Rabu, 29 Mei 2019 | 10:00am

Tiket ke Jepun lebih murah berbanding tambang ke Sabah

Berkuat kuasa 1 Jun ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mewajibkan syarikat penerbangan mempamerkan harga muktamad tambang perkhidmatan masing-masing sama ada bagi tujuan pengiklanan atau ketika pembelian tiket.

Langkah yang diambil itu antaranya bertujuan untuk melindungi hak penumpang, sekali gus memberi kesan positif secara langsung kepada pengguna.

Peraturan baharu ditetapkan MAVCOM itu sudah tentu sedikit sebanyak mengurangkan rasa tidak puas hati pengguna yang terpaksa menanggung kos tinggi ketika mendapatkan khidmat penerbangan ke destinasi yang ingin dituju, terutama ketika musim perayaan.

Jika disoroti isu berkaitan harga tiket penerbangan, pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati apabila ada syarikat penerbangan didakwa sengaja mengambil kesempatan dengan menawarkan tambang penerbangan sehingga melangkaui kadar munasabah.

Sebagai contoh, sebuah syarikat menawarkan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan pada harga RM201.29 untuk perjalanan sehala pada 3 Jun ini, manakala dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk perjalanan 9 Jun ini pada harga setinggi RM644.30.

Harga jauh berbeza

Harga itu jauh berbeza berbanding hari biasa, apabila syarikat sama menawarkan tiket pada harga sekitar RM300 bagi perjalanan dua hala ke destinasi sama.

Sebuah lagi syarikat penerbangan menawarkan tiket hampir RM1,500 bagi destinasi serta tarikh sama. Itu baru perjalanan Kuala Lumpur-Kota Bharu, belum lagi ke destinasi domestik lain seperti Sabah dan Sarawak.

Jika dilihat harga ditawarkan itu, lebih-lebih lagi pada musim perayaan, sudah tentu membebankan pengguna kerana ia hanya untuk ‘satu kepala’. Bayangkan sebuah keluarga yang mana ayahnya perlu membeli tiket penerbangan untuk isteri dan lima anak, berapa pula kos perlu dikeluarkan hanya untuk pulang beraya ke kampung halaman mereka.

Bercakap soal harga tinggi, ada rakan sekerja saya yang berasal dari Sabah turut merungut mengenainya. Dia mendakwa tambang penerbangan ke Fukuoka, Jepun jauh lebih murah berbanding harga tiket untuk perjalanan ke kampung halamannya di Tawau.

Sebenarnya banyak desakan dibuat pelbagai pihak supaya kerajaan menangani masalah membabitkan harga tiket penerbangan domestik, antaranya dengan mengenakan harga siling dan lantai.

Kajian berhubung cadangan itu turut dilaksanakan MAVCOM seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tahun lalu, selepas mengambil maklum rintihan rakyat sejak sekian lama.

Tak tetapkan harga lantai

Bagaimanapun, Timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu memberitahu tambang tiket penerbangan domestik tidak dikenakan harga siling dan lantai.

Keputusan dicapai pada mesyuarat antara kementerian dan syarikat penerbangan pada 4 September tahun lalu itu, memberi alasan antaranya bagi mengelak manipulasi syarikat operasi ketika musim perayaan.

Mungkin ada benarnya, kerana penetapan harga siling dan lantai bagi tambang penerbangan akan menyebabkan syarikat operasi mengambil kesempatan memanipulasi harga tiket pada kadar maksimum, walaupun bukan pada musim perayaan.

Walau apapun halangan baik daripada pihak kerajaan mahupun syarikat penerbangan, tambang tiket penerbangan sewajarnya dijual pada harga berpatutan dan tidak membebankan pengguna lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

Kajian yang lebih terperinci wajar dilaksanakan membabitkan semua pemegang taruh supaya isu ini tidak lagi membelenggu pengguna.

Sebenarnya, saya tertarik dengan kenyataan Ketua Menteri Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution pada 7 Mei lalu, yang mengarahkan pihak berkuasa pengangkutan mengurangkan harga tiket penerbangan menjelang Aidilfitri.

Adakah perlu ada ketegasan pihak berwajib di negara ini seperti yang dilaksanakan di Indonesia itu?

Berita Harian X