Isnin, 2 Disember 2019 | 11:00am
Dr Mahathir memandu Hyundai Nexo ketika lawatan ke Hyundai Rotem di Busan, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Contohi kemajuan Korea Selatan

Richard Jung hampir ketawa apabila ditanya mengenai Hyundai Pony. Pengusaha Global Korea Limousine dari Seoul itu bertanya kembali: “Anda masih ingat Pony?” Kereta sedan kecil berpacuan roda belakang itu adalah antara kenderaan sulung Korea Selatan. Hyundai mula mengeluarkan Pony pada 1975, ketika Jung berusia 21 tahun.

“Saya masih ingat tak ramai orang Korea mampu membeli kereta itu. Saya sendiri baru bekerja dan hanya mampu bangga dengannya,” kata pengusaha perkhidmatan limosin berusia 65 tahun itu.

Kini, Jung memiliki syarikat di Seoul yang mempunyai lebih 60 kenderaan, kebanyakannya buatan Korea. Sejarah Pony sebenarnya ada persamaan dengan Saga, model pertama keluaran PROTON. Seperti kereta kebanggaan negara, Pony juga bermula dengan menggunakan enjin Mitsubishi dari Jepun.

Walaupun ada persamaan pada garis mula, Hyundai Motors kini mengeksport kepada semua negara kecuali Korea Utara dan adalah syarikat pengeluar kenderaan ketiga terbesar dunia. PROTON yang mula mengeluarkan Saga, 10 tahun selepas Pony, terbantut jualannya kepada beberapa negara sahaja.

Banyak alasan boleh diberikan tetapi paling relevan agaknya adalah komen umum Perdana Menteri terhadap sikap syarikat Malaysia.

“Syarikat Malaysia hanya selesa dengan pasaran domestik,” walhal syarikat Korea Selatan bermula dengan niat meneroka pasaran dunia,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wartawan Malaysia ketika berada di negara Asia Timur itu minggu lalu.

Beliau begitu kagum dengan kemajuan dan inovasi dicapai Korea Selatan. Setiap pertemuan dengan wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan lima hari ke Busan dan Seoul itu, Dr Mahathir tidak keberatan meluahkan kekagumannya.

“Kereta yang saya naiki di sini amat besar dan selesa, lebih besar daripada Mercedes,” kata Perdana Menteri yang turut berpeluang memandu kereta berkuasa hidrogen. Dalam kekaguman itu, penulis berasakan ada kehampaan tertanam dalam benak pemimpin 94 tahun itu.

Dr Mahathir sering mengingatkan bahawa Korea Selatan satu ketika dulu lebih miskin dari Malaysia. Dalam masa beberapa generasi sahaja ia melonjak menjadi antara negara paling maju dan pendapatan tertinggi dunia.

Bagaimanakah kita ditinggalkan begitu jauh? Dr Mahathir tidak berkongsi pandangannya, namun beliau menasihatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang ditemui ketika lawatan itu agar mencontohi sikap gigih dan amanah rakyat Korea.

Seorang pegawai yang bersama rombongan Perdana Menteri menawarkan pandangannya. “Kita tak maju sebab terlalu banyak berpolitik. Semuanya nak dipolitik,” kata pegawai itu ketika menemani Dr Mahathir menaiki tren ‘maglev’ (kereta api diapung besi berani kuasa elektrik).

Mungkin juga ada kebenaran kepada kata-kata pegawai itu. Contoh terbaru ialah isu abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng. Allahyarham ayah penulis juga adalah antara ramai askar Melayu yang bertempur dengan komunis di hutan - tetapi tidaklah penulis rasa terguris mahupun terancam dengan abu Chin Peng ditabur di tanah Melayu.

Namun, orang politik memang nalurinya mahu mengapi-apikan rakyat, terutama orang Melayu. Mereka yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah - satu perbuatan amat jijik dalam Islam - turut nak tonjolkan diri sebagai hero dalam isu abu Chin Peng ini.

Sikap suka membesar yang remeh inilah agaknya mengapa negara walaupun sudah hampir 60 tahun mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Selatan, tidak langsung dapat mempelajari sesuatu daripada rakan lama kita itu.

Pada lawatan rasmi Dr Mahathir ke Seoul, Presiden Korea Selatan Moon Jae-In mencadangkan hubungan Seoul-Kuala Lumpur ditingkatkan kepada ‘rakan strategik’. Ada kalangan pegawai luar Malaysia mungkin menganggap tawaran itu hanyalah bersifat ‘optik’ - hanya untuk dilihat cantik sahaja.

Namun penulis berpendapat sesuatu yang optik boleh dijadikan substantive (berisi). Ia semuanya terpulang kepada kita. Dr Mahathir mahu peringkat pegawai membuat susulan cadangan Presiden Moon itu dengan mengadakan perbincangan lanjut.

Kita harap arahan Perdana Menteri itu dipatuhi segera kerana bukan kita sahaja di ASEAN yang mahu memikat Korea Selatan. Indonesia sudahpun memeterai Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi atau apa yang digelar CEPA.

Thailand dan Vietnam juga gigih memujuk negara Asia Timur itu, lebih-lebih lagi selepas Presiden Moon mengisytiharkan Dasar Selatan Baharu (NSP) pada 2017. Menurut seorang usahawan Malaysia yang gigih berusaha membawa masuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Korea ke negara ini, strategi memikat syarikat Korea bertepatan.

“PKS Korea misalnya amat berminat untuk dipadankan dengan PKS Malaysia, bertapak di sini dan mengambil kesempatan terhadap pasaran ASEAN,” kata Zainal Abidin Jalil daripada ATIA yang berpusat di Cyberjaya.

“Berbeza dengan syarikat dari negara maju lain, PKS Korea lebih terbuka kepada pemindahan teknologi. PKS Korea memiliki teknologi terkini dalam pelbagai bidang, termasuk pertanian pintar dan ekonomi baharu. Kita harus mengambil kesempatan ini untuk melonjak ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Penulis adalah Pengarang Kumpulan BH

Berita Harian X