Isnin, 19 Ogos 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Perlukah rakyat bayar kos perubatan?

Kerajaan sangat komited dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik sejak kemerdekaan negara 62 tahun lalu.

Namun, dengan 4.6 peratus daripada bajet tahunan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan menghadapi kesukaran memastikan perkhidmatan bersubsidi dapat terus diberi kepada seluruh rakyat bagi tahun-tahun mendatang.

Ini terbukti dengan laporan audit menunjukkan perkhidmatan kesihatan semakin tenat dengan kekangan staf dan kemudahan fasiliti untuk menampung jumlah pesakit bertambah saban tahun. Akibatnya. kakitangan perubatan dan kesihatan di klinik dan hospital kerajaan mengalami tekanan kerja yang tinggi seterusnya boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Populasi negara kini mencecah 33 juta orang, meningkatkan jumlah perbelanjaan kesihatan awam daripada RM9 bilion setahun pada 1997 kepada RM23 bilion pada 2014.

Peningkatan ini menjadi beban kepada sektor awam kerana kadar penggunaan fasiliti kesihatan awam lebih tinggi, iaitu 2.2 juta (78 peratus) kemasukan ke wad hospital kerajaan berbanding 750,000 di hospital swasta pada 2008. Jumlah katil hospital kerajaan juga lebih tinggi, iaitu 74 peratus berbanding hospital swasta.

Maka timbul isu kekangan hospital dari sudut bajet, kakitangan dan kemudahan fasiliti ditimbulkan Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini. Persoalannya sejauh manakah kerajaan masih mampu menanggung subsidi kesihatan kepada rakyat?

Maka tidak hairanlah jika kita melihat kadar perbelanjaan sendiri atau Out of Pocket Payment (OOP) rakyat semakin meningkat di sektor swasta. Kajian menunjukkan rakyat Malaysia berbelanja sendiri (OOP) sehingga 40 peratus daripada pendapatan, iaitu had maksimum ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini terbukti apabila statistik menunjukkan perbelanjaan di sektor swasta meningkat dari RM5 bilion pada 1997 kepada RM20 bilion pada 2014, kebanyakan daripada OOP rakyat Malaysia. Meskipun aliran pengambilan insurans perubatan atau takaful perubatan meningkat, kebanyakan hanya menanggung kos perubatan sekiranya dimasukkan ke dalam wad.

Perbelanjaan kesihatan di klinik pesakit luar dan pakar swasta masih menggunakan duit poket atau simpanan pesakit. Sesetengah pesakit bekerja di sektor swasta mungkin mendapat manfaat daripada insurans syarikat masing-masing, namun mereka akan mula terkesan dengan kos perubatan apabila berhenti kerja atau selepas pencen.

Dasar kerajaan menggalakkan perkembangan sektor swasta untuk menampung beban sektor awam yang meningkat. Pada masa sama menggalakkan rakyat berpendapatan menengah dan tinggi berpindah ke sektor swasta. Namun, bentuk pembiayaan dan pembayaran di sektor swasta hendaklah diperhatikan dengan teliti agar rakyat tidak menanggung beban kewangan besar dari sudut perbelanjaan sendiri mahupun bayaran premium insurans kesihatan yang tinggi.

Pengenalan insurans MySalam oleh Kementerian Kewangan pada awal tahun ini untuk membantu golongan B40 menimbulkan tanda tanya akan hala tuju pembiayaan kos perubatan di Malaysia. Adakah kerajaan akan mula mengenakan caj di fasiliti kerajaan dan adakah Malaysia akan berubah kepada penggunaan insurans sepenuhnya untuk menampung kos perubatan oleh kerajaan?

Sekiranya ia berlaku, apakah bentuk insurans sesuai dengan rakyat Malaysia diperkenalkan kerajaan pada masa akan datang? Rakyat mungkin masih lagi selesa dengan caj RM1 di fasiliti kerajaan, namun sekiranya keadaan berubah adakah rakyat sudah bersedia?

Tambahan sejak lima tahun ini, pertumbuhan ekonomi yang lembab membuatkan rakyat kurang memilih membayar kepada sektor swasta.

Hal ini menjadikan klinik kesihatan dan hospital kerajaan padat dan kekurangan sumber. Menurut kajian Azimatun et al, didapati golongan berpendapatan tinggi mempunyai kesediaan membayar rawatan sama dengan golongan berpendapat rendah.

Disebabkan ini, klinik dan hospital kerajaan bukan sahaja dipenuhi golongan miskin, malah juga golongan menengah dan pendapatan tinggi.

Lalu, kemudahan sepatutnya dinikmati golongan miskin dan golongan sasar B40, perlu bersaing dengan golongan berpendapatan tinggi yang mampu ke sektor swasta.

Inflasi juga menyebabkan sistem kesihatan Malaysia sekarang tidak dapat bertahan dengan lebih lama lagi. Inflasi terhadap barangan perubatan yang meningkat lebih 12 peratus setahun, kemunculan teknologi baharu dan juga populasi Malaysia semakin menua membuatkan bajet 4.6 peratus yang diberikan kepada sistem kesihatan tidak lagi mencukupi.

Bayaran RM1 untuk setiap kali rawatan di semua fasiliti kerajaan tidak berubah hampir 30 tahun lalu hanya mampu menampung kos pentadbiran sahaja.

Ada beberapa cara membiayai kos kesihatan, selain bajet daripada cukai dikutip kerajaan untuk fasiliti kerajaan. Di Malaysia, walaupun hospital kerajaan menyediakan rawatan percuma, hakikatnya rawatan yang mahal tidak dapat disediakan.

Jika rawatan itu disediakan, kita terpaksa menunggu giliran panjang disebabkan ramai pesakit di fasiliti kerajaan. Hal ini menyebabkan kita terpaksa berbelanja wang sendiri di fasiliti swasta bagi memastikan kesihatan terjamin.

Ini menunjukkan Malaysia masih belum mencapai universal health coverage (UHC) seperti digariskan WHO. Justeru, adakah sistem kesihatan mampu bertahan untuk menyediakan UHC? Adakah sistem insurans, sistem yang baik untuk menggantikannya? Akhirnya persoalan yang timbul buat kita - kos kesihatan, perlukah kita bayar?

Penulis adalah dari Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Berita Harian X