Isnin, 13 Januari 2020 | 11:00am
KARIM (kiri) ketika berkempen di Pekan Bongawan, Membakut, Sabtu lalu. - Foto Edmund Samunting

Isu PSS sekadar meriahkan kempen

SELEPAS lebih seminggu tirai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dibuka, pembangkang sudah mendakwa sokongan lebih memihak kepada mereka. Puncanya disebabkan isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang dimainkan.

Namun yang jelas, masih terlalu awal untuk menentukan siapa sebenarnya lebih berpeluang memenangi kerusi Parlimen itu dalam PRK yang berlangsung 18 Januari ini.

Apa yang pasti, gerak kerja kempen memperlihatkan peluang calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang dan saingannya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin, sama rata.

Namun, bagi Karim, populariti selaku ADUN Bogawan selama lima penggal sebelum ini, memberi kelebihan. Jentera parti itu sendiri dalam kempen mereka meminta pengundi memilih Karim berdasarkan pertimbangan beliau mampu membawa pembangunan dan perubahan di Kimanis.

Paling penting, kedudukan Karim yang mewakili parti yang menaungi kerajaan negeri dan Persekutuan, memberi kekuatan kepada calon WARISAN itu, sekali gus menjanjikan lebih manfaat kepada rakyat.

Selepas lapan hari kempen berlangsung, hakikatnya belum ada petunjuk jelas arah aliran sokongan pengundi, sama ada tertumpu kepada calon WARISAN atau BN.

Kehadiran penyokong ketika ceramah dan aktiviti bertemu pengundi juga kelihatan seimbang. Maksudnya, penyokong WARISAN dan BN kelihatan setanding dan sama banyak.

Apa yang jelas, sepanjang kempen PRK Kimanis ini, PSS menjadi isu utama yang dijadikan sandaran pembangkang untuk menawan hati pengundi dalam usaha merampas semula kerusi berkenaan.

Jika ditinjau, isu warga asing khususnya pendatang asing tanpa izin yang dikaitkan dengan PSS ini bukan masalah besar di Parlimen Kimanis. Puncanya kerana tiada penempatan mereka sama ada di Kimanis, Membakut atau Bongawan.

Kalau ada pun, bilangannya tidak seramai mana, dengan kebanyakan mereka tinggal di kongsi tapak projek pembinaan, ladang atau kebun, selain mungkin datang sebagai nelayan di perairan Teluk Kimanis dari Pulau Gaya di ibu negeri.

Isu PSS timbul selepas diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas mesyuarat pengurusan warga asing Sabah pada September lalu.

UMNO bersama satu-satunya parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah ketika ini, iaitu MCA, bersama pembangkang tempatan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjadikan isu itu bagi membangkitkan perasaan marah terhadap kerajaan.

Sentimen rakyat tempatan di Sabah sangat sensitif dengan isu pendatang tanpa izin dipergunakan sepenuhnya oleh pembangkang dalam ceramah mereka untuk menarik sokongan pengundi.

Dalam isu PSS, kerajaan didakwa menjadikan dokumen yang menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci dikeluarkan kepada warga asing yang sudah lama berada di negeri itu sebagai kaedah membiarkan golongan berkenaan terus tinggal di Sabah.

Ini mengundang cabaran kepada WARISAN untuk memastikan minda rakyat, khususnya pengundi tidak terus dihantui persepsi yang cuba dimainkan pembangkang.

Disebabkan tekanan isu PSS, pihak kerajaan, khususnya pemimpin WARISAN dan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) serta Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), memanfaatkan sebaik mungkin pentas ceramah mereka untuk menjawab setiap tuduhan dengan huraian panjang lebar.

PRK Kimanis seolah-olah menjadi medan bagi pembangkang menuduh kerajaan. Bagi kerajaan pula, menjawab tohmahan dan tuduhan ibarat menjadi acara wajib. Yang pasti gerak kerja WARISAN tidak kurang agresif berbanding BN.

Sepanjang kempen ini, BN bergerak atas slogan ‘Ubah Balik’, manakala WARISAN meminta pengundi Kimanis menolak BN dengan slogan ‘Tolak BN, Cukuplah di Sabah’ yang dilaungkan penyokong masing-masing dalam usaha mempengaruhi pengundi.

Apa dapat disimpulkan, tidak kira sehebat mana ceramah, gimik dan kempen calon bertanding, termasuk ada yang menjadikan PRK ini sebagai pungutan suara, keputusan akhir tetap berada pada tangan pengundi.

Begitu juga isu dibawa sepanjang PRK ini seperti PSS, ada melihatnya sebagai serius, tetapi ramai juga menganggap apa yang cuba dilakukan pembangkang tidak lebih sekadar bahan untuk memeriahkan suasana kempen.

Penulis adalah wartawan BH Sabah

Berita Harian X