Rabu, 13 November 2019 | 8:05am

Saman vape patut dikuat kuasa bersama rokok

Mengikut perancangan Kementerian Kesihatan, berkuat kuasa 1 Januari 2020, larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap, akan dikuatkuasakan sepenuhnya dengan saman serta pendakwaan di mahkamah.

Mulai tarikh itu, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan. Kegagalan mematuhi larangan terbabit menyebabkan perokok didakwa di mahkamah, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.

Pemilik premis gagal mempamer tanda ‘Dilarang Merokok’ boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan selama enam bulan. Mereka juga boleh didenda sehingga RM5,000 atau setahun penjara, jika tidak mengambil langkah menghentikan pelanggan daripada merokok dalam premis.

Larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap ini sepatutnya dikuatkuasakan sejak awal Januari lalu, tetapi ditangguhkan atas alasan memberi ruang kepada aktiviti penguatkuasaan pendidikan sehingga 31 Disember ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pada 26 Oktober lalu, menolak permohonan semakan oleh tujuh perokok yang mencabar larangan merokok di semua premis makanan. Diharapkan tiada lagi penangguhan penguatkuasaan larangan merokok dibenarkan Kementerian Kesihatan selepas 31 Disember ini, meskipun ada suara yang mendesak peluang itu terus diberikan.

Sebarang kelonggaran penangguhan penguatkuasaan undang-undang itu, sekadar membuatkan larangan terbabit semakin tidak dihormati dan hilang daripada ingatan pengguna khususnya perokok, walaupun Kementerian Kesihatan mendakwa tahap kesedaran kini sudah mencapai 80 peratus.

Yang pasti, kepulan asap rokok boleh dilihat di kebanyakan premis beroperasi pada waktu malam, termasuk restoran mamak, yang turut menyediakan meja makan di tepi jalan raya, khusus untuk perokok tegar yang menjadi pelanggan mereka.

Hilang sabar dengan mereka tidak menghormati undang-undang itu, membuatkan penulis bersemuka dengan tiga pemuda yang tanpa segan silu merokok ketika bersarapan dalam sebuah kedai makan bersebelahan pasar awam Bukit Sentosa, Hulu Selangor, baru-baru ini.

Penulis terpaksa berbuat demikian selepas pemilik kedai makan itu mendakwa tiga pemuda berkenaan tidak mengendahkan larangan merokok di situ, ketika penulis memintanya menegur perbuatan mereka secara baik.

Berbekalkan sedikit keberanian menghadapi sebarang situasi, gertakan bahawa adalah tidak berbaloi jika separuh daripada gaji diperoleh melayang kerana membayar saman atas kesalahan merokok, membuatkan ketiga-tiganya memohon maaf terhadap perbuatan itu, sambil berhenti merokok dalam kedai terbabit.

Justeru, penguatkuasaan undang-undang secara tegas perlu dilaksana terhadap perokok degil dan pemilik premis yang masih membiarkan perbuatan itu kononnya menjaga hati pelanggan.

Sebarang pendakwaan di mahkamah berkaitan kes saman larangan merokok itu, perlu dilakukan segera supaya aktiviti penguatkuasaan dan hukuman dijatuhi mahkamah, memberi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat.

Serentak penguatkuasaan peraturan itu, penulis berharap Kementerian Kesihatan menguatkuasakan langkah sama terhadap rokok elektronik dan vape, yang tabiat penggunanya lebih buruk daripada rokok.

Meskipun peminat tegar vape mendakwa bahan digunakan tidak mengandungi nikotin, selain membantu proses berhenti merokok, hakikat tidak sedemikian.

Dakwaan kononnya cecair vape tidak mengandungi nikotin sukar diterima apabila operasi bersepadu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan di seluruh negara pada 1 November lalu, merampas lebih 35,000 item cecair vape bernilai RM6.38 juta yang mengandungi bahan kawalan itu.

Mungkin benar mereka berhenti membeli rokok, tetapi keadaan itu berlaku kerana masing-masing beralih kepada vape atau rokok elektrik sahaja. Malah demi mengejar keuntungan, peniaga vape tidak peduli bahaya bahan itu kepada anak kecil, apabila sanggup jadikan murid sekolah sasaran perniagaan mereka.

Alatan vape dalam pelbagai bentuk, membuatkan ada dalam kalangan murid menjadi penagihnya sanggup menyembunyikan ketika dibawa ke sekolah untuk dikongsi atau ditayang kepada rakan sebaya, sebelum terbongkar selepas dirampas guru.

Kepada perokok, cara paling tepat berhenti merokok bukanlah beralih kepada penggunaan vape, sebaliknya mengunjungi Klinik Berhenti Merokok disediakan Kementerian Kesihatan di setiap hospital kerajaan, yang menawarkan khidmat terapi tingkah laku serta farmakologi.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan BH.

Berita Harian X