Rabu, 13 March 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Hayati titah Seri Paduka banteras rasuah

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 kelmarin, mahu gejala rasuah terus diperangi kerana ia membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara.

Malah, Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan di atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional dan menggubal undang-undang berkaitan untuk memperkukuhkan tadbir urus. Titah baginda diharapkan usaha itu dapat memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Sudah tentu pelan ini bakal membuka lembaran baharu negara merangkumi beberapa perkara dasar negara dalam usaha memerangi rasuah. Ia seharusnya menjadi platform membersihkan apa juga ruang untuk gejala rasuah bertapak di negara ini.

Kerangka untuk tempoh lima tahun itu dijangka menyentuh isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh, sekali gus boleh menutup ruang dan peluang untuk rasuah terus berlanjutan dengan syarat ia diberi kerjasama oleh jabatan kerajaan dan orang ramai.

Dari segi aspek Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, yang diumumkan pada 29 Januari 2019 memperlihatkan kedudukan Malaysia berada di tangga 61 dari 180 negara berbanding kedudukan ke-62 pada 2017.

Berdasarkan laporan CPI 2018, negara berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI pada tahun lalu dan 2017. Skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Denmark dan New Zealand diumumkan tempat pertama dan kedua sebagai negara paling bersih rasuah dengan catatan skor masing-masing sebanyak 88 dan 87, manakala Somalia, Sudan Selatan dan Syria menduduki tangga terbawah.

Di Asia Tenggara, Singapura (tangga ke-3 dunia) tempat pertama, Brunei (32) kedua dan Malaysia (62) ketiga paling kurang rasuah.

Prihatin isu rasuah

Bahkan pada minggu lalu, syarikat gergasi multi national minyak dari Amerika Syarikat ada bertanyakan Transparensi International Malaysia mengenai prestasi CPI pada masa hadapan sebab mereka ingin melabur di Malaysia.

Dalam titah baginda menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sangat prihatin isu rasuah yang serius berleluasa di negara ini. Rasuah dan salah guna kuasa sememangnya musuh nombor satu kerana kesannya bukan sahaja membabitkan aspek ekonomi, sosial, malah politik negara.

Gejala ini bukan sahaja menghalang pertumbuhan ekonomi, seterusnya menyebabkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menurun dan menghindari syarikat besar untuk melabur, sekali gus mencemarkan imej negara.

Apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah benar kerana mengikut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Malaysia mengalami ‘kerugian’ RM47 bilion daripada KDNK sepanjang tahun lalu disebabkan oleh gejala rasuah.

Malah, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull baru-baru ini mengesahkan bahawa tahap rasuah di Malaysia tambah membimbangkan. Berdasarkan kepada tangkapan SPRM dari tahun 2013 hingga 2018, 55.1 peratus terdiri daripada golongan berumur 20 hingga 39 tahun.

Kakitangan kerajaan pula yang terbabit dalam kegiatan rasuah adalah 44 peratus daripada jumlah tangkapan seramai kira-kira 4,200 orang. Peratusan tangkapan SPRM sangat membimbangkan bukan sahaja dewasa ini bahkan masa depan negara yang akan dipimpin anak muda masa kini.

Cari punca masalah

Kerajaan patut mencari punca masalah integriti yang dihadapi masyarakat, barulah Malaysia boleh mencari model tersendiri bagi menghapuskan rasuah di dalam negara pelbagai kumpulan etnik. Negara perlu teguh dalam undang undang, institusi pengawasan yang bebas dan broad societal consensus.

Dengan teguran baginda memperlihatkan betapa serius rasuah yang berlaku di Malaysia dan ini dapat dilihat dari segi jumlah tangkapan SPRM, termasuk skandal besar seperti 1MDB, Tabung Haji dan FGV serta skor CPI yang masih tidak menunjukkan perubahan signifikan.

Untuk memperbaiki prestasi CPI, kerajaan perlu bekerja keras menunaikan janji manifesto isu rasuah seperti pemberian kontrak secara tender terbuka kepada yang berwibawa bukan kroni. Cara sebegini boleh meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat kepada kerajaan baru.

Dengan usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh hendak membanteras rasuah sudah tentu CPI dan tahap rasuah akan bertambah baik pada tahun tahun mendatang. Usaha membanteras rasuah bukan hanya diletakkan kepada Perdana Menteri seorang saja bahkan pemimpin lain sewajarnya sama-sama menunjukkan komitmen menghapuskan rasuah demi bangsa dan negara.

Penulis adalah Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia

Berita Harian X