Isnin, 28 Oktober 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

'Harga' tinggi perjuang solidariti kemanusiaan

PERSIDANGAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan lalu menimbulkan banyak reaksi daripada pelbagai pihak.

Antara mencuri perhatian dunia adalah kerjasama tiga serangkai antara tiga negara berpengaruh dalam dunia Islam – Malaysia, Turki dan Pakistan.

Ketiga-tiga pemimpin negara ini memanfaatkan ucapan mereka di pentas PBB bagi membantah sekeras-kerasnya krisis dan salah laku kemanusiaan yang dihadapi Palestin, Kashmir, Syria dan juga warga Rohingya.

Kenyataan mereka mendapat sokongan ramai masyarakat global atas pendirian bermoral dan teguran tegas kepada negara besar yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah kemanusiaan. Namun, solidariti kemanusiaan ini ternyata mempunyai kos tersendiri.

Sejak 2014, India mengatasi China sebagai pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, meliputi 28 peratus daripada jumlah eksport dengan nilai sekitar RM20 bilion.

Ini menjadikan sebarang pengurangan import minyak sawit Malaysia oleh India, hatta sedikit mampu memberi impak yang signifikan terhadap ekonomi negara dan kehidupan ribuan pengusaha serta peladang sawit di seluruh Malaysia.

Susulan kritikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam persidangan PBB akan sikap India terhadap krisis Kashmir, baru-baru ini, sekumpulan pedagang India melancarkan boikot terhadap minyak sawit Malaysia.

Kerajaan India turut dikatakan mempertimbang untuk meletakkan had import bagi minyak sawit Malaysia dan berkemungkinan meletakkan sekatan pada beberapa lagi produk lain keluaran negara.

Tindak balas India ini bukan kali pertama memperlihatkan Malaysia dikenakan ‘penalti’ oleh warga global yang jelik terhadap mereka yang mempunyai ketegasan dan kesedaran berprinsip akan tanggungjawab kemanusiaan.

Malaysia juga pernah dilucutkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya berlangsung pada Ogos, apabila kerajaan tidak memberikan visa buat atlet Israel atas solidariti terhadap Palestin.

Pada program bual bicara HARDtalk BBC, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata: “Jika menganjurkan acara antarabangsa adalah lebih penting daripada menjaga kepentingan rakyat Palestin yang menjadi mangsa penindasan sejak sekian lama, itu bermakna kita sudah hilang kesedaran dan kompas moral kita”.

Menurut Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), kini terdapat 3.6 juta pelarian Syria yang menerima perlindungan di Turki.

Dengan populasi rakyat 80 juta orang, kehadiran pelarian dalam jumlah yang ramai ini mewujudkan ketegangan dengan warga tempatan terutama dalam urusan pencarian pekerjaan, perumahan dan keselamatan setempat.

Sebagai negara jiran yang paling terkesan dengan perang saudara Syria, Turki bertekad mewujudkan zon selamat di utara Syria bagi membolehkan warga Syria di Turki beransur pulang ke tanah air mereka dengan selamat, melalui Operation Peace Spring.

Operasi ini menerima kecaman ramai pemimpin Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Turki membelanjakan lebih AS$40 bilion bagi kebajikan dan kesejahteraan jutaan pelarian ini, sambil beberapa negara Eropah ini enggan menerima walau 100 hingga 200 pelarian Syria ke negara mereka.

Presiden AS, Donald Trump juga membentak untuk sekali lagi mengadakan sekatan ekonomi terhadap Turki. Tahun lalu, Trump melancarkan serangan ekonomi terhadap Turki apabila seorang warga AS, Pastor Andrew Brunson, ditahan oleh negara itu kerana disyaki terbabit dalam cubaan kudeta pada 2016.

Pastor Andrew dibebaskan tidak lama selepas sekatan ekonomi itu dilancarkan, namun sehingga kini ekonomi Turki belum pulih seperti sebelumnya.

Sekatan itu menyaksikan mata wang Turki menyusut melebihi 20 peratus berbanding dolar. Ini antara faktor utama kekalahan AK Parti di bandar besar Turki seperti Izmir, Istanbul dan Ankara pada pilihan raya tempatan Turki awal tahun ini.

Ternyata warga bandar Turki berasa resah terhadap kelantangan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan dalam isu global, apabila ia dilihat mengganggu kestabilan ekonomi negara.

Namun, mereka kini menyokong tindakan Erdogan mewujudkan zon selamat di utara Syria, sekalipun berhadapan dengan risiko tindak balas daripada AS.

Ringkasnya, ada garis sempadan yang disandarkan pada hikmah kebijaksanaan kepemimpinan negara dalam mengimbangkan antara kepentingan negara dengan solidariti kemanusiaan antarabangsa.

Memang mudah untuk berdiam diri apabila rumah jiran di seberang jalan dibakar oleh gengster ternama. Mudah dan selamat.

Cuma persoalannya, jika jenayah itu terus didiamkan dan mangsanya terus menderita tanpa pembelaan, sampai bila rumah kita boleh selamat sebelum kita pula yang menjadi mangsa?

Penulis adalah Koodinator Wilayah (Asia Pasifik) Kesatuan NGO Dunia Islam (UNIW) berpusat di Istanbul, Turki

Berita Harian X