Rabu, 25 September 2019 | 11:00am

Ujian untuk BERSATU, UMNO-PAS

BELUM pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh pencalonan dan hari pengundian bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai, ‘cakap-cakap’ siapa yang bakal menjadi calon Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu seperti tidak dapat dibendung lagi.

Membaca komen yang ditulis dalam media sosial khususnya Facebook dan Twitter, ia menunjukkan seolah-olah orang awam tidak sabar-sabar lagi hendak menunggu PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan.

Walhal, SPR hanya akan bermesyuarat bagi memilih tarikh penamaan calon dan pengundian pada 1 Oktober ini. Realitinya, bahang PRK Parlimen Tanjung Piai sudah pun dirasai apabila pemimpin parti kerajaan dan pembangkang mula mengeluarkan kenyataan mengenai parti mana akan bertanding serta siapa calon yang bakal dipertaruhkan.

Ia bakal menjadi PRK kesembilan yang akan dikendalikan SPR selepas 15 bulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung pada 9 Mei 2018. Menariknya kerusi Parlimen Tanjong Piai ini, ia sebelum ini menjadi kubu MCA dan Barisan Nasional (BN) tetapi pada PRU-14, PH berjaya merampasnya menerusi calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Dr Md Farid yang juga Naib Ketua BERSATU Tanjung Piai membuat kejutan apabila menang 524 undi dengan memperoleh 21,255 undi berbanding penyandangnya dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng (20,731 undi) manakala calon PAS, Nordin Othman sekadar meraih 2,962 undi.

Persoalan yang berlegar kini ialah mampukah PH dan BERSATU mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam PRK nanti. Inilah tekanan yang dirasai PH dan BERSATU kerana mereka perlu mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.

Pembangkang pula sudah tentu mahu merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan bagi membalas dendam di atas kekalahan pada PRU-14, walaupun menyedari kemenangan mereka tidak akan menjejaskan sedikit pun kedudukan kerajaan PH ketika ini.

Bagaimanapun, PH sebenarnya masih mempunyai beberapa kelebihan untuk mempertahankan Parlimen itu kerana di pihak pembangkang, mereka sebenarnya mungkin berdepan konflik khususnya untuk mencapai kata sepakat bagi memilih calon yang akan bertanding.

Namun, PH perlu mengakui dalam lapan PRK lalu, pembangkang tidak mempunyai satu bentuk kerjasama rasmi, sebaliknya hanya bersandarkan kepada kepercayaan sesama mereka menerusi konsep ‘beri laluan’ atas semangat pembangkang.

Sebaliknya pembangkang kini mempunyai kerjasama politik rasmi di antara UMNO dan PAS menerusi konsep penyatuan ummah selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Atas faktor ini, PH dan BERSATU tidak boleh mengambil mudah PRK itu nanti. Walaupun PH menang lima daripada lapan PRK sebelum ini, suasana politik negara pada masa itu berbeza dengan hari ini.

Hari ini, pembangkang khususnya UMNO dan PAS kini mempunyai kerjasama politik yang direstui MCA dan MIC, maka faktor ini juga masih perlu diambil kira jika BERSATU mahu mempertahankan Parlimen berkenaan.

Akan tetapi, melihat kepada jumlah pengundi Melayu yang melebihi 50 peratus di kawasan Parlimen itu, ia mungkin bukan misi mustahil untuk BERSATU mempertahankan parlimen berkenaan.

Lebih-lebih lagi apabila MCA mula menunjukkan sikap tamaknya dengan mencanang lebih awal yang parti itu mahu merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan dalam PRK nanti. Ia satu amaran awal kepada UMNO dan PAS agar jangan kacau kerusi tradisi miliknya.

Setakat ini Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan BN akan berunding terlebih dahulu untuk menentukan calon. PAS pula menunggu kata putus daripada UMNO berhubung soal calon.

Seandainya pembangkang - UMNO, MCA dan PAS gagal mencapai kata muafakat dan berkeras mahu meletakkan calon masing-masing, adakah ini bermakna akan berlaku pertembungan tiga penjuru?

Jika pembangkang gagal mencapai kata sepakat, maka tidak bermaknalah kerjasama politik yang UMNO dan PAS wujudkan menerusi piagam baru-baru ini, sekali gus, memberi kemenangan moral kepada PH sebelum masuk gelanggang PRK.

Yang jelas, PRK Parlimen Tanjung Piai akan menjadi medan kepada BERSATU untuk membuktikannya sebagai parti yang mampu menggantikan UMNO untuk membela dan menjaga kepentingan Melayu dalam kerangka Malaysia Baharu.

Pengalaman PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih wajar dijadikan pengajaran kepada BERSATU jika parti itu benar-benar mahu kekal di Parlimen Tanjung Piai.

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian.

Berita Harian X