Khamis, 28 November 2019 | 11:00am
Kementerian Pengangkutan juga menyarankan CAAM mengkaji semula semua caj dan fi semasanya, termasuk caj penggunaan ruang udara bagi meningkatkan pendapatannya dan membebaskannya dari segi kewangan. - Foto hiasan
Kementerian Pengangkutan juga menyarankan CAAM mengkaji semula semua caj dan fi semasanya, termasuk caj penggunaan ruang udara bagi meningkatkan pendapatannya dan membebaskannya dari segi kewangan. - Foto hiasan

Fokus naik taraf keselamatan penerbangan

KIRA-KIRA dua minggu lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di bawah Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat mengenai keputusan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) terhadap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Daripada 86 pihak berkuasa penerbangan disenaraikan di bawah program IASA, Malaysia diletakkan dalam Kategori 2 sebaris Bangladesh, Costa Rica, Curacao, Ghana, dan Thailand.

Sehari selepas pengumuman itu, Bloomberg menggambarkan kesan daripada penarafan Kategori 2 yang boleh mengundang salah anggap masyarakat dunia terhadap kualiti perkhidmatan penerbangan awam dan aktiviti penyenggaraan pesawat di Malaysia, serta kemampuan juruterbang serta jurutera pesawat tempatan.

Walaupun tidak mudah, ikrar kerajaan mendapatkan semula status Kategori 1 dalam tempoh 12 bulan wajar diberikan penghargaan. Tanpa komitmen tinggi, Kategori 1 akan kekal sebagai impian tidak kesampaian.

Kita harus belajar daripada kesilapan negara serantau seperti Thailand dan Indonesia yang pernah atau masih terbelenggu masalah sama.

Indonesia diletakkan dalam Kategori 2 pada 2007 dan akhirnya beralih ke Kategori 1 dalam tempoh sembilan tahun, iaitu pada 2017. Thailand pula masih di Kategori 2 sejak 2015 dan sehingga kini gagal melepasi penilaian di bawah program IASA.

Pada prinsipnya, penilaian terhadap pihak berkuasa penerbangan berdasarkan sejauh mana keselamatan penerbangan negara terbabit menepati (Kategori 1) atau tidak menepati (Kategori 2) piawaian antarabangsa yang ditetapkan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Fokus program IASA adalah terhadap kemampuan sesebuah negara menepati amalan standard dan syor (SARP) yang termaktub dalam Aneks 1 (Pelesenan Kakitangan), Aneks 6 (Operasi Pesawat Terbang), dan Aneks 8 (Kelayakan Terbang Pesawat) dalam Dokumen ICAO 7300.

Pada 23 November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyelia langkah pembetulan dalam usaha CAAM mengembalikan status penarafan keselamatan penerbangan kepada Kategori 1.

Beliau berkata, pasukan ini bakal memuktamadkan semua langkah pembetulan di bawah dapatan penilaian IASA yang dilabelkan sebagai ‘status terbuka’ dan isu lain yang berkaitan dalam tempoh 12 bulan.

Penulis berpandangan, 12 bulan hanyalah tempoh yang sesuai bagi menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar bagi semua dapatan dibangkitkan FAA.

Dengan tempoh masa singkat ditetapkan Kementerian Pengangkutan untuk pasukan petugas khas mencapai sasaran, fokus khas perlu diberikan terhadap lapan elemen kritikal disenaraikan dalam penilaian IASA.

Ini membabitkan undang-undang penerbangan; peraturan operasi spesifik; sistem penerbangan awam dan pemantauan keselamatan; kelayakan dan latihan kakitangan teknikal; panduan teknikal, peralatan dan penyediaan maklumat kritikal berkaitan keselamatan; pelesenan, pensijilan, pemberian kebenaran, dan tanggungjawab dalam proses perwakilan kuasa; tanggungjawab mengawal selia serta penyelesaian terhadap isu keselamatan.

Semua elemen ini secara langsung berada dalam jangkauan Aneks 1, Aneks 6, dan Aneks 8.

Kementerian Pengangkutan juga menyarankan CAAM mengkaji semula semua caj dan fi semasanya, termasuk caj penggunaan ruang udara bagi meningkatkan pendapatannya dan membebaskannya dari segi kewangan.

Ternyata peruntukan kerajaan sebanyak RM350 juta dan pendapatan kira-kira RM120 juta setahun belum memadai dalam memastikan kelancaran operasi CAAM.

Penulis mencadangkan kerajaan turut meningkatkan peruntukan sewajarnya berdasarkan kajian terperinci dan tidak membiarkan pergantungan CAAM yang terlalu tinggi terhadap kadar peningkatan caj dan fi sehingga boleh mendatangkan kesan tidak baik kepada pengguna perkhidmatan penerbangan, termasuk penumpang pesawat yang terpaksa menanggung kenaikan tidak langsung harga tiket yang tinggi.

Akhir sekali, kita menyokong penuh pendirian Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, yang dilontarkan dua hari selepas FAA membuat pengumuman, bahawa seluruh mekanisme kawal selia berkaitan penerbangan perlu diteliti semula demi mengembalikan kepercayaan antarabangsa terhadap keselamatan penerbangan tanah air.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X