Ahad, 10 March 2019 | 11:00am

Mampukah UMNO-PAS beri impak PRU-15?

Baru-baru ini tersebar di aplikasi WhatsApp mengenai parti mana yang berpotensi menang dan kalah, andai UMNO dan PAS bekerjasama untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Disenaraikan kerusi Parlimen, yang boleh dan tidak boleh dimenangi PH atau BN, kebanyakannya membabitkan kerusi majoriti pengundi Melayu.

Ia memberi gambaran pertembungan sengit bakal berlaku di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) di sebelah PH selain PKR, manakala UMNO/BN ‘plus’ PAS, di satu pihak untuk merebut kerusi majoriti Melayu di pinggir bandar dan luar bandar termasuk 54 kerusi Parlimen di kawasan FELDA.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana komposisi kerusi untuk ditandingi UMNO dan PAS? Apakah PAS sanggup berkorban kerusi tradisinya terutama di Pantai Timur - Kelantan, Terengganu dan sebahagian di Pahang? Apakah UMNO pula sanggup mengorbankan kerusi tradisinya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang (Seberang Prai) dan Kedah?

Jika dua parti ini gagal menyelesaikan agihan kerusi, ia pasti memberi berita baik untuk BERSATU, AMANAH dan PKR. Malah, kemungkinan akan berlaku pertandingan sesama sendiri antara UMNO-PAS selain kemungkinan sabotaj kerana kecewa tidak diagihkan kerusi seperti dikehendaki.

PAS dan UMNO pernah bersama atau dalam bahasa mudah pernah ‘berkahwin tetapi bercerai’. Namun, ada yang berkata, PAS dan UMNO tidak pernah ‘bercerai’ dan ia ibarat lagu Melayu klasik nyanyian Nordin Ahmad dan Latifah Omar dalam filem Gurindam Jiwa (1965) yang liriknya antara lain berbunyi: “Batang selasih permainan budak, daun selasih dimakan kuda, bercerai kasih talak tiada, seribu tahun kembali juga.”

Ya, PAS dan UMNO baru-baru ini bersanding semula untuk membuka ruang kerjasama ‘perkahwinan’ menjelang PRU-15. Ia melangkah setapak lagi apabila UMNO bercadang mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir BN dan PAS ketika ini iaitu Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Ya, PAS dan UMNO juga pernah bekerjasama dalam BN ketika zaman Tun Abdul Razak Hussein pada 1972 dan terkeluar pada 1978 ketika zaman Tun Hussein Onn. Kedudukan orang Melayu berada pada tahap paling kuat apabila PAS bersama BN, kerana pada PRU 1974, BN berjaya memenangi 135 daripada 154 kerusi Parlimen, ditambah kemenangan majoriti menyeluruh dalam semua Dewan Undangan Negeri.

Namun, tidak pasti apakah benar syarat kerjasama kali ini, PAS meminta UMNO untuk memberi laluan kepadanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. PAS adalah parti pembangkang paling lama, paling berpengalaman dan paling tersusun jentera pilihan rayanya dengan keahlian lebih sejuta, mentadbir Kelantan selama 45 tahun (1959-1978, 1990-2016) serta pernah berkuasa di Kedah, Terengganu dan Perak.

Dalam beberapa PRU sebelum ini, bermula pada 2013, calon PAS paling ramai di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor. Apakah UMNO sanggup memberi laluan di kerusi yang pernah ditandingi PAS itu?

Namun, hakikatnya gabungan UMNO dan PAS sukar untuk membentuk Kerajaan Persekutuan kerana ia juga memerlukan wakil rakyat bukan Islam. Menurut sebuah firma analitik media sosial Politweet, PRU pada 2013 menyaksikan 30 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Tetapi sebuah kumpulan pemerhati pilihan raya, iaitu Tindak Malaysia mendakwa bilangan kerusi majoriti Cina menurun kepada 24, kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Daripada 222 kerusi Parlimen, ada 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera. Sabah dan Sarawak pula mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak, 25 di Sabah.

Hakikatnya, tidak semua Melayu sokongan UMNO dan PAS. Malah, ada yang bersama PKR, parti pelbagai kaum. Melayu/Bumiputera di Sarawak dan Sabah pula ada selera politik tersendiri. PAS sukar diterima di kedua-dua negeri itu, malah UMNO tidak pernah bertapak di Bumi Kenyalang.

Di Sabah, UMNO hampir terkubur dengan kemasukan kemasukan BERSATU. Pada PRU-14 lalu, UMNO memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kini, ia cuma tinggal seorang Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.

Persoalannya, mampukah kerjasama UMNO-PAS memberi impak pada PRU-15 nanti?

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Rencana/Mingguan) BH

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X