Selasa, 7 Januari 2020 | 11:00am

Kemiskinan ada kaitan keganasan rumah tangga

PADA Ogos tahun lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston, melawat Malaysia.

Kesempatan itu dimanfaatkan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) untuk berbincang mengenai hubung kait antara dua fenomena sosial iaitu kemiskinan dan keganasan rumah tangga. Motifnya untuk menyediakan platform kepada mangsa keganasan rumah tangga berlatar belakang miskin, untuk berkongsi realiti hidup mereka bersama Prof Alston.

Ketika perbincangan, salah seorang mangsa, Siti, berkongsi pengalaman hidup miskin sejak lahir. Selepas suaminya meninggal dunia, Siti berkahwin lain dan kemudian menyedari suami baharu itu menagih dadah, ketagih arak serta merompak. Di kawasan pedalaman dari mana Siti berasal, kemiskinan adalah kebiasaan, seperti penyalahgunaan dadah.

Suami Siti kerap menderanya. Oleh kerana kemiskinan dan keganasan rumah tangga, anak perempuan Siti terpaksa berhenti sekolah ketika usia 14 tahun. Selepas Siti dan anak-anaknya datang ke rumah perlindungan WAO, dia sukar mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji mencukupi untuk menyokong diri dan anak.

Anak perempuan Siti sudah berputus asa dengan masa depan akademik dan kini berharap mendapatkan latihan kemahiran vokasional untuk membantu keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pengalaman Siti membuktikan bagaimana kemiskinan memburukkan keadaan dan menyumbang kepada keganasan serta menghalang mereka lari daripada penderaan.

Kemiskinan juga membuatkan wanita lebih sukar melarikan diri daripada keganasan rumah tangga kerana keperluan kewangan mereka bergantung sepenuhnya kepada pendera. Lantas mereka tidak punya pilihan, demi menyediakan makanan dan tempat tinggal buat diri dan anak-anak.

Keganasan rumah tangga juga menjadi penghalang kemandirian kewangan seseorang wanita, lantas menghasilkan kitaran kemiskinan yang baharu bagi kanak-kanak.

Dalam situasi keganasan rumah tangga, kebiasaannya kanak-kanak cenderung mengalami gangguan dalam pembelajaran. Ini mengakibatkan mereka ketinggalan di sekolah, merosot dalam akademik, malah ada yang berhenti bersekolah seperti dalam kes Siti.

Kesan gangguan dalam pembelajaran ini tidak terhad kepada zaman kanak-kanak, malah berlarutan sehingga dewasa apabila mangsa tidak berupaya mencari pendapatan sendiri dan prospek ekonomi mereka secara keseluruhannya akan menjadi lebih buruk.

Peranan pusat perlindungan keganasan rumah tangga dan perkhidmatan berkaitan sangat kritikal dalam memecahkan kitaran keganasan rumah tangga dan kemiskinan.

Sama ada keganasan rumah tangga adalah penyebab utama kepada kemiskinan atau kemiskinan adalah keadaan yang wujud bersama dan memburukkan keganasan rumah tangga, intervensi dalam isu ini amat penting.

Ini digariskan dalam kes Yasmin, yang bertahan dengan penderaan selama 12 tahun oleh suaminya. Ketika itu, Yasmin kehilangan semua sumber kewangannya serta sokongan sosial oleh keluarga dan kawan.

Apabila beliau memutuskan untuk meninggalkan suami, Yasmin tidak berkemampuan membeli makanan. Rumah perlindungan serta bantuan diterima daripada WAO membolehkan Yasmin mencari pekerjaan bagi menyara diri serta anak-anak dan akhirnya kini mampu untuk berdikari.

Dalam kes seakan sama, May, seorang warga asing yang berkahwin dengan lelaki Malaysia, berjaya melepaskan diri sepenuhnya daripada suami yang menderanya. Selepas empat tahun didera secara fizikal, emosi dan seksual, May akhirnya meninggalkan suami dan meminta bantuan WAO untuk pulang ke negara asalnya.

Tanpa akses kepada rumah perlindungan dan sokongan sosial, Yasmin atau May tidak akan berjaya meninggalkan suami yang mendera mereka, lantas terpaksa kembali kepada suami dan tiada pilihan lain, selain tinggal di tepi jalan.

Lawatan Prof Alston ke Malaysia membantu menarik perhatian kepada realiti kemiskinan dalam negara yang sebenarnya lebih serius berbanding diumumkan. Penting untuk memberi fokus kepada implikasi kemiskinan yang lebih membahayakan wanita dan kanak-kanak, seperti kemiskinan meruncingkan keganasan rumah tangga.

Bagi menangani kedua-dua fenomena ini, kerajaan harus memperuntukkan lebih banyak sumber kepada rumah perlindungan berkaitan keganasan rumah tangga dan perkhidmatan sokongan, selain bantuan keselamatan sosial dan program membasmi kemiskinan untuk komuniti berpendapatan rendah.

Penulis adalah Pegawai Advokasi dan Komunikasi Women’s Aid Organisation (WAO).

Berita Harian X