Jumaat, 10 Januari 2020 | 11:00am
Gambar fail, ribuan orang berarak memberi penghormatan atas pengkebumian Jeneral Qassem Soleimani, pemimpin tertinggi Pengawal Tentera Revolusi Islam (IRAG) atau dikenali al-Quds, yang terbunuh dalam serangan udara di Lapangan Terbang Baghdad, di Tehran, Iran. - Foto REUTERS
Gambar fail, ribuan orang berarak memberi penghormatan atas pengkebumian Jeneral Qassem Soleimani, pemimpin tertinggi Pengawal Tentera Revolusi Islam (IRAG) atau dikenali al-Quds, yang terbunuh dalam serangan udara di Lapangan Terbang Baghdad, di Tehran, Iran. - Foto REUTERS

Ada muslihat di sebalik konflik AS, Iran

Apabila dua pihak atau lebih mula bergaduh, pembohongan pertama mereka ialah niat sebenar dan motivasi terhadap pergaduhan itu. Pemimpin Amerika Syarikat (AS) yang pernah menentang pembabitan negaranya di Vietnam, Senator William Fulbright, sudah pasti memahami hal ini.

Pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani, pemimpin tertinggi Pengawal Tentera Revolusi Islam (IRAG) atau dikenali al-Quds, mirip peristiwa percubaan menuntut kembali Baitulmaqdis. Ia tindakan agresif berisiko dan berbahaya oleh Presiden Donald Trump.

Tindakan itu diakui Trump selaku Ketua Komander AS, yang memberi lampu hijau untuk membunuh Soleimani dan Timbalannya, termasuk Timbalan Hezbollah, militan yang semakin berkembang kepada 800 subsidiari merentasi Asia Barat dan Afrika Utara.

Tiada siapa tahu bagaimana sayap Syiah itu beroperasi di Iran dan ditubuhkan Ayatollah Ali Khameinei bersama Presiden Hassan Rouhani dan al-Quds itu, bersetuju membalas dendam sebagai tindak balas adil, hutang darah dibayar darah.

Ungkapan itu meresap ke dalam rakyat Iran dan media Barat. Ini bermaksud akan berlaku beberapa pendaratan mortar di kedutaan AS, yang juga dikenali sebagai zon hijau di Baghdad atau pangkalan Kirkuk di Iraq. Benar, pertempuran sudah pun bermula.

Namun, bagi yang cuba mentafsir itu sebagai permulaan kepada satu lagi perang dunia, mereka harus berhati-hati dalam memahami konteks ini.

AS memerhati tindakan Iran sejak Presiden Barack Obama lagi. Walaupun Iran menyokong tindakan Presiden Bashar Assad yang menyerang rakyatnya sendiri menggunakan senjata kimia berulang kali, AS tetap meneruskan tindakan berhati-hati dengan menandatangani Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Matlamatnya adalah untuk menyahnuklearkan senjata ketenteraan Iran, sekali gus memberi kredit kepada negara itu. AS bersetuju dan mematuhinya hinggalah tindakan pencerobohan narsisistik baru-baru ini oleh Trump.

Namun, apabila pasukan Trump menyedari wujud kira-kira 800 Hezbollah masih aktif di Afrika Utara, mereka menimbulkan konflik, menahan dan cuba memastikan rejim kejam seperti Syria tetap berkuasa, yang membawa kepada perang berpanjangan antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terhadap Houthis di Yaman.

AS memutuskan menarik diri daripada JCPOA pada 2017 secara bersendirian, mencetuskan kebimbangan ramai termasuk sekutu NATO mereka.

Tersinggung dan marah dengan penarikan JCPOA oleh AS - bermaksud sekatan ekonomi global AS akan berterusan selamanya ke atas Iran - Presiden Rouhani, Ayatollah Khamenei dan al-Quds cuba memastikan AS dihukum kerana tidak bersetuju dengan perjanjian itu, yang Kesatuan Eropah (EU) secara kebetulannya, masih menyokong. Mereka tidak pernah melihat Hezbollah atau 800 militan ini sebagai ancaman. Ini bertentangan pandangan dengan pentadbiran Trump.

Untuk itu, menantu Presiden Donald Trump yang juga teman rapat kepada Zionis-Israel, Jared Kushner, seharusnya menjadi orang penting untuk Rumah Putih di Asia Barat.

Hari ini dan seterusnya, harga minyak mentah Brent akan mencerminkan kekeliruan dan ketegangan ini. Oleh itu, harga minyak satu tong akan dinaikkan daripada AS$68 kepada AS$70 sebelum jatuh dan berpotensi untuk naik semula.

Pasaran saham seluruh dunia juga menyaksikan penurunan mendadak walaupun pemulihan mungkin berlaku kerana Iran setakat ini hanya menyasar dan mengehadkan tindak balas mereka kepada Pangkalan Tentera AS.

Iran juga mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan ada tindak balas lagi jika AS menghentikan pencerobohan unilateralnya.

Pengulas CNN seperti Fareed Zakaria yang mempunyai lulusan Doktor Falsafah dari Universiti Harvard menganggap apa yang dilakukan Trump sebagai kesilapan memalukan.

China mengembangkan ekonominya untuk menguasai 10 ekonomi industri strategik dunia menjelang 2045 dan kini menjadi nombor satu dalam semua itu, bermula daripada perdagangan digital hingga satelit ruang angkasa. AS pula semakin merosot dan terbabit pula konflik baharu, kali ini dengan Iran.

Namun sekali lagi, serangan ini juga menjadi asas kepada penyatuan pengundi Trump. Dengan kes pertuduhannya yang masih belum selesai, Trump perlu mengambil langkah ini untuk memastikan rakyat AS bersikap lebih nasionalis. Cara terbaik dengan terus-menerus mencabar Iran.

Malah, Wall Street meningkat lebih 30 peratus minggu lalu dan ini rekod kelima AS selepas beberapa kurun. Sememangnya, Wall Street juga menguruskan stok dan pelbagai instrumen pelaburan bernilai AS$47 trilion. Pelaburan ini dimanfaatkan separuh penduduk AS menerusi skim persaraan ataupun skim insuran sosial.

Fakta kepada situasi yang berlaku ini adalah AS dan Iran akan terus mengguna pakai semangat nasionalisme sebagai tirai agenda domestik mereka, walaupun sebenarnya penguasaan ke atas Afrika Utara impian sebenar.

Bulan lalu, rakyat Iran berdemonstrasi ke atas ketidakupayaan Tehran menurunkan kos beban hidup tinggi. Tehran ketakutan disebabkan bimbang dibuang rakyat sendiri. Bagaimanapun, apabila terbabit situasi agresif seperti ini, penunjuk perasaan mengalih perhatian kepada mempertahankan negaranya terhadap AS.

Memahami situasi di Tehran lebih baik daripada tertanya-tanya sama ada AS dan Iran akan memulakan perang dunia atau tidak, walaupun ada kebarangkalian itu. Dalam mana-mana peperangan, seperti sejarah berulang kali menunjukkan, tidak akan ada pemenang, hanya kekalahan.

Penulis adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research

Berita Harian X