Sabtu, 30 November 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Inisiatif Malaysia sifar rasuah

Beberapa dekad kebelakangan ini, isu rasuah begitu membelenggu imej negara, bahkan mencatatkan kehilangan hampir RM1.8 trilion antara 2004 hingga 2014.

‘Ketirisan’ dicatatkan Transparency International (TI) ini adalah sekitar empat peratus daripada jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Betapa ruginya hasil yang sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dan pemerkasaan ekonomi negara mengalir begitu sahaja. Malaysia kini pada kedudukan 61 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, jauh ditinggalkan Denmark dan New Zealand yang berada pada ranking teratas.

Mampukah kita mengalahkan mereka atau paling tidak berada dalam kelompok 10 negara terbaik? Jawapannya di tangan kita sendiri sebagai rakyat Malaysia.

Selepas kerajaan baharu mengambil alih, Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional (GIACC) yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan. Pusat ini diterajui Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berperanan menasihati Perdana Menteri berkaitan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah, merancang pelan strategik dan inisiatif, menilai tahap keberkesanan tindakan oleh agensi pelaksana serta membuat pelaporan kepada kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR).

Institut Integriti Malaysia (IIM) diletakkan di bawah GIACC sebagai badan operasi bagi pembangunan kompetensi dan kapasiti sektor awam dan korporat dalam hal berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

Antara strategi IIM ialah dengan membina rangkaian kerjasama pintar dan meluas melalui pelbagai jenis program latihan, perundingan dan program kesedaran dengan memperkenalkan beberapa instrumen dan kaedah yang boleh dilaksanakan secara praktikal oleh sesebuah organisasi sebagai langkah mencegah rasuah.

Mulai 1 Jun 2020, Seksyen 17A yang baharu dalam Akta SPRM 2009 akan dikuatkuasakan. Menurut akta itu, organisasi komersial boleh didakwa jika ada individu yang mempunyai kaitan dengan organisasi terbabit melakukan perbuatan rasuah untuk kepentingan organisasi.

Oleh itu, semua organisasi komersial perlu sedar kerana penalti yang dikenakan adalah tinggi. Denda adalah 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, iaitu yang mana paling tinggi, penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Meskipun begitu, organisasi komersial boleh terlepas daripada hukuman sekiranya mereka boleh membuktikan bahawa usaha mencukupi untuk mencegah rasuah dilaksanakan.

https://www.transparency.org/cpi2018

Usaha pencegahan rasuah ini bukan mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi pengurusan atasan dan penggunaan pelbagai kaedah yang kreatif dan inovatif selari perkembangan semasa dan teknologi seperti Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), teknologi blockchain dan internet of things (IOT).

Lebih wajar jika kita mengambil pendekatan prevention is better than cure daripada menghukum mereka yang terjerumus dalam jenayah ini.

Dalam hal ini, IIM bersedia membantu organisasi menggunakan instrumen dan kaedah bersesuaian ke arah membina budaya tadbir urus yang baik, berintegriti tinggi dan antirasuah.

Antara ‘alat’ dan sistem itu adalah Anti-Bribery Management Systems (ABMS), Corruption Risk Management (CRM), Organisational Anti-Corruption Plan (OACP), Human Governance Profiling (HGP), Integrity Assessment Tool (IAT), Community Integrity Building (CIB) dan Ethics and Integrity Training Programme (E&I).

ABMS adalah sistem komprehensif berdasarkan standard antarabangsa, ISO 37001:2016 yang digunakan untuk membantu sesebuah organisasi mencegah, mengesan dan membantu pematuhan kepada undang-undang berkaitan rasuah.

CRM pula kaedah pengurusan berdasarkan risiko yang dapat membantu pihak tertinggi sesebuah organisasi membuat pengkelasan dan pelan yang dapat meminimumkan pendedahan terhadap potensi rasuah.

HGP menjadi platform penilaian integriti menggunakan pendekatan psikometrik yang mengukur kecenderungan dan menilai perilaku serta pengalaman berkaitan kepercayaan dan integriti seseorang. IAT pula sebuah instrumen yang dapat mengukur dan menganalisis gap dengan mengenal pasti toksik dalaman dalam sesebuah organisasi.

Sementara itu, CIB adalah sebuah pendekatan akauntabiliti sosial bagi membantu, mengesan serta mengimplikasikan penyelesaian terbaik bagi meningkatkan tahap integriti dalam persekitaran komuniti.

Terakhir, program E&I memberi tumpuan kepada pengurusan konflik kepentingan, pengurusan perubahan dalam menangani ekosistem undang-undang dan peraturan, isu dan cabaran serta pencegahan rasuah bagi meningkatkan nilai murni, etika dan integriti.

Kerajaan hari ini serius mahu menghapuskan rasuah dan pada 29 Januari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang mengandungi enam strategi dan 115 inisiatif.

Antara inisiatif yang perlu dilaksanakan sesebuah organisasi korporat adalah memperkenalkan tapisan integriti dalam pemilihan pengurusan tertinggi; membangunkan OACP; melaksanakan ABMS mengikut standard ISO37001:2016 serta mendapatkan pensijilan yang akan menjadi pra-syarat dalam membida kontrak kerajaan.

Saya percaya jika semua orang memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan segala inisiatif NACP ini, Malaysia mampu bangkit semula dan menjadi sebuah negara bebas rasuah.

Penulis adalah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Intergriti Malaysia (IIM)

Berita Harian X