Jumaat, 3 Mei 2019 | 10:00am
Buluh berpotensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Buluh berpotensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Hapus persepsi buluh sekadar produk kampung

NILAI dagangan produk berasaskan buluh dunia pada tahun lalu mencecah AS$68.8 bilion (RM280.45 bilion) yang didominasi China, India dan Taiwan.

Bagi negara kita, nilai eksport produk berasaskan buluh pula adalah RM120,827 pada tahun lalu. Ia masih terlalu kecil sedangkan potensi produk itu berpotensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Banyak lagi ruang dan peluang yang boleh diterokai serta dimajukan, pada masa sama memerlukan kreativiti dan inovasi pengusaha untuk mempelbagaikan pengeluaran produk dan menepis tanggapan ia hanya produk kekampungan.

Ketika eksport dan permintaan buluh dunia amat tinggi, masyarakat khususnya pekebun di negara kita masih menganggap industri berkenan tiada nilai komersial. Puncanya, kerana melihat buluh hanya mampu menghasilkan produk kampung seperti bubu ikan, reban ayam dan sangkar burung.

Ketika zaman kanak-kanak pada era 1980-an, saya dan rakan masuk hutan mencari buluh betong untuk dibuat meriam buluh, bagi memeriahkan suasana kampung setiap kali Ramadan tanpa mengetahui potensi tumbuhan itu pada masa hadapan.

Pada era itu juga masyarakat yang tinggal di rumah diperbuat daripada buluh dianggap keluarga miskin tegar. Itu cerita lama. Siapa sangka kini sebuah rumah mewah yang diperbuat sepenuhnya daripada buluh yang dinamakan Sharma Springs di Bali, Indonesia nilainya mencecah RM8 juta.

Sumber alam ini turut digunakan dalam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Barajas Madrid di Sepanyol, yang sudah tentu amat unik dan mengagumkan ramai pelancong. Di negara kita sendiri, Masjid Buluh di Kuala Kangsar yang siap dibina pada akhir 2016 mampu memuatkan seramai 500 jemaah dalam satu masa, malah binaannya amat unik dan mempesonakan.

Industri buluh bukan sumber ekonomi bertaraf ‘kampung’ kerana pada peringkat dunia ada Pertubuhan Buluh Dunia (WBO) yang berperanan meningkatkan dan menggalakkan perdagangan berteraskan buluh.

Sumber alam itu bukan sahaja sesuai untuk seni binaan yang unik, malah boleh diproses menjadi perabot, penyepit makanan (chop stick) dan pencungkil gigi, malah boleh menghasilkan produk lain mengikut kreativiti dan inovasi dilakukan pengusahanya.

Buluh juga berpotensi digunakan sebagai bahan kejuruteraan berikutan mempunyai sifat fizikal dan mekanikal yang baik, serta sesuai untuk digunakan sebagai bahan tetulang dalam panel konkrit pasang siap bagi mengatasi masalah kehabisan bekalan keluli di pasaran.

Di negara kita, industri buluh turut diberi tumpuan oleh Lembaga Perindustrian Malaysia (MTIB) menerusi Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2011-2020.

Berdasarkan pelan tindakan itu, beberapa teras strategi digariskan, seperti penerokaan ladang buluh, pembangunan modal insan, pembangunan aktiviti hiliran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta promosi dan perdagangan bagi meningkatkan industri berkenaan.

Kerajaan juga amat prihatin terhadap pembangunan modal insan termasuk meningkatkan kemahiran R&D dalam pembuatan produk bernilai tambah menerusi pusat latihannya, Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC), yang menyediakan pelbagai program latihan khusus untuk meningkatkan kemahiran peserta.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dilaporkan berkata kerajaan menggalakkan penanaman buluh untuk dijadikan sumber pendapatan baharu pekebun.

Katanya, sebuah anak syarikat yang dikenali sebagai Forest Plantation Development Sdn Bhd yang ditubuhkan MTIB, berperanan menguruskan pembayaran pinjaman mudah, menjalankan proses pengauditan ladang serta menyediakan sokongan teknikal dan latihan untuk penanaman buluh sejak 2007.

Beliau berkata, lima spesies buluh yang sesuai dikomersialkan iaitu betong, semantan, beting, beti dan buluh hitam.

“Sebanyak 100 kilang berasaskan buluh didirikan di kawasan yang banyak sumber buluh di seluruh negara yang memanfaatkan penanam buluh,” katanya.

Begitulah tingginya potensi buluh untuk menembusi pasaran antarabangsa. Ia bukan sekadar produk kekampungan dan ketinggalan zaman. Industri itu sepatutnya diterokai petani di negara ini sebagai sumber pendapatan alternatif, tanpa meminggirkan komodit

Berita Harian X