Selasa, 3 Disember 2019 | 11:00am

Fahami agenda di sebalik isu abu mayat Chin Peng

Isu abu mayat Chin Peng yang diseludup masuk ke tanah air kita mengundang dua pandangan berbeza. Pandangan pertama, mempertikai dan tidak dapat menerimanya. Pandangan kedua pula melihat ia bukan satu masalah buat negara.

Masing-masing ada pandangan dan hujah. Pandangan yang menolak melihatnya dari sudut sejarah dan kesan kezaliman komunis. Pandangan yang melihatnya bukan satu masalah beranggapan bahawa peristiwa itu sudah berlalu dan abu mayat itu tidak memberi apa-apa makna dan kesan.

Pastinya, majoriti yang menolaknya adalah orang Melayu, termasuk dalam kalangan bekas tentera dan polis serta waris yang dulunya pernah berdepan dengan pemberontakan dan keganasan komunis yang menggila sehingga ramai terkorban, cedera dan cacat seumur hidup.

Malah, ramai orang awam yang tidak berdosa menjadi korban gara-gara komunis. Dalam peristiwa Bintang Tiga ‘mengamuk’ setelah Jepun keluar dari Tanah Melayu, ramai orang Melayu menjadi korban.

Ketika zaman Darurat (1946-1960) pula apabila komunis bertindak mengangkat senjata, banyak korban dalam kalangan anggota tentera dan polis yang rata-ratanya orang Melayu serta orang awam yang tidak berdosa.

Seramai 1,800 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera, termasuk ramai yang menjadi cacat. Dalam kalangan orang awam pula 2,473 terbunuh, 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Di pihak pengganas komunis pula 6,710 terkorban dan 3,989 ditawan.

Mereka yang merancang dan menyeludup masuk abu mayat Chin Peng itu sudah tentu mereka yang pernah bersama atau pendukung serta golongan yang simpati dengan perjuangan songsang Chin Peng. Mereka itu mungkin masih memiliki jiwa komunis.

Harus difahami dalam perjanjian damai Hadyai antara kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989, Chin Peng dan pengikut setianya tidak mengisytihar meninggalkan ideologi dan perjuangan komunis. Mereka hanya meletak dan menyerahkan senjata sebagai tanda perdamaian.

Walaupun mereka diizinkan untuk kembali ke tanah air, hanya segelintir yang kembali ke tanah air dan meninggalkan perjuangan komunis. Namun, Chin Peng dan pengikut setianya tidak pernah membuat permohonan untuk kembali ke tanah air kerana jiwanya masih mendukung komunisme.

Apabila Chin Peng meninggal dunia pada 2013 dalam usianya 90 tahun, maka timbul isu abu mayatnya mahu dibawa masuk dan disemadikan di negara kita. Bagaimanapun, kerajaan pada masa itu tidak mengizinkannya.

Sepatutnya, bila tidak diizinkan maka isu itu selesai dan mereka seharusnya menguruskan abu mayat itu di mana Chin Peng tinggal. Namun, golongan terbabit bersikap degil dan sanggup menanti masa sesuai untuk diseludup masuk ke negara kita.

Menurut laporan, abu mayat dibawa masuk pada 16 September lalu dan ditabur di laut dan Banjaran Titiwangsa sebagai tanda persemadiannya.

Mereka yang menerimanya berhujah bahawa jika perjanjian damai Hadyai itu mengizinkan Chin Peng kembali ke tanah air, maka apa salah abu mayatnya di bawa masuk? Memang jika mahu dilihat dari sudut itu, maka tidak harus abu mayat itu dijadikan isu.

Namun, kita jangan melihatnya dari sudut itu saja. Sentimen sejarah dan motif pihak yang berkeras mahu abu mayat itu disemadikan di tanah air ini harus diambil kira.

Mengapa tarikh 16 September dipilih dan apa maknanya Banjaran Titiwangsa yang diliputi hutan itu ditaburkan sebahagian abu mayat Chin Peng? Tentu ia ada kaitan dengan sentimen perjuangan Chin Peng. Maknanya masih wujud semangat komunisme dalam kalangan mereka yang mendukungnya.

Mungkin sekarang ini dalam bentuk neo-komunisme. Justeru, majoriti yang menolak dan mempertikai kemasukan abu mayat Chin Peng itu mempunyai hujah yang kuat. Sentimen dan pengalaman sejarah yang dilalui orang Melayu terhadap kekejaman komunis pimpinan Chin Peng itu masih mendalam lukanya.

Justeru, abu mayat Chin Peng itu jangan dilihat dari sudut fizikalnya semata-mata. Jika kita lihat dari sudut itu, maka kita akan rasa ia tidak membawa apa-apa makna. Namun, jika ia mesti dilihat dari sudut sentimen sejarah dan kesan keganasannya yang melampaui batas kemanusiaan, maka memang wajar kita menolaknya.

Kita juga ingin bertanya mengapa mereka berdegil juga untuk membawa masuk abu mayat itu setelah kerajaan terdahulu mengharamkannya? Bukankah itu menunjukkan mereka mempunyai motif dan agenda tertentu?

Sepatutnya mereka menguruskan abu mayat di tempat Chin Peng tinggal. Jelas sekali bahawa abu mayat Ching Peng itu punya makna tertentu bagi mereka yang minda dan jiwanya cenderung kepada fahaman komunis.

Saya percaya memang masih ada golongan yang cuba menghidupkan kembali nafas dan hayat komunis di negara ini. Jika tidak pun, mereka mahu mengangkat Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan tanah air.

Kita jangan lupa bahawa isu seperti penerbitan buku komik yang mengandungi fahaman komunisme yang cuba disebarkan ke sekolah beberapa bulan lalu dan isu simbol bintang berbucu lima pada bendera kebangsaan kita adalah bukti wujudnya kelompok tertentu di negara ini yang cuba menghidupkan fahaman songsang.

Penulis adalah Penganalisis Sisopolitik bebas

Berita Harian X