Rabu, 30 Oktober 2019 | 11:00am
KAMPUNG Baru di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Tanah Kampung Baru, pampasan atau rampasan

TAWARAN harga untuk tanah Kampung Baru dinaikkan kerajaan daripada RM850 kepada RM1,000 untuk sekaki persegi. Perbezaan harga RM150 sekaki persegi itu adalah untuk nilai saham yang akan diapungkan dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan kerajaan.

Menarik juga apabila kerajaan bersifat luwes dalam mempertimbangkan denyut nadi pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Pemilik dan kerajaan tetap mencari titik kesepakatan mengenai harga di pasaran. Namun, projek pembangunan semula membabitkan 800 lot tanah dan hampir 1,000 lebih pemilik dan pewaris serta pelbagai pihak, sudah tentu mendepani pelbagai onak dan duri.

Apa sekalipun, tanah perlu disediakan di pasaran. Kata Profesor MacTaggart David Adams, seorang pengkaji hartanah dari Universiti Glasgow, Scotland dan wakil United Kingdom ke Kesatuan Eropah (EU), tanpa tanah tiada pembangunan (fizikal) dapat dijalankan.

Bagaimanapun, jika harga ditawarkan tidak dapat dipersetujui dan gagal dimuktamadkan, kerajaan ada pilihan lain. Pihak kerajaan boleh mengambil balik tanah untuk dimajukan.

Dengan peruntukan Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan menggubal Akta Pengambilan Tanah pada 1960 untuk menyediakan tanah bagi maksud pembangunan awam dan pembangunan ekonomi.

Agensi kerajaan yang memerlukan tanah perlu mengikut proses dan prosedur di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486). Namun biarlah semua pihak disantuni sewajarnya. Elakkan proses pengambilan tanah sebagai jalan terakhir.

Peruntukan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) mewajibkan jumlah pampasan yang mencukupi dibayar kepada pemilik tanah berdaftar. Di bawah Jadual Pertama, perkara yang boleh dituntut dinyatakan terperinci.

Selain nilai tanah yang diambil, pemilik juga dibayar pecah-pisah apabila tanah terbelah dua dan nilainya mengurang. Pemilik juga dibayar apabila tanahnya diambil sebahagian iaitu penjejasan terbabit. Mereka juga dibayar tuntutan kacau ganggu dan kos sampingan berkaitan.

Jika pemilik masih tidak puas hati ketika siasatan, mereka boleh membawa perkara ini hingga ke mahkamah tinggi. Di sana, keputusan adalah muktamad. Namun, pengambilan tanah ada masalahnya juga.

Acap kali pemilik kurang berpuas hati dengan jumlah pampasan ditawarkan kerajaan. Pada 1992, pemilik tanah di Kampung Baru menolak pengambilan tanah kerana berasakan mereka ditawarkan pampasan rendah.

Sekalipun pada pandangan penilai, nilai pampasan sudah cukup tinggi, namun pemilik melihat sebaliknya. Lantaran mereka berasakan tanah mereka dirampas dan bukan dipampas dengan jumlah mencukupi.

Seksyen 3 (a), (b) dan (c) Akta 486 menyatakan bahawa tujuan pengambilan untuk maksud awam, pembangunan ekonomi atau perindustrian dan sebagainya. Namun menurut pandangan Islam pula, pengambilan mestilah untuk maslahah ammah (tujuan awam).

Ulama bersepakat bahawa Islam tidak hanya melihat kebajikan umat secara keseluruhan semata-mata. Malah seorang ulama, Sa’ad Muhamad Khalil, menyatakan Islam menentukan supaya setiap pengambilan tanah mesti diberi pampasan dengan penilaian yang adil dan kalau perlu, diganti semula tanah yang diambil itu yakni dikenali sebagai Ta’wid atau Qimah.

Penggantian boleh dibuat dalam bentuk wang tunai atau tanah bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.

Pemilik yang terkesan hanya boleh membantah nilai pampasan yang ditawarkan kerajaan. Namun apabila bantahan dibuat terhadap usaha pengambilan, pembangunan terganggu dengan ada halangan pengambilan tanah.

Profesor MacGregor dari Universiti Aberdeen, Scotland, berkata halangan ini dinamai halangan pengambilan tanah. Halangan ini bermakna pembangunan akan menghadapi masalah kos tinggi dan masa yang lebih lama daripada sepatutnya. Halangan ini boleh merencat dan menjadikan pembangunan hartanah tergendala.

Di India, ahli politik dan orang ramai menggesa supaya undang-undang pengambilan tanah dipinda. Penduduk miskin yang tanah mereka diambil pihak korporat berasakan bahawa mereka tidak mendapat keadilan sejati.

Akta Pengambilan Tanah 1894 dikatakan digubal British untuk kepentingan pihak kolonial dan bukan penduduk India. Pindaan dilakukan pada 2014 dengan mencadangkan supaya dijalankan Kajian Impak Sosial bagi mengenal pasti impak sosioekonomi sebenar daripada pengambilan tanah yang dijalankan.

Pengambilan tanah seluas 997 ekar yang dicadangkan Tata Motors di Bengal dibantah dan dibatalkan. Cadangan pengambilan tanah untuk membina Empangan Sardar Sarovar di Sungai Narmada yang dibiayai Bank Dunia juga dibatalkan.

Akhirnya, Akta Pengambilan Tanah 1894 diganti dengan Akta Hak Mendapatkan Pampasan Adil dan Ketelusan dalam Pengambilan Tanah dan Penempatan Semula 2014 yang dikatakan lebih telus dan adil. Di bawah pindaan ini, pampasan dibayar merangkumi nilai tanah dengan faktor gandaan, ditambah nilai aset di atas tanah, tambah bayaran khas solatium (khas) dan kos penempatan semula serta infrastruktur dan kemudahan yang perlu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA)

Berita Harian X