Selasa, 19 March 2019 | 11:00am
Jambangan bunga diletakkan di depan Masjid Al Noor di Christchurch, bagi mengenang pemergian mangsa serangan keganasan, pada Jumaat lalu. - Foto EPA

Malaysia boleh jadi pembimbing atasi Islamofobia

INSIDEN serangan keganasan di dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu bukan kejadian pertama seumpamanya dan diharapkan Kerajaan New Zealand mengambil tindakan sewajarnya supaya tragedi itu tidak berulang dan boleh mencemar imej negara berkenaan.

Itu antara fenomena Islamofobia yang melanda negara majoriti bukan Islam yang sebenarnya bukan suatu isu yang baharu. Pada 2017, situasi sama pernah berlaku di sebuah masjid di bandar Quebec, Kanada, dengan tembakan rambang mengorbankan enam nyawa.

Justeru, kes seperti ini sedikit sebanyak memberi gambaran betapa seriusnya Islamofobia yang kini melanda di negara yang majoritinya bukan Islam. Islamofobia seperti didefinisikan oleh Imam Dr Abdul Jalil Sajid, merujuk kepada suatu ketakutan atau kebencian terhadap Islam atau Muslim atau budaya dan sejarah Islam itu sendiri.

Dalam konteks Islamofobia, masyarakat bukan Islam percaya bahawa Muslim itu cenderung untuk melakukan keganasan serta menolak amalan toleransi, kesamarataan serta demokrasi. Kes keganasan terhadap orang Islam di negara majoriti bukan Islam bukan sesuatu yang asing, tetapi isu ini tidak diketahui secara meluas oleh masyarakat khususnya yang tinggal di negara yang majoriti Muslim.

Adakah anda tahu bahawa pada Mac 2018 media antarabangsa Global News telah melaporkan insiden seorang wanita Ontoria dilihat mengoyakkan al-Quran di masjid Mississauga yang bermotifkan kebencian terhadap Islam?

Pada Julai 2018 media sama juga melaporkan satu serangan terhadap seorang Muslim hingga menyebabkan kecederaan parah di selatan Ontoria Toronto, juga bermotifkan kebencian terhadap Islam.

Selain itu, fenomena Islamofobia ini bukan sahaja berlaku di negara Eropah, malah di rantau Asia juga. Isu penindasan Muslim Uighur di China yang mula mendapat perhatian kebanyakan media antarabangsa bermula tahun lalu dan Kerajaan China menganggap etnik ini sebagai kumpulan pemisah serta fanatik agama serta tidak membenarkan mereka untuk mempraktikkan Islam.

Salah tafsir Islam

Sebuah artikel dari universiti Arizona menyatakan bahawa fenomena Islamofobia sudah lama berlaku dan kemuncaknya apabila berlakunya tragedi besar membabitkan gerakan ekstremis Islam seperti peristiwa 19/11 dan tembakan rambang di kelab malam Pulse di Florida, yang menyebabkan masyarakat dunia menyalahtafsirkan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri ditambah pula dengan media barat yang sering memperbesarkan isu sedemikian, mengeruhkan lagi keadaan.

Pada hakikatnya Islam itu tidaklah seperti disangka sebagai pengganas atau ektremis. Walhal perkataan Islam itu sendiri membawa maksud sejahtera dan tiada agama yang mengajak penganutnya untuk bersikap perkauman, termasuk agama Islam.

Justeru, sebagai negara yang terkenal dengan keunikannya dari segi kepelbagaian kaum, Malaysia yang sebelum ini diiktiraf oleh Liga Dunia Islam sebagai role model kepada dunia dari segi keharmonian nasional tanpa mengira bangsa dan budaya, seharusnya memainkan peranannya dengan lebih agresif dalam menyelesaikan isu ini.

Kerajaan Malaysia boleh menggunakan peluang ini untuk mengembangkan pengaruh, kemahiran serta pengalamannya dalam menstabilkan konflik yang bersifat perkauman di negara yang majoritinya bukan Islam.

Manfaat hubungan diplomatik

Kerajaan Malaysia boleh bertindak sebagai orang tengah atau pembimbing kepada negara luar mengenai kepentingan toleransi dan keadilan dalam pentadbiran agar maruah sesebuah bangsa tidak dicabul sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu.

Oleh yang demikian, perkara ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara luar bahkan dapat memberi manfaat kepada keamanan dunia dan umatnya khususnya umat Islam.

Semoga kejadian seperti ini menjadi pengajaran kepada semua negara, sama ada majoriti Islam atau bukan Islam untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan toleransi terhadap kaum minoriti supaya tragedi berdarah seperti ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Penulis adalah Pelajar Tahun 3 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X