Sabtu, 11 Januari 2020 | 11:04am

Usah tafsir Perlembagaan secara harfiah

Bagi negara berdaulat seperti Malaysia, Perlembagaan ialah sumber undang-undang tertinggi dan setiap rakyat perlu mematuhi keluhurannya seperti termaktub dalam prinsip Rukun Negara. Kewujudannya sebagai panduan, mengatur dan menyelaras pemerintahan, selain berperanan sebagai panduan pembentukan undang-undang untuk semua pihak.

Tiada satu institusi pun boleh mengatasi ketertinggian Perlembagaan Persekutuan. Ketiga-tiga badan kerajaan yang merujuk doktrin pengasingan kuasa, iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif mahupun Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Malah, undang-undang Persekutuan atau negeri mengenai sesuatu perkara boleh diisytihar tidak sah oleh mahkamah jika bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, setakat mana ia bercanggah.

Perlembagaan hakikatnya boleh dibahagikan kepada dua, iaitu bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan bertulis ialah bentuk Perlembagaan dikumpul dan disusun dalam satu dokumen, manakala yang tidak bertulis merangkumi semua prinsip Perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu dokumen seperti undang-undang diluluskan Parlimen dan keputusan mahkamah.

Selain Perlembagaan, ada amalan dianggap mustahak menjadi sebahagian prinsip Perlembagaan yang dikenali Konvensyen Perlembagaan atau adat resam Perlembagaan. Menurut Dicey (1965), konvensyen Perlembagaan adalah suatu amalan bukan undang-undang dan lebih mirip kepada etika politik dan tidak akan dikuatkuasakan mahkamah.

Sungguh pun mustahak, jika amalan ini tidak dipatuhi, ia tidaklah boleh dibawa ke mahkamah supaya dipaksakan mematuhinya. Namun jika tidak dipatuhi, akan menyebabkan sukar bagi sesuatu Perlembagaan berjalan lancar.

Di negara ini, mentafsir Perlembagaan dilihat lebih diutamakan daripada konvensyen Perlembagaan. Bagi negara yang baharu wujud atau merdeka dan tidak banyak pengalaman dalam hal ehwal perjalanan Perlembagaan, sukar untuk ditentukan sama ada satu-satu perkara itu adalah konvensyen Perlembagaan.

Sebelum dijadikan konvensyen, ia mesti diamalkan beberapa kali hingga menjadi perjanjian antara rakyat yang mesti dipatuhi. Namun, selepas lebih 61 tahun merdeka, adakah konvensyen Perlembagaan itu diambil kira dan difahami masyarakat Malaysia, apabila timbulnya isu membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

Kenapakah konvensyen itu perlu dipatuhi? Jawapannya, ia berperanan penting dalam sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia.

Konvensyen ini berasaskan keperluan politik kerana jika tidak dipatuhi akan berlaku kerumitan politik yang tidak diingini. Jika tidak dipatuhi, orang yang melanggarnya terdedah persepsi negatif umum dan boleh menyebabkan hilang kepercayaan.

Beberapa contoh pengaplikasian konvensyen Perlembagaan di Malaysia boleh dinilai. Pertama, kontrak sosial, iaitu persetujuan tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang diterima orang Melayu dan bukan Melayu.

Orang bukan Melayu menerima kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pengekalan institusi beraja. Ia balasan atas kesanggupan orang Melayu menerima bukan Melayu sebagai warganegara yang mempunyai hak seperti mengundi.

Maka, perubahan atau penolakan kontrak sosial tentu menyebabkan kehidupan masyarakat Malaysia tidak begitu harmoni. Isu berkaitan kontrak sosial ini sering bangkit dan dibangkitkan parti politik khususnya yang menyebabkan rakyat terlihat sering berkonflik dan tidak bersatu.

Kedua, pelantikan jawatan Perdana Menteri. Perlembagaan jelas mengatakan pelantikan Perdana Menteri ialah individu memenangi pilihan raya dalam Dewan Rakyat dan mendapat sokongan terbanyak ahli Dewan Rakyat. Tidak dinyatakan keperluan pelantikan Perdana Menteri mesti orang Melayu dan beragama Islam seperti pelantikan Menteri Besar bagi negeri beraja yang mensyaratkan hal itu.

Dalam keadaan majoriti penduduk Malaysia ialah orang Melayu dan mereka penduduk asal Tanah Melayu, maka sukar diterima Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu. Ini yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), apabila Barack Obama hanya diterima menjadi Presiden selepas ratusan tahun negara itu diwujudkan.

Ketiga, pelantikan jawatan utama kerajaan seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini juga amalan konvensyen Perlembagaan kerana amat sukar bagi orang Melayu, khususnya sekiranya pelantikan jawatan utama kerajaan itu diberikan kepada bukan Melayu walaupun Perlembagaan dengan jelas tidak meletakkan syarat pelantikan jawatan itu mesti orang Melayu dan beragama Islam.

Jawatan itu bagi orang Melayu amat penting untuk menjaga kedudukan istimewa Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu serta kekukuhan politik Melayu. Peristiwa pelantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara sebelum ini jelas menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang Melayu.

Keempat, tanggungjawab bersama dalam Kabinet Malaysia. Ini bermaksud setiap menteri Kabinet perlu mematuhi setiap dasar dan keputusan dibuat Kabinet walaupun tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Jika seseorang menteri tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet, maka menteri itu perlu meletakkan jawatan. Amalan ini tidak dinyatakan dalam mana-mana undang-undang, tetapi tanggungjawab bersama ini diterima sebahagian konvensyen Perlembagaan.

Maka, setiap rakyat Malaysia perlu memahami konsep konvensyen Perlembagaan ini dan tidak boleh melihat Perlembagaan Persekutuan secara yang termaktub kerana pentafsiran Perlembagaan perlu dilihat daripada amalan konvensyen Perlembagaan, sejarah, politik, sosial dan ekonomi. Melalui pemahaman ini, sebarang isu berkaitan Perlembagaan dapat diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia.

Berita Harian X