Ahad, 1 September 2019 | 11:00am

Jangan biarkan warna kulit jadi penghalang

SEMALAM kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-62 dan dalam 15 hari lagi, akan ada sambutan Hari Malaysia, untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada 1963. Itulah keunikan kita sebagai sebuah negara bangsa, dua sambutan yang melahirkan Malaysia.

Hari Kemerdekaan untuk menyambut kemenangan membebaskan diri daripada penjajah asing, manakala Hari Malaysia simbol pembentukan sebuah negara baharu merangkumi Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.

Disebabkan usia saya ketika Hari Malaysia baru 20 hari, tidak banyak kenangan dan pengalaman dirasai ketika negara menyambut hari istimewa itu.

Hanya selepas memasuki alam persekolahan, saya mula memahami dan menghayati kedua-duanya serta nilainya kepada jati diri sebagai anak Malaysia yang lahir selepas merdeka.

Ketika membesar di sebuah estet berhampiran Jawi di Seberang Perai Selatan pada awal 1960-an, tidak banyak maknanya Hari Kemerdekaan, malah kurang dirasai kecuali ia hari cuti umum.

Pekerja Simpah Estet ketika itu hampir semuanya masyarakat India. Di pinggirnya ada sebuah perkampungan diduduki masyarakat Melayu, manakala dua kedai runcit dimiliki orang Cina. Begitulah komposisi masyarakat Simpah Estet ketika itu, namun hampir semua orang Melayu dan Cina fasih berbahasa Tamil kerana pergaulan harian amat rapat.

Saya dan adik-beradik sering menghabiskan hujung minggu di rumah orang Melayu. Bukan setakat makan minum bersama, tidur pun di rumah mereka. Begitu juga kawan Melayu menghabiskan masa di rumah kami.

Ketika itu tidak langsung tahu perbezaan bangsa atau agama, seolah-olah estet itulah dunia kecil di mana kami hidup rukun damai, tanpa prasangka, bertoleransi dan menghormati budaya serta cara hidup masing-masing. Itulah Malaysia yang saya kenali ketika itu.

Melangkah alam persekolahan pada 1970-an, mula mengenali dunia Malaysia lebih besar, tetapi dalam suasana harmoni yang sama di mana Ahmad, Ah Kow dan Muthu kekal rakan baik dan berkongsi makan minum di kantin sekolah atau gerai tepi jalan selepas waktu persekolahan.

Setiap tahun pada Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali kami mengunjungi rumah rakan untuk sama-sama meraikan hari besar masing-masing. Begitulah hidup zaman persekolahan ketika itu. Tenteram, tanpa prasangka.

Melangkah ke menara gading, bermula era polarisasi kaum. Pelajar Melayu, Cina dan India masing-masing bergerak dalam kumpulan sendiri.

Polarisasi kaum di universiti membawa kejutan budaya amat besar. Walaupun ada beberapa rakan baik daripada kaum lain, corak hidup berubah sehingga mula merindui zaman sekolah.

Pelajar Sabah dan Sarawak lebih terbuka, boleh berkawan dengan semua kaum, sama seperti kehidupan di negeri mereka di mana semua suku kaum dan bangsa, boleh hidup sebumbung walaupun berlainan agama.

Selepas 62 tahun mencapai kemerdekaan, perpaduan, keharmonian, persahabatan seperti dilalui ketika zaman kanak-kanak sudah tiada. Benih pemisahan dan perpecahan antara kaum yang bermula di menara gading semakin melebar.

Ziarah raya kini tertumpu sesama keluarga, saudara mara dan rakan dari kaum sendiri. Apa dah jadi? Hampir semua orang, termasuk pemimpin politik hanya mementingkan kebajikan dan perpaduan sesama kaum mereka.

Semua perbincangan berkisar kepada kaum masing-masing sehingga hubungan sesama rakyat Malaysia yang suatu ketika dulu begitu kental dan bersatu dalam menentang penjajah dan komunis selepas itu sudah semakin rapuh.

Suhu perkauman menjadi panas setiap kali ada insiden kecil seperti salah faham di atas jalan raya, di sekolah, universiti. Malah, isu tempat beribadat pun boleh menjadi polemik nasional, angkara media sosial yang digunakan untuk menyebarkan api perkauman.

Bukankah keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum sepatutnya menjadi aset untuk diraikan bersama? Jika sebelum merdeka kita orang Melayu, Cina dan India boleh bangun bersama menentang penjajah, kemudian ancaman komunis, mengapa kita tidak boleh bangkit semula untuk negara tercinta ini.

Bukankah Kapten Ahmad, Lt Ah Kow dan Sarjan Muthu pernah menumpahkan darah untuk tanah air ini? Mengapa kini kita mula berpecah. Apakah kita sudah ada haluan masing-masing yang berlainan sehingga kita semakin menjarakkan diri sesama kita.

Jangan kita biarkan pengkhianat bangsa pecah dan perintah kita lagi. Jangan warna kulit, bangsa dan agama menjadi halangan untuk kita mempertahankan bersama negara tercinta ini seperti dilakukan nenek moyang kita.

Marilah kita fikir sejenak apa akan jadi kepada negara jika terus dibiarkan sentimen kaum dan agama menguasai dalam apa juga keputusan dibuat. Marilah kita ambil iktibar Hari Kemerdekaan dan Hari Malay- sia untuk menghulurkan tangan perpaduan. Lupakanlah sengketa yang boleh menghancurkan negara kita. Selamat Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Penulis adalah Pengarang
Eksekutif Berita dan Digital,
Berita Harian

Berita Harian X