Ahad, 1 Disember 2019 | 11:00am
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto suara.tv/

Anwar, Azmin perlu tunjuk taring selesai kemelut PKR

Dua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan mengadakan perhimpunan tahunan minggu depan yang dijangka hangat dengan isu masing-masing.

Yang paling menarik perhatian ialah Kongres Nasional PKR di Melaka pada Jumaat hingga Ahad depan kerana kongres diadakan ketika parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berpecah dua, manakala Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Shah Alam mengadakan pemilihan buat kali pertama sejak penubuhannya empat tahun lalu.

Pelbagai kekecohan timbul dalam PKR, parti yang ditubuhkan pada 2003, hasil gabungan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Asalnya, KeADILan adalah sebuah parti politik yang lahir daripada gelombang Reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar daripada UMNO pada 2 September 1998.

Sekumpulan NGO dan sebuah parti kemudian menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Pendukung Reformasi kemudian menubuhkan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) untuk memberi platform kepada perjuangan mereka. Selepas itu, usaha menubuhkan parti politik menghadapi jalan buntu disebabkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dengan itu, gerakan Reformasi mengambil keputusan mengambil alih sebuah parti kecil yang sedia ada, iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990. Pelancaran Parti KeADILan Nasional diadakan pada 4 April 1999.

Itu sejarah ringkas PKR, yang lahir daripada gerakan Reformasi. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PKR membentuk kerajaan melalui Pakatan Harapan (PH) bersama DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan AMANAH.

Sekarang PKR sudah menjadi sebahagian PH tetapi anehnya, sesetengah anggota PKR masih bertindak bagaikan pembangkang, malah sanggup ‘bertikam lidah’ secara terbuka sesama sendiri dalam parti yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling banyak dalam PH, iaitu 50, diikuti DAP (42), BERSATU (14), AMANAH (11) selain Parti Warisan Sabah (9) dan satu UPKO.

Anwar dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu mengawal keadaan bagi mengelak sebarang kekecohan berlaku apabila PKR memulakan Kongres Nasional di Melaka, Jumaat ini. Hanya mereka berdua boleh ‘mendamaikan’ keadaan untuk menasihatkan penyokong masing-masing.

Umum mengetahui PKR bakal membekalkan Perdana Menteri (PM) Kelapan. Jika Anwar mahu menjadi PM ke-8, tunjukkan kredibiliti serta keupayaan untuk mengukuhkan PKR. Jika Azmin juga mahukan jawatan PM ke-8, tunjukkan kebolehan bagaimana menyatukan perpecahan dalam PKR.

Perlu diingat sekali lagi bahawa PKR kini sudah berada dalam kerajaan dan tunjukkan teladan yang baik. Begitu juga penyokong kedua-dua belah pihak. Banyak kenyataan demi kenyataan dikeluarkan pemimpin bawahan PKR, sekali gus mengusutkan lagi keadaan.

Kini, kedua-dua penyokong Anwar dan Azmin mula menunjukkan kekuatan melalui nombor. Ada yang mendakwa sebanyak ini dan itu Ahli Parlimen berpihak kepada Anwar dan begitu juga yang berpihak kepada Azmin.

Terbaru kelmarin, 20 daripada 25 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR termasuk Azmin, menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Mereka termasuk dua Naib Presiden, iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta Zakaria sendiri, turut mendesak Anwar, memohon maaf di atas pemecatan itu yang disifatkan satu keterlanjuran.

Ini dijawab pula oleh Anwar semalam, sebahagian kenyataan itu adalah tidak benar dan dipermainkan pihak tertentu. Semakin hari semakin jelas ‘siapa menyokong siapa’ dalam PKR.

Nescaya, perbalahan kedua-dua pihak semakin memuncak dan belum nampak ada ‘kedamaian’ yang kemungkinan terus terheret hingga ke Melaka minggu ini.

Jika berdasarkan sejarah politik negara selama ini, baik PAS atau UMNO, kesudahannya lazim berakhir dengan satu kumpulan keluar parti dan menubuhkan parti baharu. Apakah itu jalan penyelesaian terakhir dalam PKR nanti?

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Rencana & Politik Berita Harian

Berita Harian X