Ahad, 10 November 2019 | 11:00am
SOAL pengagihan zakat dalam Islam kini pun menjadi polemik sehingga memberi gambaran betapa jumudnya mufti atau cendekiawan Islam dalam mempersepakati sesuatu hukum. - Foto hiasan

Perkukuh asas Islam bukan pertikai

PADA tahun-tahun kebelakangan ini, konotasi negatif citra Islam semakin diketengahkan dalam pelbagai medium, baik dalam filem, terutama Hollywood, selain didukung sama karyawan filem tempatan dalam memberi gambaran kurang enak mengenai institusi Islam.

Perkara asas, misalnya soal pengagihan zakat dalam Islam kini pun menjadi polemik sehingga memberi gambaran betapa jumudnya mufti atau cendekiawan Islam dalam mempersepakati sesuatu hukum.

Tuntutan syariat, mengamalkan sunah Rasulullah dan jihad memperbaiki ekonomi Islam mudah dipersenda. Dengan kata mudah, Islam umpama komoditi yang boleh diperdagangkan ikut kesesuaian dan suasana semasa.

Teras Islam yang hakiki cuba dilonggarkan dengan pelbagai hujah dikutip daripada catatan perawi mahupun sarjana Islam terkemuka yang menyokong gagasan dibawa. Kesannya, masyarakat Islam semakin keliru.

Paling menarik, hukum Islam juga boleh mengikut keperluan dan keadaan semasa. Hukuman haram yang dijatuhkan sebelum ini boleh berubah menjadi halal jika memenuhi aspirasi bersama dalam politik. Pelbagai gelaran yang mengaibkan dan ‘busuk’ pun bertukar.

Musuh yang dulunya secara terang-terangan ‘memusuhi’ Islam dengan menentang hukum hudud yang ditaja, kini sudah bertukar menjadi ‘lebih baik’ daripada kelompok yang satu lagi. Jika mahu disenaraikan penulis, banyak lagi hukuman yang dijatuhkan kepada lawan politik yang tidak lagi bersekongkol dengan mereka boleh berubah dalam sekelip mata jika kembali ‘bermadu’.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor, menjadi medan terbaik untuk melihat ‘drama’ atau ‘sandiwara’ parti politik benar-benar menjadi. Jika mengikut hukum kepemimpinan dan jumlah majoriti pengundi, sewajarnya kawasan Parlimen itu diwakili calon Melayu-Islam, namun hukum boleh berubah mengikut selera dan kehendak politik.

Dari segi ekonomi, penulis sendiri tidak faham bagaimana kempen menggalakkan menyokong produk Muslim yang sememangnya dituntut dalam Islam, diselewengkan dan diberi gambaran begitu negatif sehingga ke tahap boleh menjejaskan ekonomi negara.

Maklum balas segera pemimpin Islam dan tindakan beberapa kerajaan negeri agak menghairankan. Yang pasti, tindakan menyokong produk Muslim dapat membantu kerajaan menurunkan harga barang keperluan asas yang sebelum ini begitu sukar untuk diturunkan.

Kesan positif sebegini yang dinanti-nantikan rakyat, termasuk yang bukan Islam ketika barang keperluan mencatat kenaikan harga. Ketika semua pihak mahukan pengagihan kek ekonomi negara dibuat secara adil, seharusnya kempen menyokong produk Muslim diberikan perspektif yang adil.

Pemimpin politik tidak perlu melatah dan sewajarnya memberi ruang kerana rakyat ada pilihan untuk membeli, sekali gus membantu memecahkan monopoli. Kejayaannya sudah ditunjukkan dan sudah ada pemilik produk di pasar raya menurunkan harga.

Dari perspektif Islam, ikatan persaudaraan semakin meningkat atas dasar tolong-menolong membantu kegiatan ekonomi seagama berasaskan permintaan dan penawaran, mewujudkan pasaran yang ada akad berjual-beli, mengimbang harga produk yang sama dalam pasaran dan terpenting memecahkan monopoli.

Tidak timbul langsung isu memboikot produk bukan Islam, sebaliknya ada media secara sengaja memberi gambaran jahat kononnya orang Islam ke arah itu. Kepada peniaga bukan Islam, berubah pendekatan perniagaan, termasuk dalam soal pembekalan kerana strategi perniagaan lama dalam ‘memainkan harga’ sudah berlalu, sebaliknya mereka perlu bersedia menjadi rakan kongsi strategik kerana budaya sleeping partner dalam kalangan orang Melayu-Islam sudah berubah selaras aspirasi Malaysia Baharu.

Beri ruang untuk kempen menyokong produk Islam berlangsung dalam membantu usahawan Muslim berjaya kerana peningkatan bayaran zakat perniagaan kepada institusi zakat negara dapat membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada asnaf.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Pengeluaran

Berita Harian X