Ahad, 14 April 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Kedurjanaan urus, peneroka derita

Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Yusof Noor, ketika mengulas pembentangan Kertas Putih FELDA meminta kerajaan jangan berhenti daripada usaha menyelamatkan agensi itu daripada terus ‘berdarah’ walaupun dana RM6.23 bilion disuntik untuk memulihkannya.

Pada masa sama, beliau berharap FELDA sendiri berusaha mencari jalan lain memulihkan kewangannya tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Pada saya, mesej itu bukan sahaja ditujukan kepada pengurusan baharu FELDA, sebaliknya juga kepada peneroka dan keluarga sendiri. Jangan sesekali ulangi kesilapan lalu.

Langkah ini umpama projek ‘tanam semula FELDA’. Bukan pokok getah dan sawit sahaja perlu ditanam semula selepas tidak lagi mengeluarkan hasil, agensi itu sendiri perlu menjalani proses ‘tanam semula’ untuk dipulihkan, sekali gus mengembalikan semula matlamat sebenar penubuhannya pada 1956.

Seperti kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih FELDA di Parlimen, pakej kewangan dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan secara berperingkat itu bagi memulihkan kepincangan yang berpunca daripada kedurjanaan urus tadbir korporat pengurusan lama.

Maknanya, usaha pemulihan itu perlu mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak. Daripada pengurusan FELDA, peneroka dan rakyat secara keseluruhan perlu memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan projek besar ini.

Kegagalan menguruskan secara cekap dana yang diperoleh hasil penyenaraian FGV Holdings Bhd (FGV) bukan satu-satunya punca masalah, sebaliknya akibat kedurjanaan pihak yang diberikan tanggungjawab dan amanah.

Mereka perlu bertanggungjawab

Dalam hal ini, kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Samad, serta pengurusan tertinggi FELDA perlu bertanggungjawab.

Lapan pembelian dan pelaburan FELDA dan Felda Investment Corporation (FIC) adalah angkara mereka sehingga menyebabkan agensi yang sepatutnya bertujuan membangunkan rakyat, khususnya orang Melayu menjadi mangsa.

Seperti skandal tahap mega lain, iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Tabung Haji yang juga dalam siasatan, kedurjanaan FELDA ini juga perlu disiasat sehingga ke akar umbi.

Jangan ada walau ‘sehelai daun‘ tidak diselak untuk mencari bukti dan maklumat bagi mendakwa mereka yang terbabit, termasuk Mohd Isa yang memegang 39 jawatan pengerusi agensi dan syarikat di bawah FELDA dan FGV.

Sebagai rekod, 16 menteri diamanahkan menjaga FELDA sejak 1957, bermula dengan Tan Sri Bahaman Samsudin, diikuti oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, sehingga anaknya, Datuk Seri Najib Razak, sebelum kerajaan sekarang meletakkan agensi itu di bawah Mohamed Azmin.

Matlamat asal FELDA ditubuhkan bagi membuka tanah dan diberikan kepada rakyat Malaysia yang miskin, termasuk bukan Melayu untuk dimajukan dengan tanaman getah dan sawit.

Sejak itu, penghidupan mereka lebih terbela sehingga kini sudah memasuki empat generasi. Hasil pelaburan ribuan juta ringgit oleh kerajaan juga menjadi sumber pendapatan kepada negara untuk membangunkan pelbagai sektor lain.

Dengan pelbagai bantuan, perancangan, termasuk insentif, bonus dan dividen diberikan kepada peneroka menerusi koperasi, peneroka dan keluarga mereka ada yang mencapai tahap separa jutawan dan jutawan.

Malangnya penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa semakin menjadi-jadi atas nama politik menghalalkan cara menyebabkan kisah sedih FELDA ini muncul, itupun hasil pendedahan kerajaan baharu.

Mana mungkin kita biarkan pelaku durjana mencuri wang sambil menikmati kekayaan, tetapi peneroka yang berhempas pulas di ladang dihimpit kemiskinan serta menanggung hutang kepada FELDA.

Justeru, empat generasi peneroka di 321 tanah rancangan wajar memberi sokongan kepada projek ‘tanam semula’ ini bagi memastikan masa depan mereka terbela.

Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa BH

Berita Harian X