Isnin, 30 Disember 2019 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Koperasi petani kurangkan fungsi orang tengah

PEMASARAN bererti pemindahan barangan dan perkhidmatan daripada titik pengeluaran ke titik penggunaan. Antara dua titik itu, wujud pelbagai fungsi yang semua memerlukan individu perantara untuk melaksanakannya. Itulah ‘orang tengah’.

Hampir semua komoditi pertanian dan makanan menampilkan struktur pemasaran yang dipanggil berbentuk hour-glass atau ‘gelas masa’ yang ramping di tengah.

Dalam struktur sebegini, di bahagian bawah terdapat ramai pengeluar, tetapi di tahap pertengahan seperti pengilang atau pemborong, bilangan mereka kecil, tetapi syer pasaran masing-masing besar.

Contoh nyata adalah pasaran padi dan beras. Bilangan petani 197,189, pengilang (175), pemborong (1,618), pengimport (satu atau monopoli), peruncit (27,914) dan pengguna (31.9 juta) seperti direkodkan pada 2016. Apabila data ini dilakarkan rajahnya, ia berbentuk hour-glass.

Kepada petani, orang tengah menyediakan pelbagai khidmat. Pertama, mereka berperanan sebagai penghubung kepada pasaran. Di kawasan pedalaman yang terasing, orang tengah mendekatkan pengeluar kepada pasaran dalam dan luar negara.

Orang tengah juga sumber kredit kepada pengeluar di mana bayaran ditolak daripada hasil jualan. Jalinan ini bertapak lama, tetapi masih aktif walaupun era berganjak ke arah pemodenan dan wujud Bank Pertanian atau komersial dalam pasaran.

Orang tengah pada peringkat sawah atau ladang juga sumber kredit peribadi. Kredit boleh diminta bila-bila masa, tanpa sandaran atau dokumen. Pembayaran balik dibuat dengan menolaknya daripada hasil jualan. Kredit ini sangat fleksibel mengikut kehendak ekonomi dan sosial petani.

Dengan kata ringkas, orang tengah melaksanakan fungsi perantara dan pemiutang kepada petani. Pertalian simbiotik ini dipersetujui kedua-dua pihak, tetapi tidak semestinya ‘menang-menang’, sebaliknya berbentuk asimetrik atau tidak serata.

Banyak bukti menunjukkan bahawa orang tengah yang berskala besar memeras petani kecil dengan harga rendah dan menambat petani supaya terus berhutang dengan mereka. Keterdesakan hidup dan pendapatan tidak bertambah dengan banyak menyebabkan petani masih terikat dengan orang tengah, sama ada melalui kredit atau jualan hasil mereka.

Kesannya, petani masih terus terperangkap dalam jurang kemiskinan. Walaupun pendapatan bertambah, kesan inflasi menurunkan pendapatan benar mereka.

Dalam kes padi, terdapat kes potongan padi dikenakan sehingga 75 peratus. Purata potongan padi adalah 20 peratus berbanding 17 peratus pada era 1970-an dan 1980-an.

Apabila potongan tinggi, pendapatan bersih petani menurun dan mendorong mereka berhutang lagi kepada orang tengah untuk persediaan musim seterusnya. Petani menyedari diperas, tetapi dikaburi keterdesakan dan keperluan hidup.

Mengapa pertalian ini terus wujud walaupun bibit pemerasan berterusan? Hal ini terjadi kerana wujud situasi asimetri antara kedua pihak.

Petani atau nelayan kecil adalah miskin dan tiada akses kepada maklumat pasaran, sebaliknya orang tengah memiliki modal tinggi dan jaringan pasaran yang meluas dengan peniaga dan pengguna.

Kedua, tiada persaingan dalam pasaran pembeli, maka pilihan petani terbatas. Ini menjadikan petani kecil tidak memiliki kuasa berunding yang kukuh apabila berdepan pembeli atau pengilang besar yang kukuh kedudukan kewangannya.

Nyata, pemodenan gagal mengubah nasib petani. Lantas, mampukah petani mengetepikan orang tengah sama sekali? Jawapannya tidak, tetapi petani boleh memendekkan saluran pasaran.

Untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan kuasa antara petani-pembeli, koperasi petani antara penyelesaian terbaik. Melaluinya, suara petani lantang dan kukuh kerana mereka bersatu di bawah koperasi. Koperasi juga memiliki kuantiti mencukupi untuk berunding sama tinggi dengan pembeli besar.

Melalui koperasi, petani boleh menjadi orang tengah dengan menjual terus kepada perantara lain dan pengguna. Koperasi boleh mengambil faedah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan Internet of Things (IOT) untuk mempercekapkan pemasaran dan agihan jualan.

Dicadangkan juga supaya koperasi generasi baharu diperkenalkan yang mana integrasi ke hadapan dilaksanakan untuk membolehkan petani menceburi kegiatan nilai tambah seperti perkilangan dan pemprosesan. Kegiatan ini akan memajukan lagi koperasi, selain faedah ekonomi dan sosial kepada ahli.

Selagi petani atau nelayan tidak diberi peluang menceburi kegiatan nilai tambah, selagi itu kesejahteraan hidup mereka tidak akan terbela. Pengeluaran primer tidak memberi pulangan mencukupi.

Untuk menggalakkan pembangunan koperasi generasi baharu, ia perlu disokong inovasi sesuai dengan petani kecil seperti aplikasi ICT dan IoT untuk perniagaan, perkilangan, agihan, kewangan dan sebagainya. Diperlukan juga mesin, jentera atau peralatan dan kilang yang sesuai untuk sawah atau ladang bersaiz kecil dan sederhana.

Insentif dan subsidi produktif perlu disediakan kepada koperasi untuk membantu perjalanan koperasi itu. Khidmat pengembangan perniagaan dan teknikal adalah satu kemestian kepada koperasi generasi baharu ini.

Pokoknya, orang tengah memang tidak boleh disingkirkan, tetapi khidmat mereka boleh diminimumkan melalui koperasi petani yang berintegrasi ke hadapan, yang membolehkan petani mengambil alih tugas orang tengah melalui kegiatan pemasaran, perkilangan dan perniagaan.

Penulis adalah Felo Penyelidik Institusi Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X