Ahad, 21 Julai 2019 | 11:00am

Culas bayar PTPTN 'khianati' pelajar B40

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan pada 1997 dengan objektif membantu penuntut universiti membiayai pengajian ijazah sarjana muda. Setakat ini lebih RM56 bilion disalurkan untuk membantu kira-kira tiga juta penuntut sama ada di universiti awam atau swasta.

Bagaimanapun, sejak awal ia sudah menjadi isu bagi kerajaan kerana bantuan disalurkan tidak dapat dikutip semula dalam tempoh ditetapkan. Ramai peminjam atau penghutang, malah lebih 50 peratus daripada mereka, sama ada enggan memulangkan wang dipinjam atau tidak konsisten dalam bayaran balik hutang mereka.

Untuk mendapatkan balik pinjaman, pelbagai langkah sudah diambil sebelum ini, termasuk senarai hitam penghutang daripada melakukan perjalanan ke luar negara, potongan gaji secara paksa bagi kakitangan awam apabila didapati ada yang berpangkat dengan Gred 54 dan JUSA C enggan membayar pinjaman secara sukarela.

Jika tiada tindakan diambil sekarang dan tren bayaran balik dana ini berterusan, dibimbangi hutang kepada PTPTN akan mencecah RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun lagi. Masalah PTPTN menjadi parah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu disebabkan dua janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai bayaran balik PTPTN iaitu penghapusan larangan perjalanan ke luar negara dan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Janji pertama untuk menghapuskan larangan perjalanan ke luar negara sudah ditunaikan tahun lalu, yang kedua masih tidak dapat dilaksanakan kerana diunjurkan menerusi Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) PTPTN, seorang siswazah baharu dengan gaji permulaan RM2,000 dan kenaikan gaji tahunan lima peratus akan mengambil masa 15 tahun untuk memperoleh gaji RM4,000.

Jika tunggu 15 tahun untuk kutip balik bayaran sudah tentu PTPTN akan lingkup.

Sikap culas membayar hutang PTPTN akan menyebabkan ratusan ribu pelajar baharu memasuki pusat pengajian tinggi, khususnya daripada Kumpulan B40 yang memerlukan bantuan pembiayaan dikhuatiri akan menjadi mangsa.

Persoalannya apakah perlu PTPTN diteruskan? Sejak negara merdeka sehingga 1997, tiada isu pembiayaan timbul. Malah, ketika penulis melanjutkan pengajian ke universiti pada 1980-an (daripada Kumpulan B40 ketika itu) tiada pun PTPTN, tetapi dapat menamatkan pengajian dengan pelbagai ikhtiar sendiri, termasuk pinjaman universiti dan sedikit sokongan kewangan keluarga.

Mengapa perlu kita manjakan penuntut sekarang, padahal Malaysia sudah hampir menjadi negara maju dan kaya dengan lebih 60 peratus daripada rakyat dikategorikan sebagai golongan pertengahan dan ke atas.

Sudah pasti kumpulan ini tidak memerlukan sokongan kewangan, khususnya mereka yang memasuki universiti awam yang yurannya sudah disubsidi kerajaan. Tidak mampukah ibu bapa untuk membayar sendiri pembiayaan anak ke universiti awam yang kosnya kurang daripada RM25,000 bagi ijazah kedoktoran (5 tahun) dan hanya RM9,000 untuk ijazah sastera dan sains (tiga tahun).

Ibu bapa juga bertanggungjawab untuk menabung bagi masa depan anak. Itulah tujuannya Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) ditubuhkan. Dengan simpanan serendah RM50 sebulan, ibu bapa sudah boleh merancang pembiayaan pengajian anak mereka pada masa hadapan.

SSPN juga dijamin kerajaan, kadar dividennya kompetitif dan pelepasan cukai juga sudah dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 sejak tahun lalu. Jadi, sepatutnya tiada alasan untuk tidak menabung bagi masa depan anak mereka.

Namun, berapa ramai yang melakukannya? Kita harap kerajaan bertegas dalam soal bayaran balik pinjaman PTPTN, kecuali kalau kerajaan sanggup menanggung semua hutang seperti dilakukan dalam kes 1MDB.

Jangan biarkan isu PTPTN dipolitikkan, perlu ada political will untuk berdepan cabaran ini. Kalau pun sudah tersilap percaturan dalam manifesto, kerajaan PH tidak perlu apologetik. Kena berani mengaku kesilapan dan cari penyelesaian terbaik tanpa membebankan kewangan negara atau rakyat.

PTPTN juga perlu merombak sistemnya ketika ini yang meletakkan beban bayaran balik kepada siswazah sahaja, sebaliknya turut menjadikan ibu bapa sebagai penjamin bersama bagi mengelakkan ibu bapa terlepas daripada beban anak mereka.

Satu lagi kaedah yang boleh dicuba untuk mengatasi masalah dihadapi PTPTN ialah meletakkan dana itu di bawah bank dan pinjaman dibuat terus kepada bank dengan kadar faedah dua peratus seperti sekarang dan syarat mula bayaran balik yang bersesuaian.

Jika tiada penyelesaian segera kepada isu ini dibimbangi kira-kira 200,000 pelajar baharu yang mengharap bantuan kewangan setiap tahun akan menjadi mangsa. Jangan kerana mereka yang tiada amanah dan nilai moral, masa depan pelajar daripada golongan miskin dan B40 dikhianati.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berita dan Digital, Berita Harian

Berita Harian X