Jumaat, 27 Disember 2019 | 11:00am

Taasub gajet makin menghakis nilai murni

DUNIA semakin bergerak pantas, dengan peningkatan ekonomi mengubah gaya hidup manusia bermula daripada cara hidup yang mudah dan santai kepada kehidupan lebih kompleks.

Seiring perubahan dan perkembangan khususnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), manusia lebih mudah berhubung tanpa sempadan. Ledakan ICT membawa perubahan besar dalam kehidupan seharian kita.

Internet yang dahulunya dianggap medium teknologi komunikasi yang mahal, kini menjadi saluran maklumat dan komunikasi yang digunakan secara meluas.

Dahulu jika ingin menggunakan internet, kita memerlukan komputer untuk mengakses. Kini ia mampu dilayari dengan menggunakan telefon bimbit yang mempunyai perisian wireless atau perkhidmatan internet tanpa wayar.

Perkembangan teknologi itu memberi banyak kebaikan, namun perubahan cara gaya hidup bersandarkan teknologi mewujudkan satu bentuk budaya baharu. Impaknya lebih ketara apabila wujud segelintir yang taasub dengan penggunaan teknologi.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), jumlah pengguna internet pada tahun lalu mencecah 28.7 juta. Antara rangkaian sosial paling popular seperti Facebook, Instagram, YouTube, Google+ dan Twitter pula merekodkan catatan 24.6 juta akaun pengguna.

Bercakap soal taasub, tanda seseorang mengalami ketagihan gajet adalah penggunaan yang melebihi enam hingga lapan jam sehari.

Statistik berdasarkan kajian pengguna internet dilakukan SKMM pada 2016 mendapati, belia berusia antara 15 hingga 40 tahun di negara ini menghabiskan empat jam sehari melayari media sosial dengan mempunyai empat akaun, berbanding trend masyarakat dunia kini, dua jam sehari.

Tidak dinafikan teknologi seperti telefon pintar membawa kebaikan, namun ia juga diketahui boleh memberi keburukan jika penggunaannya tidak dikawal.

Kemudahan internet, terutama media sosial terus menjadi duri dalam daging termasuk bagi masyarakat kita apabila penyalahgunaannya terus mendatangkan pelbagai kemudaratan kepada masyarakat.

Anak muda dilihat begitu taasub dengan internet dan media sosial, mudah hanyut sehingga ada yang mengorbankan dan jati diri masing-masing.

Pelbagai kenyataan, gambar, video ataupun komen dimuat naik melalui media sosial jelas menggambarkan betapa buruknya kesan negatif teknologi moden seperti ini. Persoalannya bagaimana perkara sebegini mudah berlaku?

Lihat sahaja pelbagai komen negatif melalui Facebook atau Instagram yang dilontarkan. Ia memberi gambaran masyarakat kita, terutama belia semakin jauh daripada nilai murni yang menjadi pegangan dan amalan kita selama ini.

Ditambah pula kebelakangan ini, statistik aduan berkaitan media baharu turut menunjukkan peningkatan bilangan terutama yang berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik.

Berbalik kepada punca, contoh yang paling mudah kita lihat sekarang mengenai suasana di meja makan. Bukan sahaja di restoran, malah di rumah.

Jika dahulu kita dapat lihat betapa mesranya rakan mahupun ahli keluarga berborak mesra sehingga kadang-kala terdengar bunyi ketawa berdekah-dekah, namun hari ini kita akan lihat suasana sunyi sepi kerana masing-masing menghadap telefon pintar dan tablet untuk melayari pelbagai aplikasi rangkaian sosial.

Adakah kita rasa fenomena itu sihat untuk membina keluarga bahagia?

Bagaimanapun, teknologi tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya. Sebaliknya manusia yang dikurniakan akal fikiran perlu menilai dan menapis supaya sesuatu teknologi itu tidak memudaratkan kehidupan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama ambil iktibar dan memperbetulkan situasi. Jangan biarkan anak kita menjadi hamba gajet sehingga menghakis segala nilai murni yang dibanggakan selama ini.

Penulis adalah Penyunting
Eksekutif Berita Harian

Berita Harian X