Rabu, 17 Julai 2019 | 11:00am
PUTRAJAYA 14 MEI 2019. GAMBAR fail, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad serta Ketua Setiausaha Negara, Dr Ismail Bakar, (dua kiri), Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim (kiri) dan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Dr Mazlan Yusoff melancarkan My Portfolio Panduan Kerja Sektor Awam di Pejabat Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra pada 14 Mei lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir

Melahirkan pemimpin sektor awam kompeten

Tanggal September 2019 ini, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan menyambut Jubli Intan sempena ulang tahun ke-60. Sejak enam dekad lalu, INTAN secara berterusan menggalas amanah negara dalam melatih penjawat awam melalui pelbagai program latihan, termasuk kursus kepemimpinan.

Tidak dinafikan latihan adalah aspek penting dalam pembangunan seseorang pekerja. Dianggarkan AS$60 hingga AS$80 bilion dibelanjakan setahun untuk latihan di Amerika Syarikat (AS). Dalam sektor awam di Malaysia, kerajaan menetapkan dasar bahawa satu peratus daripada emolumen penjawat awam diperuntukkan untuk latihan.

Namun persoalannya, adakah dasar ini benar-benar dilaksanakan? Kajian oleh Profesor Dave Ulrich, seorang guru kepemimpinan dan pengurusan sumber manusia, menunjukkan syarikat yang melabur dalam pembangunan kepemimpinan memperoleh prestasi perniagaan yang lebih baik berbanding dengan yang tidak berbuat demikian.

Kursus pembangunan kepemimpinan sektor awam yang dilaksanakan oleh INTAN melitupi setiap lapisan dan skim perkhidmatan dari Gred 41 hinggalah ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Bermula dengan kursus Diploma Pasca-siswazah Pengurusan Awam (DPA) untuk bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) hinggalah ke Kursus Advanced Leadership and Management Programme (ALMP) untuk pegawai kepada pelbagai skim perkhidmatan di Gred Utama C.

Di samping itu, kursus kepemimpinan kepada kumpulan pelaksana juga disediakan, terutama di kampus INTAN Wilayah.

Pembangunan kepemimpinan berstruktur dan berterusan ini bertujuan melahirkan pemimpin sektor awam kompeten dan berkaliber. Pemimpin hebat bukan hanya mempunyai tahap pengetahuan tinggi tetapi juga memiliki peribadi mulia dan kemahiran kepemimpinan yang tinggi.

Program DPA umpamanya memberi penekanan kepada aspek Sahsiah (Attitude), Pengetahuan (Knowledge), Kemahiran (Skills), Kebolehsesuaian (Adaptibilty), Daya Tahan (Resilience) dan Ketangkasan (Agility) yang diterjemahkan melalui kurikulum dan juga kokurikulum.

Dari segi kualiti, kursus DPA ini mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan setaraf dengan kursus pasca siswazah lain pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Seterusnya, kursus bagi pegawai peringkat pertengahan dirangka untuk membangunkan keupayaan kepemimpinan, di samping mengenal pasti pegawai yang memenuhi kriteria dan kompetensi ditetapkan bagi menjawat jawatan lebih tinggi.

Kursus untuk Pengurusan Tertinggi, iaitu ALMP bertujuan untuk menilai dan membangunkan kompetensi serta potensi kepemimpinan bakal pemimpin sektor awam. Kursus ALMP ini adalah mirip kursus Advanced Management Programme (AMP) Harvard yang pernah dihadiri oleh penulis.

Dengan ada kursus pembangunan kepemimpinan secara berterusan, perkhidmatan awam mampu melahirkan pemimpin sektor awam yang kompeten. Impak kursus dapat dilihat dengan lahirnya ramai pemimpin sektor awam berkaliber sama ada sebagai Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, ketua setiausaha kementerian mahupun ketua pengarah sesebuah jabatan.

Di samping kursus kepemimpinan, INTAN juga menawarkan kursus berkaitan dengan tadbir urus, polisi awam, kewangan, ekonomi, inovasi, sumber manusia, teknologi maklumat dan sebagainya yang diperlukan oleh penjawat awam selaras dengan tuntutan peredaran zaman seperti ‘design thinking’ dan ‘futures thinking’ and ‘scenario planning’.

Dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0, kursus ‘internet of things’, ‘cloud computing’, ‘cyber security’ dan ‘big data analytics’ juga diajar di INTAN. Di samping itu, sejak 2007, INTAN memperkenalkan kursus secara atas talian yang dikenali dengan E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA).

Kursus ini boleh dilayari sepanjang masa tidak kira di mana berada. Justeru, pembangunan kepemimpinan adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan dalam menyediakan penjawat awam masa hadapan bagi menempuh persekitaran yang sentiasa berubah, menuntut mereka memperbaiki dan membangunkan kemahiran serta pengetahuan baharu.

Kini, peranan INTAN kekal relevan dan kepercayaan kerajaan baharu terhadap INTAN terbukti dengan mandat diberikan bukan hanya untuk melatih penjawat awam malah melatih anggota pentadbiran dan juga pegawai mereka seperti Setiausaha Sulit Kanan dan Setiausaha Akhbar dalam memahami struktur pentadbiran kerajaan dan juga skop bidang tugas masing-masing.

Kursus sama juga dilaksanakan kepada Ahli Parlimen yang berminat. Adalah diharapkan dengan kefahaman dan pengetahuan yang diperoleh, dapat mewujudkan keserasian antara anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Pendekatan saling melengkapi, mempercayai, mengamalkan tahap profesionalisme tinggi dan mematuhi konsep ‘rules of law’ secara jujur berupaya membentuk kerajaan utuh dan kukuh.

Kesimpulannya, INTAN akan terus melunaskan tanggungjawabnya bagi memastikan gandingan mantap antara semua pihak berkaitan agar mampu membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan akan menjadi Harimau Dunia pada masa akan datang.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Kanan Institut Tadbiran Awan Negara (INTAN)

Berita Harian X