Ahad, 14 Julai 2019 | 10:00am
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa menunjukkan jari yang dicelup dengan dakwat kekal selepas mengundi pada Program Simulasi Hari Pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar.

Apabila 18 tahun boleh mengundi, jadi calon

BAYANGKAN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijadual pada 2023, anda diberi pilihan untuk mengundi calon berusia seawal 18 tahun.

Selepas keputusan diumumkan, mungkin ada calon berusia kurang 21 tahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen dan berbahas mewakili anda di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau di Dewan Rakyat. Mungkin pula ada Ahli EXCO, timbalan menteri dan menteri ber- usia 20-an, puluhan tahun lebih muda daripada anda yang berusia 70 tahun.

Mana tahu, mungkin Malay- sia akan mempunyai Perdana Menteri berusia 20-an atau 30-an pula selepas itu.

Senario ini mungkin menjadi kenyataan jika pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan Khamis lalu diluluskan Parlimen.

Pada awalnya, pindaan hanya untuk menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, namun atas desakan pembangkang, kerajaan bersetuju pendaftaran dibuat secara automatik apabila usia mencecah 18 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan yakin mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had usia pengundi.

Pembangkang memberi jaminan untuk menyokong usul itu selepas kerajaan bersetuju turut membuat pindaan membolehkan individu berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.

Mengikut rekod seramai 421,706 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan bermakna kira-kira 400,000 mereka yang mencapai usia 18 tahun pada tahun ini layak menjadi pemilih secara automatik apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan diluluskan kelak.

Selain itu, mereka berusia 17 tahun dan menduduki SPM tahun ini akan layak sebagai pemilih tahun depan. Begitu juga sebahagian daripada mereka yang berusia 15 dan 16 tahun layak mengundi pada PRU-15.

Jika berdasarkan kira-kira 400,000 pelajar menduduki SPM setiap tahun, akan ada lebih sejuta pengundi baharu daripada kalangan remaja berusia bawah 21 tahun layak sebagai pemilih jika PRU-15 diadakan pada 2023.

Namun, kita mungkin tidak perlu menunggu sehingga PRU-15 kerana jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan lebih awal tahun depan seperti diramalkan pemerhati politik, negeri itu mungkin menjadi pelopor kepada pengundi dan calon berusia 18 tahun.

Jika tidak pun, ia akan berlaku pada 2021, iaitu apabila sampai tempoh pembubaran DUN Sarawak.

Apa pandangan anda mengenai perkara ini? Berdasarkan undian pendapat menerusi Facebook akhbar ini, 75 peratus daripada kira-kira 15,000 yang membuat undian tidak menyokong langkah berkenaan.

Sebelum 1970-an, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas. Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas 1970-an di United Kingdom (1969/70), Eropah Barat (1970-an), Amerika Syarikat (1971), Kanada, Jerman (1972), Australia, Perancis (1974), diikuti India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan kebanyakan di Asia pada 1980-an serta Jepun negara yang terakhir pada 2016.

Dalam kalangan negara ASEAN pula, rakyat Indonesia dan Timor Leste ialah pengundi termuda, iaitu 17 tahun. Kecuali Malaysia dan Singapura, negara lain telah menurunkan had umur kepada 18 tahun.

Saya berpandangan ada kebaikannya. Ia membolehkan mereka mengambil bahagian dalam proses demokrasi memilih kerajaan dan wakil rakyat.

Selain itu, generasi remaja diberi peluang memupuk kematangan politik lebih awal dan tidak perlu menunggu sehingga mencecah 21 tahun untuk terbabit demokrasi berperwakilan.

Ada pula mengatakan ia terlalu awal untuk mendedahkan remaja kerana warga kita lambat mencapai tahap kematangan politik.

Sebenarnya, kecelaruan politik dalam negara berpunca daripada ketidakmatangan orang dewasa berpolitik.

Jika mereka sendiri tidak matang, politik kita tidak matang, bagaimana mungkin remaja kita boleh cepat mencapai tahap kematangan politik.

Apabila 18 tahun boleh mengundi kelak, remaja berkenaan akan menjadi aset kepada parti politik untuk mendapat undi dan sokongan. Mereka pasti akan menjadi sasaran parti politik.

Justeru, adakah parti politik dibenarkan masuk ke sekolah, kolej dan universiti? Mungkin kerajaan perlu mengkaji peraturan dan undang-undang sedia ada.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan kelmarin mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada parti politik memasuki kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi pendedahan kepada anak muda mengenai sistem demokrasi dan politik diamalkan negara ini.

Betul juga, tak guna jika had umur mengundi dikurangkan, tetapi mereka tidak diberi pendedahan dan penerangan secukupnya sebelum mengundi dan bertanding pilihan raya.

Pengarang Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa Berita Harian

Berita Harian X