuka ruang yang luas untuk bangsa itu memberi sumbangan besar dalam membina ketamadunan dunia moden akhir zaman yang penuh cabaran.

Mengambil kira aspek perkembangan pesat Malaysia selepas lebih 60 tahun merdeka, sebahagian besar daripadanya disumbang bangsa Melayu baik dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Terima kasih kepada sistem pendidikan yang membantu membawa ramai anak bangsa yang mewakili kumpulan etnik majoriti negara ini keluar daripada jerat kemiskinan.

Hasilnya ramai anak Melayu hari ini berjaya dan menjadi golongan profesional sehingga berada pada kedudukan baik dan selesa. Semakin ramai juga yang menghuni kelompok golongan pertengahan di negara ini.

Namun, sejak akhir-akhir ini, idea populis semakin merebak dan ia turut mendatangkan kesan dalam kalangan orang Melayu. Rata-rata idea berkenaan menyentuh isu yang sangat dekat di hati rakyat, sekali gus mudah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Idea seperti penurunan harga barang dan petrol, penghapusan tol dan lain-lain tidak dinafikan ada baiknya.

Ia bukan sekadar mengurangkan beban hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, malah menjadi sebahagian daripada harapan rakyat terhadap kerajaan yang dipilih untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Ancaman idea populis

Kehadiran idea populis ini bagaimanapun dibimbangi, apabila mula dikaitkan dengan sentimen kaum dan agama untuk menimbulkan persepsi, kononnya bangsa Melayu sebagai kumpulan majoriti di negara ini dipinggirkan pemerintah.

Lebih malang jika ia mengundang kekeruhan hubungan antara kaum yang sekian lama terjalin harmoni. Jika tidak ditangani dengan baik, tentu ia membawa kesan buruk kepada negara.

Mungkin apa yang diperlukan ialah penyaluran maklumat tepat, jelas dan pantas oleh pihak berkuasa. Dengan kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi, pelbagai medium boleh dimanfaatkan untuk itu.

Perbezaan fahaman politik tidak sepatutnya menjadi penghalang. Pemimpin Melayu daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh agama dan masyarakat, mesti berganding bahu dan menjadi contoh kepada kumpulan serta pengikut masing-masing.

Budaya positif didasarkan ketinggian nilai Islam dan Melayu, mesti dijadikan amalan. Apabila pemimpin dapat menjadi contoh dengan saling menghormati antara satu sama lain dan berbudi bahasa dengan kawan atau lawan, budaya sihat dapat diwujudkan.

Tangani perbezaan dan khilaf

Tentunya perbezaan dan khilaf akan berlaku, namun kepelbagaian pandangan hendaklah ditangani dengan berlapang dada dan pemimpin Melayu mesti berjiwa besar.

Penting sekali keutamaan diberikan kepada matlamat meningkatkan tahap kehidupan rakyat, agar mereka dapat mencapai tujuan hidup dan menjadi warga negara yang baik.

Pemimpin yang tidak dapat mengetepikan kepentingan politik demi rakyat dan negara, mestilah ditolak. Pemimpin jujur, bersih dan amanah pula mesti dimartabat.

Kepelbagaian dalam masyarakat majmuk perlu dilihat kekuatan yang perlu digembleng demi kepentingan negara, kerana masing-masing tidak kira bangsa atau agama, mempunyai kekuatan dan kelemahan yang perlu dilihat sebagai saling melengkapi.

Sumbangan setiap kaum mesti diiktiraf demi melahirkan masyarakat inklusif. Budaya toleransi mesti sentiasa dihidupkan dan sebarang permasalahan dirungkai melalui perbincangan serta muafakat.

Program meningkatkan integrasi antara kaum boleh dilaksanakan mengikut keperluan setempat. Islam sebagai agama yang memberi rahmah kepada seluruh umat manusia mesti ditonjolkan orang Melayu melalui keperibadian dan akhlak yang mulia.

Amalan buruk seperti melabel, apatah lagi menghina, mencaci dan mengeluarkan kata kesat kepada golongan tidak sehaluan, mestilah ditolak. Ia bukan sahaja membawa dosa, malah bukan daripada budaya Melayu.

Bagi kerajaan, pendekatan mendidik secara berterusan harus diambil supaya rakyat dapat hidup harmoni dan sejahtera. Bukan sahaja mengutamakan keadilan, penting juga untuk kerajaan dilihat rakyat sebagai berlaku adil.

Elak persepsi salah

Dalam menilai idea populis, rakyat mestilah tidak mudah terpedaya dengan omongan dan retorik pemimpin, apatah lagi dengan maklumat yang membanjiri media sosial.

Ambillah sikap berhati-hati terhadap setiap maklumat diterima kerana keupayaan menapis maklumat dan memeriksa ketepatan fakta adalah kemahiran yang sangat penting supaya kita tidak terperangkap.

Lebih teruk lagi jika ia membawa kepada terbinanya persepsi salah atau tidak tepat.

Dalam menangani idea populis, rakyat mesti bersifat rasional dan praktikal. Maksudnya sentiasa berpijak di bumi nyata dan bersedia mendengar pandangan dari pelbagai sudut secara objektif dan kritikal, tanpa dipengaruhi sentimen sempit perkauman dan agama.

Kesimpulannya, untuk menghadapi dunia penuh ketidaktentuan dan menangani cabaran semasa, orang Melayu mesti memahami realiti kehidupan moden yang menuntut mereka lebih berdaya saing serta melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.

Untuk melangkah ke hadapan sebagai bangsa berjaya, Melayu mesti tidak terperangkap dengan idea populis semata-mata.

Penulis adalah Yang Dipertua Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Bandar Tun Razak, Mahasiswa Sarjana Polisi Awam Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X