Selasa, 26 Februari 2019 | 11:00am
Suntikan imunisasi penting bagi mengelakkan Difteria.

Kewajaran wajibkan program imunisasi

MALAYSIA mencatat kes kematian akibat infeksi difteria yang pertama awal tahun ini dan kes sebegini sangat mendukacitakan berlaku di negara kita. Merujuk laporan SAGE 2014 (Strategic Advisory Group of Experts on Immunization), Malaysia tidak tersenarai dalam mana-mana kategori pencapaian vaksin yang lemah. Ini bermaksud capaian program vaksinasi terhadap kanak-kanak di Malaysia adalah lebih daripada 90 peratus seperti objektif yang ditetapkan.

Namun, walaupun hanya satu kes kematian dicatatkan ke atas penyakit difteria yang boleh dicegah infeksinya dan dielak kematiannya akibat komplikasi serius, semua pihak perlu mengambil langkah lebih tegas dan berani. Merujuk fakta kes kematian itu, seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebulan meninggal dunia dan disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru minggu lalu.

Kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil minggu lalu. Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke unit kecemasan hospital dalam keadaan lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kanak-kanak malang itu tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari lalu dengan sebab kematian akibat daripada difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan. Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kanak-kanak itu menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae, dan pihak KKM kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria. Kes kematian ini dicatatkan sebagai kematian pertama di Malaysia pada tahun ini akibat tidak mengambil suntikan vaksin.

Apa itu penyakit difteria?

Penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriae. Antara tanda infeksi difteria termasuk sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis (infeksi pada jantung) serta boleh menyebabkan kegagalan organ.

Gejala penyakit difteria juga bergantung kepada tahap keseriusan dan boleh membawa maut kepada kanak-kanak berkenaan. Pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi. Difteria biasanya menular antara manusia yang sudah diinfeksi oleh bakteria Corynebacterium diphtheriae dan tersebar melalui titisan cecair pernafasan.

Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin menyebabkan keradangan di sekitar tekak serta bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin bakteria ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).

Penularan selanjutnya melalui kontak terus atau penularan melalui udara. Ia juga boleh disebarkan melalui objek yang terkontaminasi. Statistik Penyakit Difteria menurut KKM, bagi 2019 sehingga kini, ada satu kes difteria yang disahkan di Malaysia. Pada 2018, sebanyak 18 kes dengan lima kematian dilaporkan di Malaysia dan empat daripada lima kematian ini tidak menerima imunisasi.

Semua kematian difteria bagi 2018 membabitkan kanak-kanak di bawah 10 tahun. Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, bilangan kes difteria paling tinggi di Malaysia adalah pada 2013, iaitu empat kes termasuk dua kematian dilaporkan dengan kadar insiden 0.01 bagi setiap 100,000 penduduk. Berdasarkan fakta ini, kita perlu sedar bahawa jangkitan difteria boleh menyebabkan komplikasi yang serius dan kadar kematian sangat tinggi.

Berdasarkan laporan jurnal perubatan pula, sebelum 1980 didapati lebih sejuta kes dilaporkan akibat penyakit ini di seluruh dunia. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kes difteria menurun secara drastik iaitu 100,000 kes pada 1980 kepada 4,700 kes pada 2013. Ini adalah antara kesan program imunisasi ke atas penyakit difteria.

Menurut sejarah pembangunan vaksin pula, vaksin ke atas penyakit difteria yang pertama dibangunkan sekitar 1921. Di Malaysia, program imunisasi difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib bagi menghindari Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenza Type B.

Ia diberikan pada umur 2, 3 dan 5 bulan sebagai prime dose atau dos utama serta pada usia 18 bulan sebagai dos tambahan. Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam masyarakat akan memberi imuniti kelompok (Herd community), selain melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Justeru, kanak-kanak yang menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan.

Sebaliknya, mereka yang langsung tidak menerima suntikan vaksin atau tidak lengkap dosnya akan berhadapan gejala penyakit serius. Sejak pelalian difteria dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada 1972, kejadian penyakit difteria berkurangan dengan sangat ketara di Malaysia.

Gerakan antivaksin

Gerakan antivaksin turut memberi kesan kepada liputan imunisasi sesuatu kawasan dan komuniti. Liputan imunisasi boleh menurun sehingga kurang daripada 95 peratus dan ini memberi kesan negatif kepada imuniti kelompok atau herd immunity. Kumpulan yang menolak vaksin membuat pelbagai propaganda dan berkongsi maklumat yang kurang tepat daripada sumber internet serta sumber yang tidak disokong secara saintifik.

Mereka juga berjaya mempengaruhi ibu bapa yang belum membuat sebarang keputusan mengenai imunisasi, khususnya bakal ibu dan bapa baru berkahwin. Ada banyak sebab dan alasan ibu bapa atau penjaga menolak vaksin, antaranya ialah pengaruh masyarakat sekeliling, pengaruh laman sesawang yang kurang tepat maklumatnya dan tidak beretika, kurang kefahaman mengenai kepentingan imunisasi bagi menjamin keselamatan dan kesihatan kanak-kanak.

Tidak mengetahui bahaya dan komplikasi penyakit cegahan vaksin, bimbang dengan kandungan vaksin, termasuk bahan penstabil dan pengawet juga faktor penyebab. Selain itu mereka mengamalkan perubatan alternatif dan rawatan tradisional serta mempercayai bahawa kedua-dua kaedah perubatan itu tidak boleh bercampur perubatan alopati (moden).

Bimbang dengan kesan sampingan juga antara penyebab vaksin tidak diambil. Pendirian menolak vaksin ini juga semakin ketara apabila mereka dipengaruhi oleh hujah agama mengenai status halal vaksin berkenaan. Sebaiknya isu ini perlu dirujuk kepada mereka yang ahli dalam kedua-dua bidang fiqh perubatan dan pakar dalam kesihatan dan perubatan.

Cadangan dan tindakan tegas

Program imunisasi ini mampu mencapai imuniti kelompok atau sekiranya liputan imunisasi itu mencapai sekurang-kurangnya 95 peratus. Lebih tinggi liputan imunisasi, maka tahap optimum kesan imunisasi akan lebih baik. Bagaimanapun, status ini gagal dicapai sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi program ini sepenuhnya.

Membiarkan anak tanpa mengambil vaksin dan bergaul bersama anak yang mematuhi program imunisasi ini, akan menambahkan risiko jangkitan kepada kedua-dua pihak. Risiko jangkitan juga tidak terhad kepada kanak-kanak, malah orang dewasa yang mempunyai sistem imun rendah, mereka yang mendapat rawatan kanser dan ibu mengandung juga sangat rentan terhadap penyakit ini.

Sesetengah negara membangun dan maju mewajibkan program imunisasi ini ke atas semua kanak-kanak yang lahir di negara berkenaan. Ini bermakna ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya ingkar. Pihak sekolah juga tidak akan membenarkan anak mereka untuk mendaftar di sekolah itu sekiranya ibu bapa gagal menunjukkan bukti imunisasi sudah diambil ketika mereka masih kanak-kanak.

Dasar sebegini perlu dipraktikkan secara tegas kerana pihak berwajib mempunyai tanggungjawab menjaga kesejahteraan dan kesihatan penduduk sesebuah negara. Menjaga kesihatan badan dan mencegah daripada jangkitan penyakit adalah juga menepati objektif atau maqasih syariah dari sudut Islam. Apatah lagi kita dan umum sudah mengetahui jangkitan seperti difteria ini boleh dikawal dan dicegah daripada memberi kesan negatif kepada kanak-kanak yang sihat.

Cadangan untuk mewajibkan program imunisasi ke atas kanak-kanak di negara kita sangat dialu-alukan. Kanak-kanak adalah generasi pewaris kepada kita semua dan kita seharusnya sepakat serta bertanggungjawab menjaga tahap kesihatan mereka sebaik mungkin. Pihak berwajib melalui KKM, agensi kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu menggandakan usaha penerangan kesihatan dan faedah vaksin kepada kanak-kanak.

Justeru, semua pihak perlu saling diperingatkan akan tanggungjawab bersama ini demi menjaga tahap kesihatan yang baik.

Penulis adalah Timbalan Presiden IMEDIK (Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan Muslim dan Kesihatan Malaysia

Berita Harian X