Sabtu, 9 November 2019 | 2:42pm

Hindari kosmetik beracun

LAPORAN media sebelum ini mendedahkan banyak syarikat kosmetik mengitar semula produk yang diharamkan kerana mengandungi bahan terlarang seperti merkuri dan hidrokuinon, membuktikan permintaan terhadap barangan itu masih tinggi di pasaran.

Adat perniagaan, apabila ada permintaan, maka akan ada penawaran tanpa memikirkan kesan negatif bakal dialami pengguna kerana bagi pengusaha kosmetik, perkiraan utama mereka hanya keuntungan.

Menggunakan modus operandi menjual harga kosmetik secara murah disertakan dengan testimoni yang disebar secara meluas khasnya di media sosial konon produk dihasilkan mampu memberi kesan memukau, menyebabkan ramai pengguna terjerat dan terpedaya sehingga menjadikan diri mereka mangsa secara tidak disedari.

Memang lumrah wanita untuk sentiasa tampil cantik sehingga ada kalanya mereka tidak memikirkan sama ada produk kosmetik digunakan itu selamat dan bebas daripada bahan kimia berbahaya. Kita boleh melihat sendiri jika sesuatu produk diiklankan di media sosial dengan paparan ‘kehebatannya’ yang mampu mengubah penampilan seseorang dengan disertakan testimoni pengguna yang kononnya berjaya mencapai ‘impian menjadi cantik’, maka berderet-deret komen pengguna baharu yang berminat meminta balasan mesej kerana tertarik dengan produk diiklankan.

Walaupun sudah berkali-kali kes penipuan kosmetik murah beracun dipaparkan di media massa, malah turut menampilkan pengakuan mangsa yang mengalami kerosakan kulit akibat kosmetik mengandungi bahan terlarang, ia seolah-olah tidak memberi kesan kerana permintaan terhadap produk itu masih tinggi.

Pengusaha kosmetik terus ghairah meraih keuntungan dengan mengeksploitasi pengguna yang mahu cantik segera tanpa mengkaji kandungan bahan kosmetik yang digunakan sama ada selamat atau sebaliknya.

Sikap wanita yang obses dengan kecantikan menggunakan produk murah atau lebih popular disebut sebagai ‘produk timbang kilo’ ini boleh menyebabkan mereka berisiko menghidap penyakit berbahaya termasuk kanser, kulit terbakar, sawan atau koma akibat racun dalam kosmetik itu yang meresap dalam sistem darah manusia.

Ini kerana kandungan seperti merkuri, plumbum, arsenik dan sianida yang ada dalam kosmetik boleh menyebabkan kerap berlaku alahan dan iritasi kulit. Disebabkan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengingatkan pengguna pentingnya mereka menyemak terlebih dulu kandungan produk digunakan sama ada mendapat kelulusan pihak berkuasa itu atau sebaliknya.

Ini kerana banyak kosmetik di pasaran dikesan mengandungi racun berjadual seperti asid azelaik, hidrokuinon dan tretinoin yang semuanya adalah produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Usaha merampas produk palsu ini memang dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa, tetapi masih banyak yang gagal dikesan kerana kelicikan pengusaha kosmetik terbabit dalam strategi pemasaran penjualan barangan mereka. Jadi, langkah paling berkesan adalah kesedaran dalam diri pengguna itu sendiri amat penting untuk membendung kegilaan terhadap kosmetik murahan.

Sebagai contoh, mungkin kita tidak sedar, logam plumbum yang biasanya ada dalam gincu jika digunakan berlarutan boleh menyebabkan masalah saraf dan pembelajaran, selain logam lain yang kerap dijumpai adalah arsenik, berilium dan kadmium, tetapi tidak disenaraikan pada isi kandungan produk kerana dianggap ia hanya sampingan.

Perlu diketahui, penggunaan produk kecantikan mengandungi bahan kimia terlarang boleh mengundang pelbagai komplikasi kesihatan seperti gangguan hormon, masalah buah pinggang, risiko teratogenik (kecacatan bayi dalam kandungan) bagi ibu hamil, kerosakan sistem saraf serta masalah berkaitan ingatan, emosi, pendengaran dan penglihatan.

Sebagai pengguna, wanita sepatutnya bijak membuat penilaian produk, tetapi melihat kepada sikap wanita yang sentiasa mahu tampil jelita, faktor itu mungkin dianggap tidak penting lagi. Perlu diingat, kulit akan menyerap bahan toksik dalam kosmetik yang digunakan dalam jangka panjang dan risiko kesihatan akan dialami selepas itu.

Ketegasan kerajaan dalam menangani masalah ini juga jelas apabila KKM akan mewartakan hukuman kompaun kepada syarikat pengeluar produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang seperti merkuri dan hidrokuinon.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan pewartaan hukuman itu akan dilaksanakan sekitar suku pertama tahun depan, bagi menghukum sesetengah pengusaha kosmetik yang menggunakan taktik mengeluarkan produk baharu dengan sedikit perubahan campuran formula, selepas produk lama mereka dilarang dijual di pasaran oleh pihak berkuasa.

Kompaun juga akan dikenakan kepada syarikat kosmetik yang memasarkan produk tidak patuh pelabelan, selain membuat pengisytiharan palsu ketika mengemukakan notifikasi kosmetik. Selain itu, KKM juga akan menyenarai hitam jenama produk kosmetik tertentu supaya tidak dijual, sama ada di pasaran atau secara dalam talian serta tidak mengulangi kesalahan.

Malah, pengilang produk kosmetik juga akan diwajibkan memiliki lesen pengilangan berdasarkan amalan pengilangan terbaik (GMP).

Selepas semua usaha dilakukan, pengguna khasnya wanita tidak harus mudah terpedaya dengan iklan produk kosmetik yang tersiar di media terutama di laman sosial atau blog yang membuat dakwaan boleh menunjukkan perubahan ketara pada masa singkat.

Tidak salah untuk tampil cantik, tetapi pengguna khasnya wanita perlu lebih peka dan bijak meneliti produk digunakan sebelum menjadi mangsa produk beracun.

Penulis adalah Pengarang Berita BH.

Berita Harian X