Khamis, 25 Julai 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Rancakkan sektor ekonomi berpotensi maju

Krisis ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit menekan ekonomi negara secara makro. Pelaburan langsung asing jatuh pada tahap terendah amat membimbangkan dengan nilai eksport negara tidak kompetitif.

Suasana tidak kondusif untuk pasaran negara ini juga didorong pelaburan domestik suram dengan permintaan dalaman semakin merosot.

Secara teori, jumlah permintaan adalah berhubung negatif dengan jumlah tabungan. Beberapa kajian menunjukkan jumlah tabungan individu perlahan.

Ini jelas dibuktikan apabila 24 peratus daripada 3,000 responden tidak mempunyai simpanan dan hanya bergantung kepada gaji bulanan, manakala hampir separuh daripadanya hanya menyimpan kurang RM500 sebulan.

Permintaan yang lembab pula didorong oleh kos sara hidup tinggi akibat peningkatan harga pasaran. Pun begitu, krisis kejatuhan ringgit menjadi faktor harga bahan mentah import menjadi mahal, justeru menambah beban harga di pasaran barangan yang bergantung kepada bahan berkenaan.

Harga yang tinggi jika tidak diimbangi dengan kenaikan pendapatan lebih tinggi akan menekan permintaan pengguna. Ia menjejaskan kuasa membeli dan melemahkan aktiviti ekonomi.

Impak ekonomi secara mikro memberi kesan kepada ekonomi negara untuk berkembang. Kuasa beli rakyat dan tabungan yang semakin mengecil amat membimbangkan negara, kesan global berada dalam ketidakpastian.

Tambahan pula komoditi utama negara seperti sawit dan getah diperdagangkan dengan harga yang tidak kukuh amat membimbangkan pelabur.

Tahun lalu, Turki dengan krisis kewangan negara dan kejatuhan nilai lira, antara lain mengambil langkah proaktif dengan menggalakkan permintaan dalam negara untuk memampankan ekonomi negara.

Langkah ini juga memberi impak kepada kepesatan industri pelancongan negara itu dengan kemasukan lebih banyak pelancong luar dan mendatangkan kesan positif kepada Turki.

Malaysia juga perlu kepada kestabilan harga pasaran untuk merancakkan ekonomi dengan menggalakkan permintaan domestik serta pelaburan di pasaran kewangan serta saham.

Kestabilan pasaran dengan kadar faedah yang kukuh akan mendorong individu membuat perbelanjaan ke atas barangan dan mengukuhkan ekonomi negara.

Pakej rangsangan fiskal ini akan merangsang sektor penting ekonomi dan kesan rantaian ini mengukuhkan nilai ringgit.

Seperti krisis kewangan 1998, Malaysia mengambil langkah drastik menerusi pakej rangsangan fiskal dengan mengurangkan kadar faedah bank yang mendorong pengguna dan peniaga membuat pinjaman.

Pinjaman ini merancakkan aktiviti ekonomi dengan pertambahan pelaburan ke atas perniagaan, merancakkan aktiviti perniagaan dan merangsang aktiviti permintaan dalam negara.

Dalam kata lain, ia memberi nilai tambah kepada perbelanjaan dan meningkatkan ekonomi domestik.

Atas alasan ini, pakej fiskal yang mapan seperti pemberian subsidi dan bantuan kepada rakyat dilihat begitu penting kerana ia menambah lebihan dana yang ada dalam poket pengguna dan mendorong peningkatan dalam perbelanjaan harian.

Peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan ini menambah penawaran wang dalam pasaran, secara langsung mengukuhkan pasaran kewangan negara.

Peredaran wang dalam pasaran akibat rangsangan fiskal menggerakkan dan merancakkan ekonomi. Permintaan yang tinggi membolehkan peniaga menambah stok barangan daripada pembekal, seterusnya pemborong dan pengilang.

Rantaian ini menjana pertumbuhan ekonomi, sekali gus mendatangkan impak positif kepada kerajaan dengan pulangan hasil daripada pengutipan cukai jualan dan perkhidmatan.

Namun, langkah ini berkesan jika harga pasaran dapat dibendung dan tidak mencanak naik. Selaras itu, peluang pekerjaan dan perniagaan perlu ditingkat dengan merancakkan sektor ekonomi yang berpotensi untuk maju dan mendapat permintaan tinggi dari luar negara.

Misalnya melalui penggemblengan potensi industri pelancongan negara dengan menyenaraikan dan menambah baik pelbagai tempat menarik dalam negara.

Khazanah alam yang kaya di Malaysia perlu digilap dan diserlahkan di mata pasaran luar, justeru membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, mempromosi produk tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan meningkatkan jumlah pelabur.

Penulis adalah Pensyarah Ekonomi Fakulti Penurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X