Ahad, 19 Mei 2019 | 10:30am
Kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum memupuk keharmonian. - Foto hiasan

Perpaduan jadi titik pertemuan Malaysia Baharu

SEBAGAI seorang yang boleh bertutur dalam dua atau tiga bahasa, kadang kala perspektif saya menjadi menarik kerana dapat melihat sisi pandang kumpulan bahasa berlainan. Maksud saya ialah, contohnya apabila sesuatu peristiwa dilaporkan dalam media pelbagai bahasa, pembaca media sesuatu bahasa cenderung mempunyai respon yang berbeza dengan pembaca media bahasa lain.

Justeru, pembaca yang hanya menerima maklumat daripada sumber media satu bahasa mungkin sukar memahami sentimen pengguna bahasa lain. Kita mungkin beranggapan bahawa respon setiap orang sama seperti respon kita, namun hakikatnya tidak begitu.

Misalnya, apabila pegawai penguat kuasa mengambil tindakan terhadap penjaja dan peniaga restoran yang tidak mematuhi undang-undang dan berita itu dimuatkan ke dalam laman Facebook dalam bahasa Melayu, akan ada pengguna memberi komen seperti, ‘kedai Melayu je yang kena...’ atau ‘mohon ambil tindakan kedai-kedai Cina juga.’

Pada masa sama, apabila tindakan penguatkuasaan dimasukkan dalam media bahasa Cina, pengguna berbahasa Cina akan memberi komen serupa: ‘mengapa hanya berani buli Cina?’ atau, ‘yang kena semua Cina, tak pernah lihat penguatkuasaan terhadap gerai Melayu.’

Ironinya, komen kedua-dua pihak itu mempunyai ciri yang sama iaitu ‘jangan berat sebelah meng-ambil tindakan terhadap kaum kami sahaja’. Bezanya, pengguna bahasa Cina anggap penguat kuasa menyebelahi orang Melayu, manakala pengguna bahasa Melayu anggap penguat kuasa menyebelahi orang bukan Melayu.

Kedua-dua pihak menyalahkan kerajaan kerana beranggapan pegawai penguat kuasa tidak berlaku adil waima mereka yang diambil tindakan itu sebenarnya melanggar undang-undang. Walaupun rakyat Malaysia hidup sebagai tetangga, kadang kala, kita semacam berada dalam dunia sama, tetapi di dua garis selari yang tidak bertemu.

Gagal bentuk naratif Malaysia

Realiti sebegini sebenarnya amat menyedihkan. Selain daripada orang yang menguasai lebih satu bahasa, ramai rakyat Malaysia hidup dalam dunia satu bahasa sahaja. Justeru, sisi pandang kita terhadap dunia dibentuk ataupun dipengaruhi media dalam bahasa berkenaan semata-mata. Media pula sering kali gagal memainkan peranan untuk membentuk naratif Malaysia. Media lebih cenderung menulis dan menyiarkan berita dari sisi pandang kaum masing-masing.

Masalah ini bukanlah masalah baharu atau unik kepada Malay-sia sahaja. Ini lumrah manusia, setiap kumpulan manusia mempunyai prejudis dan prasangka tersendiri. Media juga akan memilih berita yang relevan atau mempunyai kaitan yang lebih rapat dengan audiens mereka. Media sesuatu bahasa akan lebih menjurus kepada isu-isu komuniti bahasa itu dan selalunya ini bermaksud media bahasa sesuatu kaum kebanyakannya hanya menyiarkan berita mengenai kaum berkenaan sahaja.

Kerana itu, pembaca terasing daripada dunia bahasa lain, dunia komuniti dan kaum yang lain. Akibatnya, apa yang kita baca hanyalah ulang siar pandangan dunia kita sendiri tanpa mendapat input yang bermakna daripada pandangan lain.

Surat khabar bahasa Melayu menjadi pejuang isu orang Melayu, surat khabar bahasa Cina menjadi pejuang isu orang Cina, surat khabar bahasa Tamil menjadi pejuang isu orang India. Mungkin ada yang berasa perkara ini kelakar, tetapi malangnya tidak.

Pada tahun lalu, dalam satu sesi townhall bersama peniaga dan penjaja di Kluang, saya perhatikan bagaimana pemberita hanya melaporkan rungutan penjaja daripada kumpulan bahasa mereka sendiri sahaja. Misalnya, jika penjaja kaum Cina bangkit untuk menyuarakan pandangan beliau, maka pemberita akhbar Cina akan tampil untuk mengambil gambar dan membuat wawancara dengan penjaja berkenaan.

Sama juga, jika penjaja India, maka pemberita akhbar Tamil akan mewawancara beliau. Kebetulan satu-satunya pemberita akhbar Melayu tidak hadir pada hari itu, jika tidak, saya percaya beliau juga akan menumpu kepada pandangan penjaja Melayu sahaja. Setiap penjaja yang bangkit, tidak kira kaum, semuanya membuat kritikan sama, iaitu pihak berkuasa tempatan tidak berlaku adil kepada penjaja kaum mereka.

Maka, saya pun mengambil keputusan untuk membuat satu eksperimen. Saya menunjukkan satu soalan kepada semua penjaja yang hadir pada hari itu, ‘sesiapa yang berasa bahawa penguat kuasa berat sebelah dan hanya mengambil tindakan terhadap kaum mereka sahaja, sila angkat tangan.’ Soalan ini diulangi dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

Tidak hairan, semua yang hadir mengangkat tangan mereka: Melayu, Cina dan India. Jadi, siapa sebenarnya yang mendapat layanan istimewa berat sebelah oleh pihak penguat kuasa? Hakikatnya, kerajaan mengambil tindakan bukan berasaskan warna kulit, tetapi berasaskan peruntukan undang-undang dan tingkah laku mereka yang melanggar undang-undang itu.

Namun, dalam keadaan negara kita, persepsi perkauman begitu menebal sehinggakan setiap perkara dilihat oleh masyarakat melalui lensa kaum masing-masing. Antara faktornya, saya berpendapat, ialah bagaimana surat khabar bahasa masing-masing cuma melaporkan sebahagian fakta dalam sesi dialog penjaja di atas tadi.

Maka, apabila pembaca yang tidak hadir, membaca laporan be-rita itu, mereka tidak akan tahu bahawa realitinya, tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas penjaja yang melanggar undang-undang tidak kira warna kulit. Mereka hanya akan baca rungutan penjaja kaum masing-masing tanpa mengetahui rungutan penjaja kaum lain.

Media tidak menawarkan naratif Bangsa Malaysia, malah media memperkukuhkan lagi prasangka dan prejudis perkauman. Apa itu naratif Bangsa Malaysia? Saya tidak bermaksud bahawa jika hanya ada satu bahasa saja, maka kita akan secara automatik mempunyai naratif Bangsa Malaysia. Tidak.

Bayangkan jika hanya ada satu bahasa, tetapi media tetap tidak melaporkan sisi pandang semua lapisan masyarakat, maka kita tetap akan mendapat perspektif yang condong kepada sebelah pihak sahaja. Hakikatnya, masyarakat kita majmuk dengan kepelbagaian bahasa, tidak guna kita melawan fitrah dengan melarang bahasa tertentu.

Naratif Bangsa Malaysia hanya boleh lahir daripada penerimaan serta pemahaman kemajmukan ini. Kepelbagaian masyarakat Malaysia adalah suatu rahmat dan kekuatan negara kita. Naratif Bangsa Malaysia mestilah berasaskan konsep perpaduan kaum dan bagaimana kita boleh mengerahkan kekuatan kita itu untuk memajukan negara.

Dunia di dua garis selari, tidak akan bertemu jika tanpa usaha untuk memahami satu sama lain. Usaha ini sudah tentu memerlukan kita melangkah ke depan bagi memahami perspektif dan kekhuatiran masing-masing.

Bagaimana pula untuk membina naratif Bangsa Malaysia? Pada pandangan saya dari sudut pengamal media, setiap media mempunyai tanggungjawab untuk membentuk dan memperluaskan naratif itu. Kita hidup pada zaman globalisasi. Tidak aneh jika orang Malaysia boleh faham dan fasih lebih daripada satu bahasa.

Pada hari ini, pembaca tidak berminat untuk membaca bahan bacaan lain, selain daripada dalam bahasa ibundanya kerana media bahasa lain tidak mendekati komunitinya. Dalam kata lain, setiap surat khabar hanya mewakili satu kaum dan kumpulan bahasa tertentu. Akibatnya, walaupun hidup dalam ruang yang sama, rakyat tersisih daripada satu sama lain.

Kita hidup dalam dua dunia yang selari tanpa titik pertemuan. Oleh itu, Malaysia Baharu perlu sebuah gerakan media baharu yang mampu membangunkan naratif Malaysia dan bukan setakat mewakili komuniti bahasa tertentu sahaja.

Penulis adalah Ahli Parlimen Kluang

Berita Harian X